LOS ANGELES: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Unit Peronda Lebuh Raya California (CHP) giat mengesan semua individu yang melarikan duit yang jatuh bertaburan di lebuh raya di San Diego, baru-baru ini.
Sejumlah pengguna lebuh raya bersorak kegembiraan ketika mengutip duit yang bertaburan di lebuh raya itu selepas pintu trak berperisai yang membawa wang tunai berkenaan terbuka dalam satu kejadian.
Situasi itu menyaksikan orang ramai sanggup memberhentikan kenderaan masing-masing untuk mengutip duit tersebut.
Jurucakap CHP memaklumkan, mana-mana pihak yang mengambil duit tersebut diminta hadir segera ke pejabat mereka.
“Kami memberi amaran bahawa terdapat banyak bukti rakaman video dan kami akan mengesan anda dengan bantuan FBI,” menurut jurucakap itu.
Sehubungan itu, CHP memberi masa sehingga 48 jam untuk orang ramai memulangkan semula duit yang mereka ambil dan bakal dikenakan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian.
Setakat ini, dua orang sudah menyerahkan duit berkenaan.
Pihak berkuasa California menyatakan, trak tersebut dalam perjalanan ke Rizab Persekutuan untuk menghantar wang ketika pintu belakang kenderaan itu terbuka.
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan