23 November 2021

Lebih 30,000 unit kediaman tidak terjual - KPKT

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30,290 unit kediaman siap dibina bernilai RM19.75 bilion di seluruh negara yang tidak terjual setakat suku ketiga tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib, berkata jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding suku kedua tahun ini iaitu sebanyak 31,112 unit membabitkan nilai RM20.1 bilion.

"Terdapat penurunan kadar lambakan rumah yang tidak terjual walaupun tidak ketara kerana terdapat pemaju menurunkan harga atau memberikan diskaun bagi membolehkan bekalan rumah sedia ada dapat dijual dalam ketidaktentuan ekonomi masa kini.

"Ini dibuktikan dengan penurunan Indeks Harga Rumah pada suku ketiga 2021 pada 198.6 mata berbanding suku ketiga 2020 pada 199.9 mata yang menunjukkan penurunan sebanyak 0.7 peratus," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah terkini rumah tidak terjual setakat September lalu.

BH.

Tiada ulasan: