MANDALAY: Pengusaha jed Myanmar berdepan situasi sukar untuk menjual batu permata yang semakin berkurangan, apabila terpaksa lari daripada tentera junta dan mengelak serangan pemberontak ketika industri berbilion dolar itu semakin merosot beberapa bulan selepas berlakunya rampasan kuasa di negara itu.
Pertempuran di sekitar lombong jed terbesar di dunia menjejaskan lagi penggalian yang sudah pun terjejas disebabkan pandemik COVID-19, sekali gus menyekat bekalan.
Untuk rekod, Myanmar adalah salah satu negara pengeksport utama jed dunia.
Myanmar adalah sumber jed terbesar di dunia, dengan industri ini sebahagian besarnya menerima permintaan berterusan dari China
Kebanyakan batu permata ini melalui bandar kedua terpenting, Mandalay, yang menjadi lokasi Kyauksein Pagoda setinggi 23 meter, iaitu sebuah kuil Buddha yang dibina menggunakan beribu-ribu kilogram batu permata berharga itu.
Kini, kompleks itu sunyi sepi, dengan hanya segelintir orang yang berdoa di kubah biru dan merahnya yang berkilauan.
"Perniagaan merosot teruk. Kadang-kadang, orang panik apabila tentera datang meronda, dan mereka lari. Jika seorang lari, yang lain pun turut ikut. Kemudian askar melepaskan tembakan amaran untuk mengawal keadaan." kata seorang peniaga jed, yang menghabiskan masa berbulan-bulan cuba menjual batu permatanya di tepi jalan Mandalay ketika wabak dan pergolakan menyebabkan pasaran jed utama ditutup.
Dalam pada itu, di sebalik keputusan China menutup sempadannya dengan Myanmar disebabkan pandemik dan pertempuran berterusan, permintaan terhadap jed masih besar dan pembeli dari China menggunakan alasan pergolakan itu untuk melakukan tawar menawar dengan harga jauh lebih remdah.
"Disebabkan COVID-19 dan situasi politik semasa, mereka memberikan harga yang sangat rendah.
"Kami tiada pilihan, kami perlukan mereka untuk pasaran. Jika mereka tidak beli atau jika kami tidak menjualnya, kami tidak dapat meneruskan perniagaan," kata salah seorang peniaga berusia 62 tahun yang enggan mendedahkan identitinya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan