KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga (ST) merampas peralatan elektrik bernilai lebih RM2 juta, hasil serbuan ke atas empat gudang penyimpanan disyaki mengimport dan mengedar peralatan itu yang tidak mendapat kelulusan agensi itu.
Operasi dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan SIRIM baru-baru ini itu, dijalankan serentak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, susulan aduan yang diterima berhubung penjualan kelengkapan elektrik yang menggunakan label SIRIM palsu di pasaran dan secara atas talian.
Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd Elmi Anas, berkata antara perkakas elektrik yang dirampas termasuk kabel pendawaian pelbagai saiz, lampu LED, soket alir keluar dan penyesuai elektrik.
"Kelengkapan elektrik ini didapati gagal mematuhi beberapa keperluan undang-undang seperti tidak mempunyai Perakuan Kelulusan mengimport atau mengilang daripada ST sebelum ia dibawa masuk atau dikilang, tidak dilekatkan dengan label SIRIM-ST dan menggunakan label SIRIM-ST palsu.
"ST akan membuat siasatan dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pengimport, pengilang atau penjual yang didapati gagal mematuhi Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.
"Bagi kes pemalsuan label, tindakan undang-undang akan diambil KPDNHEP di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Elmi berkata, ST memandang serius soal keselamatan pengguna dalam penggunaan kelengkapan elektrik dan menasihatkan mereka membeli kelengkapan elektrik yang hanya diluluskan ST dan dilekatkan label keselamatan SIRIM-ST bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian renjatan atau kebakaran.
Beliau turut menggesa pengimport, pengilang dan penjual kelengkapan elektrik supaya mematuhi undang-undang dan memastikan hanya kelengkapan elektrik yang diperakui selamat dijual di kedai atau dalam talian.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan