OSLO, NORWAY – Seorang lelaki disahkan menghidap kanser payudara selepas mempunyai benjolan pada dadanya yang disangka kesan akibat aktiviti sukan ragbi yang disertai ketika remaja, lapor akhbar New York Post semalam.
Angus McKay, 50, menyedari benjolan tersebut telah berada pada dadanya sejak remaja, namun dia hanya mendapat tahu bahawa ia merupakan kanser pada tahun lalu.
Menurutnya, ketika bertugas di luar pesisir Norway, dia beberapa kali terjaga daripada tidur kerana dadanya berasa seperti terbakar. Dia kemudian menyedari bahawa benjolan tersebut telah menjadi lebih besar.
“Saya memberitahu isteri mengenai perkara tersebut kerana ibunya pernah menghidap kanser payudara sebanyak dua kali. Dia mengajak saya untuk menjalani pemeriksaan.
“Saya amat terhutang nyawa dengannya. Pada awalnya, saya berfikir untuk membiarkan saja perkara itu,” ujar McKay.
Tambah lelaki tersebut, dia berjumpa dengan doktor pada November tahun lepas dan menjalani ujian mammogram sebelum disahkan menghidap kanser.
“Saya tahu bahawa lelaki juga boleh menghidap kanser payudara, namun berfikir bahawa kes sebegitu sangat jarang berlaku dan tidak mungkin terjadi kepada saya.
“Sekiranya terdapat lelaki yang turut mempunyai benjolan pada dada mereka, jangan abaikan kerana dengan melakukan pemeriksaan, nyawa anda dapat diselamatkan,” ujarnya.
Benjolan tersebut telah berjaya dikeluarkan dan McKay tidak perlu menjalani rawatan radioterapi atau kimoterapi.
Bapa kepada dua anak itu bagaimanapun perlu menjalani pemeriksaan setiap tahun serta mengambil ubat selama lima tahun. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan