23 November 2021

Banjir kilat di Ampang: Pagar rumah runtuh, kenderaan tenggelam

 

Keadaan dalaman kereta salah seorang mangsa yang dipenuhi lumpur akibat banjir kilat yang melanda Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor malam tadi.

Oleh  KAIROL ZULHAIDI

AMPANG: Hujan lebat yang berterusan tanpa henti sejak pukul 6 petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan di Ampang terutama Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan di sini, dilanda banjir kilat dan beberapa buah rumah serta kenderaan mengalami kerosakan yang teruk.


Hasil tinjauan HarakahDaily mendapati, banyak rumah di kawasan yang terbabit dengan bencana banjir berkenaan, rosak teruk sehinggakan ada beberapa pagar rumah penduduk runtuh dan beberapa kenderaan di kawasan sekitar turut ditenggelami banjir tersebut.

Seorang penjawat awam,  Zuraidi Yaacub, 50, yang tinggal di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang  berkata, dia mengalami kesukaran untuk tidur kerana khuatir dengan keadaan banjir yang melanda kawasan rumahnya di Ampang.

Menurutnya,banjir kilat itu telah mengakibatkan pagar rumahnya runtuh, selain peti sejuk, perabot, mesin basuh dan barang-barang penting di dalam rumahnya kesemuanya rosak, namun kenderaannya terselamat kerana kebetulan dia berada di luar lokasi kejadian ketika itu.  

Zuraidi Yaacub.

“Namun begitu saya lihat, terdapat dua buah kereta milik jiran di rumah hadapan saya rosak teruk dan tenggelam akibat banjir berkenaan.

“Pada awalnya air naik sedikit sahaja, kemudian tiba-tiba ia naik secara mendadak. Sejurus selepas mengetahui tentang banjir di Ampang, saya terus bergegas pulang  ke rumah saya bagi menyelamatkan ibu mertua dan anak-anak,  dan menghantar mereka ke rumah saya yang satu lagi di Seri Kembangan,” ujarnya.

Barangan milik mangsa banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang yang rosak ditenggelami banjir kilat semalam.

Katanya lagi, kebetulan dia memiliki dua buah rumah iaitu sebuah rumah di Kampung Lembah Jaya Utara dan sebuah lagi di Seri Kembangan.

“Saya dan keluarga kadang-kadang tinggal di Kampung Lembah Jaya Utara dan kadang-kadang juga kami menetap di Seri Kembangan. Isteri saya ketika kejadian sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di RHB Bank di Bangi, tetapi dia berasa takut untuk pulang ke sana selepas mengetahui tentang kejadian banjir kilat tersebut,” jelasnya.

Keadaan di bahagian dalaman rumah seorang mangsa banjir kilat Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang yang dipenuhi lumpur.

Tambah Zuraidi, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari juga turut hadir ke  kawasan banjir di sini bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir kilat yang menenggelami kediaman penduduk sehingga ada yang mencecah bumbung rumah, sebelum beliau ke parlimen.

Selain itu katanya, bantuan juga diterima daripada Jabatan Amal Malaysia dan beberapa Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut tampil memberikan pertolongan kepada mangsa banjir.

Sementara itu seorang pesara, Sharif Apen, 63, yang turut tinggal di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang pula berkata, banjir berkenaan telah menyebabkan kerosakan yang teruk dialami jiran rumah di hadapan kediamannya.

Sharif Apen.

“Barang-barang seperti barangan elektrik, kerusi, dan meja turut rosak. Kereta jiran yang tinggal di belakang kediaman saya langsung tidak boleh dihidupkan, malah perlu ditolak disebabkan banjir lumpur ini,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Bercerita lanjut tentang kejadian banjir semalam, Sharif berkata, hujan turun dengan sangat lebat pada petang semalam dan berlanjutan sehingga waktu Maghrib apabila dia melihat ketika itu air sungai mulai semakin melimpah naik.

“Tiba-tiba sekitar jam 8 malam, air sudah penuh (memasuki rumah jiran) dan melepasi paras separuh badan kira-kira satu meter atau tiga kaki. (Aliran) air itu terlalu laju dan turun dari kawasan bukit membawa lumpur. Lumpur inilah yang menyebabkan kerosakan dan banyak kereta tersadai.

Menurutnya, terdapat sebahagian jiran-jirannya telah dipindahkan ke dewan orang ramai berdekatan terutamanya mereka yang tinggal di rumah setingkat di Kampung Lembah Jaya Utara di  sini.

“Namun begitu, alhamdulillah, rumah saya selamat kerana air hanya mencecah paras lantai sehingga paras buku lali tetapi di sekeliling rumah saya dipenuhi lumpur. Rumah saya dua tingkat, jadi masih selamat lagi. Cuma saya kasihan kepada jiran-jiran yang tinggal di rumah setingkat, habis dimasuki air. Air melimpah dan melalui celah-celah rumah mereka,” jelasnya.

Nur Fatihah Saadin.

Sementara bagi pelajar, Nur Fatihah Saadin, 29, pula berkata, kenderaan miliknya turut dimasuki air dan mengalami kerosakan akibat banjir kilat semalam.

“Begitu juga dengan peralatan elektrik di rumah saya. Bahagian dalam rumah termasuk lantai juga mengalami kerosakan kerana mozek pecah dan lekang.

“Saya sebagai penduduk Ampang tidak menjangkakan banjir berlaku semalam. Oleh itu, saya tidak dapat membuat persiapan untuk menghadapi banjir yang berlaku secara tiba-tiba. Saya berharap perkara sebegini tidak berlaku lagi. Saya juga berharap agar pihak bertanggungjawab berusaha menyelesaikan masalah ini supaya tidak berlaku lagi,” tegasnya.

Terdahulu, hujan lebat hampir tiga jam sekitar Lembah Klang petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Ampang dilanda banjir kilat termasuk di Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan.

Lumpur memenuhi di kawasan sekitar Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang yang dilanda banjir kilat semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan pukul 7.19 malam sebelum menggerakkan dua jentera FRT bersama 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Hujan lebat berterusan menyebabkan tiga kawasan itu dilimpahi banjir kilat setinggi antara 0.3 meter hingga 1.5 meter. Banjir kilat turut menyebabkan tiga penduduk terperangkap dalam kediaman yang dinaiki air dan anggota kita menjalankan operasi mengeluarkan kesemua mangsa ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Norazam, keadaan air semakin surut dan pemantauan akan terus dijalankan secara berterusan sebelum memastikan keadaan benar-benar selamat.- HARAKAHDAILY 23/11/2021

Tiada ulasan: