05 November 2021

Sabah layak ke Fasa 4 PPN mulai 8 November

 Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Selepas kira-kira tiga minggu berada dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Sabah kini layak untuk beralih ke Fasa 4 PPN.

Dalam satu kenyataan petang ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peralihan fasa itu dijadualkan pada Isnin depan.

"Sabah layak beralih ke Fasa 4 PPN berkuat kuasa pada 8 November ini. Walaupun lebih banyak kelonggaran diberikan di bawah Fasa 4, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diteruskan," katanya.

Sabah beralih ke Fasa 3 PPN sejak 18 Oktober lalu yang menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan kepada penduduk negeri ini, antaranya kebenaran rentas daerah yang diawalkan sejak 14 Oktober, manakala rentas negeri bermula 1 November.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata jangkitan baharu COVID-19 di Sabah turun 101 kes kepada 554 kes hari ini berikutan penurunan kes di kebanyakan daerah berbanding 655 kes yang dilaporkan semalam.

"Lebih banyak daerah mencatat penurunan kes berbanding pertambahan kes dengan Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi hari ini dengan 76 kes berikutan peningkatan tujuh kes berbanding 69 kes semalam.

"Bagaimanapun, 72 daripada kes itu didaftar lewat antara dua hingga tiga hari selepas keputusan saringan diketahui dan empat kes lagi didaftar lewat melebihi tiga hari.

"Bagi keseluruhan Sabah, sebanyak 303 kes atau 54.7 peratus adalah kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam lalu," katanya.

Masidi berkata 97 peratus daripada 554 kes hari adalah jangkitan yang dianggap 'kes ringan' yang tidak memerlukan rawatan di hospital, masing-masing 101 orang dalam Kategori 1 dan 438 orang dalam Kategori 2.

Sementara itu, dua daerah hari ini mengekalkan rekod sifar kes sejak semalam iaitu Tongod dan Kalabakan, manakala tujuh daerah mencatat kes satu angka iaitu Sipitang (sembilan), Kuala Penyu (lapan), Sandakan (enam), Telupid (lima), manakala masing-masing tiga kes di Semporna, Kunak dan Nabawan.

BHARIAN.

Tiada ulasan: