05 November 2021

Kayuh basikal lipat 850km dari Johor ke Perlis

 MUHAMMAD Hezri dan Mohd Jazaini kembara menggunakan basikal lipat dari Johor ke Perlis dalam tempoh 14 hari dan hanya berbekalkan RM500. FOTO BERNAMA

MUHAMMAD Hezri dan Mohd Jazaini kembara menggunakan basikal lipat dari Johor ke Perlis dalam tempoh 14 hari dan hanya berbekalkan RM500. FOTO BERNAMA

Kangar: Dua sahabat memanfaatkan kebenaran merentas negeri dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kembara menggunakan basikal lipat dari Johor ke Perlis dalam tempoh 14 hari dan hanya berbekalkan RM500.

Penghantar makanan berbasikal, Muhammad Hezri Muhammad Sabri, 36, dan Mohd Jazaini Abdul Jamal, 48, yang bekerja sendiri berkata, kembara jarak jauh lazimnya menggunakan basikal lebih besar, namun mereka memilih untuk menggunakan basikal lipat yang saiznya hanya lebih semeter sahaja.

"Kebanyakan orang yang kami jumpa sepanjang kembara ini bertanyakan mampukah basikal lipat ini bergerak jauh dan ramai tidak menyangka basikal kecil ini tahan lasak serta boleh pergi jauh.

"Basikal lipat lebih sinonim dengan basikal kayuhan taman dan santai-santai. Seorang lelaki 'gila' menunggah basikal lipat kelihatan jauh lebih 'gila' daripada lelaki 'gila' yang menunggang basikal," kata Muhammad Hezri kepada Bernama ketika ditemui selepas menamatkan kayuhan mereka di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan mereka merentas negeri di Semenanjung dari Tanjung Piai, Johor ke Kangar, Perlis sejauh kira-kira 850 kilometer membuktikan basikal lipat sesuai digunakan untuk kembara jarak jauh.

Muhammad Hezri dan Mohd Jazaini yang masing-masing dari Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor berkata, sepanjang kayuhan itu mereka berkesempatan mengenali budaya masyarakat setempat dan berkenalan dengan ramai peminat aktiviti berbasikal.

Mohd Jazaini berkata, mereka dapat berkongsi ilmu dan maklumat berguna mengenai basikal lipat selain melakukan eksplorasi ke pelbagai lokasi menarik di setiap negeri disinggahi.

Menurutnya, walaupun kecil, basikal lipat seberat 11 kilogram itu mampu menampung beban tambahan untuk kegunaan mereka sepanjang kembara itu seperti khemah, dapur, kerusi serta keperluan asas lain.

Berkongsi pengalaman menarik sepanjang kembara itu, mereka mengakui teruja apabila menerima sedekah pelbagai makanan dan minuman daripada orang tidak dikenali.

"Barangkali itu semua rezeki kami bermusafir, dapatlah kami jimatkan peruntukan kami yang terhad dan duit bekal itu kami hanya gunakan untuk beli makanan istimewa sedap sahaja sebagai ganjaran kerana dapat menamatkan misi kami dengan selamat, Alhamdulillah," katanya.

Mengenai cabaran sepanjang kayuhan pula, mereka menyatakan tidak berhadapan dengan banyak kesulitan kerana menyediakan kelengkapan yang mencukupi jika basikal lipat mengalami masalah di tengah jalan.

"Kelebihan basikal ini, jika tidak boleh dibaiki menggunakan alat ganti dibawa, senang nak bawa ke bengkel sebab boleh dilipat kecil dan muat saja kalau menaiki kereta e-hailing atau tumpang sesiapa," katanya.

BERNAMA.

Tiada ulasan: