SUDAH menjadi pengetahuan umum bahawa ilmu adalah satu elemen utama dalam membina masa depan yang gemilang. Ini kerana, seseorang yang berilmu akan dapat membezakan antara hak dan batil, lebih kreatif dan kritikal dalam menghadapi masalah atau isu serta lebih terbuka disebabkan luas pengetahuan.
Allah S.W.T juga mengangkat darjat orang yang berilmu seperti firmannya dalam surah Al-Mujadalah, ayat 11:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
“Supaya Allah S.W.T meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”
[al-Mujadalah: 11]
Oleh sebab itu, dalam pembentangan belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan minggu yang lalu, segmen pendidikan adalah antara yang menerima peruntukan yang terbesar pada kali ini. Sebanyak RM52.6 bilion telah diperuntukkan bagi Kementerian Pendidikan Malaysia dan RM14.5 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi tujuan untuk meningkatkan daya penyampaian ilmu, kualiti pendidikan negara dan bantuan-bantuan yang berkaitan kepada pelajar serta tenaga pengajar.
Dalam hambatan kita mengejar dunia, terkadang kita terlupa akan kepentingan mengejar daerah akhirat. Ilmu agama adalah jambatan untuk kita mendapat nikmat syurga yang dijanjikan Allah. Rasulullah S.A.W pernah bersabda sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah S.W.T akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah S.W.T akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.”
[Riwayat Muslim (4867)]
Kerajaan memahami kepentingan ilmu agama bagi masyarakat dan telah memperuntukkan sebanyak RM140 juta kepada institusi pendidikan agama bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan.
Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM10.8 juta untuk penyaluran bantuan kepada guru-guru Takmir di Malaysia, dengan harapan ilmu agama dapat disampaikan ke semua lapisan masyarakat melalui kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berbagai.
Kerajaan tidak melupakan jasa khidmat tenaga pengajar di semua peringkat pendidikan. Merekalah yang akan mencorak minda pemimpin masa depan negara. Oleh demikian, bagi memudahkan guru-guru, kerajaan akan memberikan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar kepada lebih 400,000 pendidik di bawah KPM yang berjumlah RM42 juta kesemuanya. Insentif ini akan membantu guru dalam yang bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu kepada pelajar mereka semasa dalam tempoh pelaksanaan PdPR.
Selain itu, bagi guru-guru KAFA dan guru takmir, mereka menerima bantuan secara terus sebanyak RM500 seorang sebagai penghargaan buat jasa bakti mereka, mendidik masyarakat dengan ilmu agama.
Kesimpulannya, kerajaan amat komited dalam menjayakan dan meningkatkan pendidikan negara terutamanya pasca pandemik negara kita. Pendidikan adalah kunci utama untuk kemajuan negara dan ummah. Tanpa rakyat yang berilmu, negara kita tidak akan mampu memacu perubahan ke arah yang lebih baik.
YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 5/11/2021
Sumber Asal: https://m.facebook.com/412578727095840/posts/438727701147609
Tiada ulasan:
Catat Ulasan