KUALA LUMPUR: Arab Saudi setakat ini tidak mengeluarkan sebarang arahan yang mengehadkan ibadah umrah hanya untuk jemaah berusia antara 18 hingga 50 tahun saja.
Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali, berkata pihaknya sudah berhubung dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang kemudian menafikan dakwaan itu.
"Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan berita berhubung penetapan had umur bagi permit umrah itu tidak benar malah pihak di sana terkejut dengan berita itu kerana dikhuatiri merisaukan bakal jemaah.
"Kami beri jaminan tiada arahan sedemikian dari Arab Saudi dan proses mengerjakan umrah berjalan lancar seperti biasa.
"Jemaah umrah dari luar negara yang sihat, lengkap vaksinasi dan berumur 18 tahun ke atas adalah dialu-alukan kerajaan Arab Saudi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Semakan BH melalui laman rasmi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di https://www.haj.gov.sa turut mendapati tiada sebarang kenyataan sedemikian disiarkan.
Gulf News melalui laporan dalam taliannya pada 19 November lalu mendakwa Arab Saudi mengehadkan permit bagi umrah untuk jemaah warga asing kepada golongan berusia antara 18 hingga 50 tahun saja.
Berdasarkan kenyataan didakwa dipetik daripada Kementerian Umrah dan Haji itu, setiap jemaah warga asing juga diwajibkan mengambil suntikan lengkap vaksin COVID-19 yang diiktiraf Arab Saudi.
Selain itu, jemaah perlu mengemukakan sijil vaksinasi yang disahkan secara rasmi untuk mendapatkan visa kemasukan elektronik melalui aplikasi kesihatan Eatmarna dan Tawakkalna di laman sesawang Kementerian Luar Arab Saudi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata pihaknya turut menerima panggilan daripada jemaah umrah berusia lebih 50 tahun ke atas yang khuatir sebaik membaca laporan berita berkenaan.
"Berita palsu dan kami sudah memeriksa dengan muassasah di sana. Kenyataan itu bukan dikeluarkan Arab Saudi, maka jemaah umrah yang sudah berdaftar tidak perlu risau.
"Sistem permohonan visa bagi tujuan umrah juga masih berjalan lancar seperti biasa.
"Saya nasihatkan bakal jemaah atau agensi pelancongan dapatkan maklumat daripada sumber sahih termasuk Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang bertanggungjawab dalam hal umrah di negara ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Razali berkata, Arab Saudi juga memberi kelonggaran kepada umat Islam dari Malaysia dan Brunei untuk menunaikan umrah menggunakan visa pelancongan sejak beberapa tahun lalu.
"Kalau berita had umur untuk permit itu benar sekalipun, tiada masalah buat jemaah dari Malaysia kerana dengan visa pelancongan, kita boleh menunaikan umrah.
"Selain harganya lebih murah, tiada had usia ditetapkan untuk rakyat di negara ini menggunakan visa pelancongan bagi tujuan menunaikan ibadah umrah," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan