MAKKAH: Jemaah selain individu yang menunaikan umrah akan dibenarkan melakukan tawaf mengelilingi Kaabah tidak lama lagi.
Memetik laporan Saudi Gazette, ikon baharu "Tawaf" akan ditambah pada aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna menjelang hujung minggu akan datang bagi memudahkan tempahan janji temu melaksanakan tawaf bagi yang bukan menunaikan umrah.
Ia selaras dengan pelaksanaan arahan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman baru-baru ini untuk membenarkan penggunaan kapasiti penuh Masjidil Haram untuk semua jemaah.
Terdapat pilihan pada aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna untuk menempah janji temu untuk mencium Hajar Aswad (Al-Hajar Al-Aswad), menyentuh Sudut Yaman (Al-Rukn Al-Yamaani), dan menunaikan solat di Hijr Ismail.
Laporan itu turut menjelaskan jemaah akan disediakan dengan perkhidmatan dan kemudahan terbaik untuk melaksanakan ibadah dengan mudah dan selesa.
Mereka akan dibolehkan untuk memanfaatkan aplikasi pintar yang dipertingkatkan berkaitan perkhidmatan di Dua Masjid Suci, kata sumber itu, sambil menunjukkan bahawa semua ini akan selaras dengan pematuhan langkah berjaga-jaga dan protokol pencegahan untuk membendung penularan koronavirus.
Komander Pasukan Khas Keselamatan Haji dan Umrah Mejar Jeneral Muhammad Al-Bassami mengumumkan bahawa tingkat satu Masjidil Haram akan dikhususkan untuk melakukan tawaf bagi jemaah bukan umrah dan ikon untuk tawaf akan ditambah pada aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna, menurut saluran Al-Ekhbariya.
Al-Bassami berkata tawaf untuk bukan jemaah umrah akan disediakan di luar waktu solat pada waktu pagi dan petang dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan dari 12 tengah hari hingga 3 petang.
Terdapat kerjasama antara semua agensi berkenaan dengan Kementerian Haji dan Umrah untuk mengaktifkan ikon Tawaf pada aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna, dan ia akan tersedia pada akhir minggu ini, bertepatan dengan percutian singkat pada hujung semester pertama pendidikan.
Al-Bassami berkata, persiapan sedang dijalankan untuk menyediakan tingkat pertama mataf (kawasan tawaf di sekitar Kaabah) dan untuk Masjidil Haram menerima jumlah jemaah yang ramai.
Semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka setiap masa ketika berada di dalam Masjidil Haram dan datarannya. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan