11 Mei 2012

Remaja 18 tahun lali diejek rakan pakai lampin pakai buang

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BANDAR MARAN - “Saya sudah biasa dan tidak kisah jika ada rakan-rakan yang ejek kerana saya masih pakai lampin pakai buang sehingga ke hari ini."

Demikian kata seorang remaja dari Kampung Berkat, di sini, Wan Mohd Azmeer Wan Daud, 18, yang terpaksa memakai lampin pakai buang akibat kerosakan bahagian usus sejak dilahirkan.

Menurutnya, dia sering diejek rakan sekolah dengan pelbagai panggilan gara-gara masalah itu, sebelum menamatkan persekolahan selepas menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Saya berhenti sekolah bukan kerana tidak tahan diejek, tetapi kerana tidak lagi minat nak sambung belajar walaupun ditegah emak.

“Saya tahu yang saya kena pakai lampin pakai buang ini sampai bila-bila kerana usus utama tidak lagi berfungsi. “Sudah nasib tapi saya tidak kisah, malah ramai juga rakan yang memahami keadaan ini cuma ada segelintir yang suka mengusik,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibunya, Zabidah Yusof, 46, berkata, kerosakan usus utama anak keenam daripada 10 beradik itu dikesan ketika dilahirkan dan semakin teruk akibat gagal mendapatkan rawatan segera.

Menurutnya, kira-kira RM60 diperlukan untuk membeli lampin pakai buang dan jumlahnya bergantung kepada penggunaan.

“Saya memang tidak setuju dia mahu berhenti sekolah tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana itu atas kehendak dia sendiri,” katanya.

Sinar Harian

Anggota polis kena penjara 54 bulan

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang anggota polis dihukum penjara 24 dan 30 bulan serta denda keseluruhan RM25,000 setelah disabitkan bersalah di akhir kes perbicaraan dalam Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan terhadap tuduhan meminta dan menerima rasuah.

Tertuduh, Adli Ismail, 37 dari Kem UKK, Sungai Kerpan, Lipis didapati bersalah meminta dan menerima RM1,200 sebagai dorongan untuk mengubah keputusan ujian saringan air kencing seorang lelaki dan wanita yang dikatakan positif dadah Methamphetamine.

Hukuman penjara yang diputuskan Hakim Fathiyah Idris bagaimanapun berjalan serentak bermula dari tarikh dia disabitkan, semalam.

Anggota dari cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis ini turut berdepan hukuman penjara 25 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang ditetapkan.

Tertuduh melalui peguamnya bagaimanapun memohon penangguhan hukuman secara lisan sementara memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Dalam alasannya, tertuduh memberitahu mahkamah masa depan dan persekolahan anak-anaknya akan terganggu sekiranya dia ditahan dipenjara sehingga rayuannya selesai memandangkan isterinya tidak bekerja.

Fathiyah membenarkan permohonan tertuduh itu bagaimanapun penangguhan hanya melibatkan hukuman penjara dan bukan denda.

Penangguhan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari notis rayuan dikemukakan namun jaminan ke atas tertuduh dinaikkan kepada RM15,000 dengan dua orang penjamin.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Ahmad Nidzam Wan Omer, tertuduh yang sudah 16 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa meminta suapan daripada pengadu ketika berada di lokap Mahkamah Kuala Lipis antara jam 8-10 pagi, 2 Jun 2010.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang paling tinggi.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM kerana menerima suapan daripada pengadu ketika berada di Felda Chegar Perah, Lipis kira-kira jam 7 petang 8 Jun 2010.

Bagi tuduhan itu, tertuduh turut berdepan dengan hukuman yang sama.

Tertuduh yang ditahan pada 8 Jun 2010 dihadapkan ke mahkamah dalam sebutan kali pertama kesnya pada 1 Disember 2012 sebelum disabitkan bersalah semalam.

Tertuduh (tunduk) yang diiringi pegawai SPRM cuba mengelak wajah dirakam jurugambar yang menunggu di luar kamar Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, semalam.

Sinar Harian

Cedera ditimpa siling

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

CHEMOR, Ipoh - Hujan lebat diiringi ribut kuat menyebabkan 22 rumah rosak dalam kejadian di Kampung Ulu Kuang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tujuh daripada rumah di situ mengalami kerosakan teruk kerana bumbung diterbangkan angin termasuk ada yang dihempap pokok dalam kejadian yang berlaku dalam tempoh satu jam itu.

Seorang warga emas, Mustapha Dahalan, 67, kurang bernasib baik apabila kepalanya cedera ditimpa siling dapur selepas bumbung rumahnya dihempap tiga pokok.

Abang mangsa, Salleh Dahalan, 73, ketika ditemui sempat menceritakan pengalaman yang menimpa keluarganya itu.

Menurutnya, sewaktu kejadian, dia yang berada di hadapan rumah melihat gulungan angin muncul menumbangkan pokok di sekitar kawasan rumah adiknya.

“Selepas melihat gulungan angin itu, saya ke bahagian dapur dan melihat adik (Mustapha) sedang menutup tingkap dapur sebelum bunyi dentuman kuat menimpa bumbung.

“Adik saya yang berada di dapur tidak sempat menyelamatkan diri, dia cedera selepas siling menimpa kepalanya,” katanya yang bercuti di rumah adiknya sejak Selasa lalu.

Katanya, ketika kejadian seramai 11 ahli keluarga berada dalam rumah berkenaan termasuk warga emas dan kanak-kanak.

Sementara itu, Adun Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim berkata, sejurus menerima berita kejadian itu, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Ipoh dan Sungai Siput tampil membantu.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memotong sementara bekalan elektrik di kawasan terbabit demi keselamatan penduduk setempat,” katanya yang dijangka akan memberi bantuan kepada mangsa dalam tempoh terdekat.

Sinar Harian

Polis jejak geng nakal

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH - Polis masih giat menjalankan siasatan bagi menjejaki sekumpulan remaja nakal yang bertindak memecahkan cermin beberapa kereta di kawasan perumahan sekitar Pengkalan baru-baru ini.

Kumpulan yang terdiri antara tujuh hingga lapan remaja liar itu bergerak aktif terutamanya pada waktu malam ketika penduduk sedang beristirahat di rumah masing-masing.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya yakin perbuatan khianat yang berlaku sejak dua minggu lalu itu bukan didalangi mat rempit atau bermotifkan dendam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kegiatan itu dilakukan tanpa sebarang niat jenayah dan sekadar hanya untuk ‘suka-suka’.

“Setakat ini, polis mendapati kes pecah kereta menggunakan batu bata ini berlaku di Taman Desa Pakatan, Taman Pinji Mewah dan Taman Pengkalan Jaya, Pengkalan, di sini.

“Kebanyakan kereta hanya dipecahkan bahagian cermin manakala barang berharga di dalam kereta itu langsung tidak diusik penjenayah,” katanya.

Beliau berkata, rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan perumahan itu turut dipertingkatkan bagi mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.

“Orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh atau menghubungi talian Rakan Cop untuk memudahkan kami memberkas kumpulan remaja ‘nakal’ terbabit,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan pemilik lapan kereta berputih mata apabila mereka kerugian ratusan ringgit selepas cermin kereta mereka dipecahkan menggunakan batu bata oleh kumpulan berkenaan.

Sinar Harian

Enam masjid dilengkapi CCTV

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BESUT - Sebanyak enam masjid di Besut dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pemantaun dan keselamatan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Ibrahim Mohamad berkata, setakat ini enam masjid diberi keutamaan termasuk Masjid Hadhari Jertih dan Masjid Kayu Ulul Albab Sebarang Jertih.

Menurutnya, kemudahan CCTV tersebut boleh dipantau oleh jawatankuasa masjid melalui telefon mudah alih walaupun di mana berada di seluruh dunia.

“Bagaimanapun buat masa ini kesemua masjid yang dipasang akan dipantau 24 jam oleh MDB bagi memastikan keselamatan di kawasan dan dalam masjid.

“Mana-mana masjid yang memerlukan kemudahan ini oleh membuat permohonan dan pihak saya akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Mesyuarat Pimpinan Daerah (Mespida) Besut yang dipengerusikan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Hadir sama Pegawai Daerah Besut, Ab Rahim Jusoh dan ketua-ketua jabatan kerajaan, wakil parti politik, pemimpin pertubu­han bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat.

Menurutnya, Mespida adalah salah satu inisiatif yang dilakukan Ibu Pejabat Polis (IPK) Terengganu bertindak sebagai ‘Thinks Tank’ bagi membincang dan mencari jalan yang sesuai dalam perancangan serta tindakan pencegahan jenayah peringkat daerah.

Sementara itu Kamaruddin berkata, Mespida yang turut dianggota Pegawai Daerah Besut, YDP MDB dan ketua-ketua jabatan berperanan mendapatkan input dari pimpinan masyarakat terhadap bentuk pencegahan jenayah.

“Usaha ini adalah bukti polis menghargai pendapat dan pandangan masyarakat dalam mencorak dan mewarnai landskap keamanan serta kesejahteraan di tempat tinggal mereka,” katanya.

Sinar Harian

‘Spiderwoman’ dipenjara seminggu

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Dek kerana terlalu ‘gian’ pil kuda, seorang ibu beranak satu nekad memanjat tingkat tiga asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini, semata-mata untuk mencuri kabel besi tembaga, awal pagi Isnin lalu.

Bagaimanapun, tindakan berani wanita yang terdesak itu, Wook @ Murniyati A Rahman, 32, dari Perumahan Kos Rendah Kampung Bukit Tunggal di sini, menerima padah setelah dijatuhi huku­man penjara selama seminggu dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman berkenaan dijatuhkan selepas surirumah sepenuh masa ini mengaku bersalah mencuri lima keping kabel besi tembaga bernilai RM100 milik SMK Bukit Besar, di sini, pada 7 Mei lalu kira-kira jam 4 pagi.

Dengan itu, Wook @ Murniyati mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hada­pan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala Wook @ Murniyati tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Wook @ Murniyati kantoi selepas pengawal keselamatan sekolah yang sedang meronda terserempak dengannya ketika itu sedang membawa kabel besi tembaga tersebut disyaki dicuri di bangunan asrama lelaki di sekolah terbabit.

Pengawal Keselamatan berusia 38 tahun itu terus menahannya dan menyerahkan kepada polis. Satu laporan polis kemudiannya dibuat di Balai Polis Chabang Tiga.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran Selasa, 8 Mei menyiarkan seorang ibu beranak satu berlagak ala ‘spiderwoman’ apabila dia memanjat tingkat tiga bangunan asrama SMK Bukit Besar di sini dipercayai untuk mencuri tembaga wayar bumi yang dipasang di bangunan sekolah berkenaan.

Sinar Harian

Culik, paksa bekas teman wanita kahwin

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang penganggur dan rakannya dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menculik dan memaksa bekas teman wanita berkahwin, awal bulan ini.

Tertuduh, P Sethupathi, 24, dan sahabatnya M P Namasivayam, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Ida Rahayu Syarif.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dari Taman Cheng Jaya, dekat sini, didakwa menculik atau melarikan R Padmah, 22, bagi memaksa dia berkahwin di tepi Hotel Casa Del Rio, Jalan Kota Laksamana, jam 7.20 pagi pada 1 Mei 2012.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang mempe­runtukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-duanya memohon jaminan dikurangkan sebelum Ida Rahayu membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang selain menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Dalam prosiding berbeza di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, Sethupathi turut didakwa bersama tiga rakan yang dituduh dan seorang masih bebas didapati melakukan rompakan berkumpulan, dua tahun lalu.

Tertuduh didakwa merompak harta milik R Puganeswaran, 20, iaitu wang tunai RM1,500 dan sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericson di tepi jalan berhampiran Hentian Teksi Melaka Sentral, kira-kira jam 10.10 malam pada 28 Disember 2010.

Dia dituduh mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 395 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff yang mengendalikan kes meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh dan memohon tertuduh dibicarakan bersama tiga rakan lain.

Namun, tertuduh merayu wang jaminan­ dikurangkan dengan alasan dia tidak mempunyai ibu bapa dan dijaga oleh seorang nenek saudara selain hanya dia seorang yang membantu neneknya itu.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, hakim, Abu Bakar Katar membenarkan Sethupathi diikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan tarikh bicara pada 5 Julai depan bersama rakan-rakannya.

Sinar Harian

Gempar panggilan bom palsu

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Sebuah hospital swasta, di sini, gempar apabila menerima satu panggilan bom palsu, pagi semalam.

Seorang jurucakap hospital berkenaan­ berkata, seorang lelaki yang tidak dikenali menghubungi talian kecemasan kira-kira jam 11 pagi dan mendakwa terdapat bom di kawasan itu.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan pihak hospital menghubungi pihak polis sebelum mengarahkan sebahagian pesakit dan kakitangan untuk mengosongkan bangunan.

“Selepas beberapa jam pihak polis melakukan pemeriksaan, kita dimaklumkan bahawa tiada sebarang objek mencurigakan ditemui dan semua urusan hospital diteruskan seperti biasa.

“Kita berasa kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab ini kerana ia boleh menjejaskan operasi­ hospital dan mengganggu pesakit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang membuat panggilan palsu tersebut.

Katanya, satu unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Kontinjen negeri dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan dari hospital berkenaan.

“Selepas melakukan pemeriksaan secara terperinci di setiap bangunan, kita dapati panggilan berkenaan adalah palsu.

“Kita akan mengesan individu yang bertanggungjawab membuat panggilan itu,” katanya.

Agency

Tragedi pesawat: Tiada tanda mangsa selamat

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Pasukan mencari dan penyelamat menemui bangkai pesawat Sukhoi Superjet 100 buatan Rusia di tebing curam Gunung Salak, Bogor dekat sini tetapi tiada tanda ada mangsa terselamat dalam tragedi itu.

Sebuah helikopter yang menyertai operasi mencari dan menyelamat tidak menemui mangsa terselamat.

Jurucakap pasukan mencari dan penyelamat berkata, sejumlah mayat ditemui di tempat kejadian.

"Setakat ini, kami tidak menemui mangsa terselamat, tetapi kami masih mencari," kata Gagah Prakoso.

Laporan semalam menyebut cuaca buruk dan kesukaran untuk sampai ke tebing curam, tempat pesawat itu terhempas kelmarin, memaksa pasukan mencari dan menyelamat menunda operasi mengeluarkan mangsa nahas ke pagi ini.

Ketua Penyelaras Badan SAR Nasional (Basarnas) Ketut Purwa berkata, operasi terpaksa dihentikan petang semalam akibat cuaca buruk dan akan disambung semula pada pukul 6 pagi ini.

Menurutnya, nasib 45 penumpang pesawat itu masih belum diketahui setelah pasukan penyelamat mengesan dari udara serpihan bangkai pesawat itu di tebing curam, Gunung Salak, Bogor, pagi semalam.

Angka terbaru jumlah penumpang itu diumumkan oleh pihak berkuasa setelah syarikat ejen Sukhoi mengesahkan lima orang yang terdaftar dalam senarai 50 penumpangnya, tidak menaiki pesawat malang itu.

Tempat kejadian di lereng gunung itu berada di ketinggian 5,800 kaki di atas paras laut.

Lapan warganegara Russia dari syarikat Sukhoi adalah antara penumpang pesawat itu selain warganegara Indonesia termasuk beberapa orang wartawan.

Pesawat itu yang berlepas dari Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 2.12 petang kelmarin, dilaporkan hilang sekitar pukul 2.50 petang apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara.

Ia berlepas dari Jakarta dalam misi penerbangan pertunjukan ringkas.

Sejurus sebelum tragedi juruterbang pesawat telah meminta izin dari menara kawalan udara untuk menurunkan pesawat dari ketinggian 10,000 kaki ke ketinggian 6,000 kaki, namun belum ada penjelasan mengapa juruterbang itu bertindak sedemikian.

Sinar Harian

Cermin kereta hampir pecah dek lori muatan lebih

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI TIANG – “Nasib saya cepat tekan brek,” kata seorang penduduk dari Pendang yang tidak berpuas hati terhadap pemandu lori batu di laluan Sungai Tiang yang membawa muatan berlebihan menyebabkan cermin keretanya hampir pecah.

Zawawi Saidin, 40, berkata, dia memandu kereta dari Pendang ke Sik, namun ketika dalam perjalanan seketul batu jatuh ke atas cermin keretanya ketika berselisih dengan sebuah lori muatan batu di Kampung Baru dekat Jalan Sungai Tiang.

“Saya terkejut dengan bunyi kuat di cermin, namun bersyukur kerana tiada apa-apa kesan pecah pada cermin kecuali calar sahaja.

“Lebih tiga kali kejadian sama berlaku dan ia mengundang bahaya kepada orang ramai terutamanya kenderaan yang mengekori dari belakang atau berselisih,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian melakukan tinjauan di laluan yang dikatakan dan mendapati, terdapat beberapa lori yang membawa muatan berlebihan memilih laluan itu untuk ke Gurun, Jeniang, Sik, Pendang selain menggunakan lebuh raya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Farid berkata, terdapat banyak lori yang menggunakan laluan itu untuk membawa muatan lebih, kerana didakwa sukar dikesan pihak berkuasa.

Katanya, dia berharap agar pihak polis dapat mengambil tindakan serius mengenai perkara ini.

Sinar Harian

Amah ditemui mati terbakar

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI DUA, Penang - Seorang pembantu rumah warga India ditemui mati di stor simpanan barang yang terletak bersebelahan rumah majikannya semalam.

Difahamkan, hampir 90 peratus tubuh mangsa terbakar.

Jurucakap polis berkata, mangsa berusia lingkungan 20-an baru dua bulan berada di negara ini dan bekerja dengan majikan berbangsa Punjabi di Taman Pekaka dekat sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa pertama kali datang ke negara ini menggunakan permit sah.

“Mengikut anak majikan, pada jam 9 pagi tadi (semalam), beliau mencari mangsa dan tidak menemuinya. Kemudian beliau keluar rumah dan mendapati pintu stor simpanan barang yang terletak di tepi rumah terbuka dan masuk ke dalamnya.

“Sebaik memasuki stor, anak majikannya terkejut apabila mendapati wanita itu dalam keadaan terbaring dengan 90 peratus badannya terbakar dan tidak bernyawa lagi,” katanya kepada media semalam.

Sinar Harian difahamkan, anak majikan yang terkejut dengan kejadian itu kemudian menghubungi ibu bapanya sebelum memaklumkan kepada polis.

Menurutnya, pemeriksaan polis mendapati sekotak mancis dan dua botol minyak ditemui bersebelahan mangsa.

“Kita masih menyiasat kandungan minyak yang digunakan, Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada mancis dan minyak itu digunakan oleh mangsa.

“Motif kejadian masih disiasat sama ada mangsa mengalami masalah dengan majikan atau percintaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, jiran yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau tidak mendengari sebarang jeritan atau kekecohan di stor berkenaan.

Katanya, beliau hanya menyedari mengenai kejadian itu setelah mendapati beberapa anggota polis memasuki kawasan rumah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Ratwinder Kaur.

Sinar Harian

Ugut keluarga sendiri, dua pemuda dipenjara

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA KRAI - Seorang pesalah dadah berusia 26 tahun, tergamak mengugut untuk membunuh bapa dan ahli keluarganya sendiri dengan niat hendak mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.

Tindakan Tengku Marnizam Tengku Mazidi itu bagaimanapun membawa padah, apabila dia dihukum 15 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Hukuman dikenakan Majistret Nor Ahmeed Fahd Abdullah selepas tertuduh mengaku salah melakukan ugutan jenayah, dengan niat hendak mendatangkan ketakutan atau kematian terhadap bapanya, Tengku Mazidi Tengku Mansor, 53.

Kesalahan itu dilakukan di rumah mereka di Guchil 5, dekat sini, kira-kira 5.15 petang, Sabtu lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah membuat ugutan itu, selepas mengamuk dan memarahi bapanya kerana membuat laporan polis terhadapnya hingga dia ditangkap.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemuda berusia 34 tahun dijatuhi hukuman dua bulan penjara setelah didapati bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu tirinya, 13 April lalu.

Tertuduh, Mohd Azam Mat Nawi mengaku bersalah selepas pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dibacakan terhadapnya di hadapan Nor Ahmeed Fahd.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, tertuduh tiba-tiba mengamuk dan cuba memukul ibu tirinya, Mek Yah Dollah, 57, sebelum mengugut akan menyimbah mangsa dengan cuka getah (asid).

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, Inspektor Aizuddin Jamaludin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Agency

Anggota polis tembak rakan setugas didakwa

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas tuduhan membunuh rakan setugas di hadapan­ Istana Anak Bukit, bulan lalu.

Rosli Abu Hasan, 25, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah. Rosli didakwa dengan niat, membunuh Konstabel Mohd Sobri Mohd Sidek, 22, di pintu masuk utama Istana Anak Bukit pada jam 5.45 petang, 26 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman­ mati mandatori jika sabit kesalahan.

Peguam P Ashokumar yang mewakili tertuduh memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dibenarkan ikat jamin dan menjalani rawatan mental.

Mohd Azhar membenarkan Rosli menjalani rawatan mental, tetapi menolak permohonan ikat jamin.

Kes itu akan didengar semula 10 Jun depan.

Sinar Harian

Remaja tak mengaku salah bunuh bapa

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH – Remaja 15 tahun yang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh bapanya di Taman Bersatu, Simpang Pulai antara 30 April dan 1 Mei lalu, mengaku tidak bersalah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama jika disabit kesalahan.

Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menetapkan 8 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini akhbar melaporkan, dalam kejadian 30 April, 11.30 malam hingga 1 Mei, 12.30 malam itu, lelaki berusia 40 itu maut selepas ditikam lebih 10 kali di perut dan dada oleh remaja itu.

Remaja itu kemudian mendakwa mangsa dibunuh penjenayah yang memecah masuk kediamannya.

Suspek dipercayai bergelut dengan bapa kandungnya itu sebelum bertindak menikam menggunakan dua bilah pisau.

Sinar Harian

Kilang perabot hampir musnah

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SIMPANG RENGGAM - Sebuah kilang perabot yang terletak di Taman Rumas, di sini, hampir musnah dalam satu kebakaran yang berlaku pada awal pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu mengakibatkan hampir keseluruhan kilang berkenaan hangus.

Pemilik kilang, Shim Kwee Wong berkata, kejadian itu mengakibatkan dia mengalami kerugian teruk, namun jumlah sebenar masih belum ketahui.

“Sewaktu kejadian saya berada di rumah dan kebakaran tersebut diketahui apabila seorang rakan menelefon saya sekitar jam 2.30 hingga 2.40 pagi. Apabila mengetahui kilang perabot itu terbakar, saya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika itu, api sedang marak di bahagian tengah kilang dan terus merebak ke bahagian hadapan.

“Walau bagaimanapun, tiada apa yang boleh diselamatkan kerana api merebak terlalu cepat,” katanya kepada Sinar Harian.

Kwee Wong berkata, kilang perabotnya itu sudah beroperasi hampir 25 tahun dan hasil pengeluarannya adalah untuk pasaran luar negara.

Menurutnya, jumlah perabot yang terdapat di dalam kilang tersebut terlalu banyak memandangkan sedang membuat persediaan untuk pengeluaran pada Hari Raya Aidilfitri.

“Saya rasa sedih dan saya sendiri masih tidak mengetahui punca sebenar kebakaran tersebut berlaku.

“Saya serahkan soal siasat mengenai punca kebakaran kilang ini kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Kluang, Abdul Rahman Ismail berkata, pihaknya mengambil masa 17 minit untuk sampai ke kilang berkenaan yang terletak sejauh 27 kilometer dari Balai Bomba Bandar Kluang.

Menurutnya, sewaktu bomba sampai ke tempat kejadian kilang sudah hampir 80 peratus terbakar. Walau bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal dalam masa setengah jam dan keseluruhan kebakaran berjaya dipadam tiga jam kemudian.

“Namun, pihak bomba mengalami kesukaran memadamkan api kerana sumber air terlalu jauh iaitu terletak 1,200 kaki daripada tempat kejadian, malah tekanan air juga rendah menyebabkan bomba terpaksa menggunakan ‘pumpkin pam’ bagi mengepam air untuk sampai ke tempat kebakaran.

“Selain itu, bomba juga mengalami kesukaran untuk memasuki kilang berkenaan berikutan kilang tersebut padat dipenuhi dengan barang dan mesin. Malah, laluan masuk ke dalam kilang juga sukar, yang mana bomba terpaksa memecahkan tembok kilang bersebelahan bagi memudahkan kerja memadamkan api,” katanya.

Abdul Rahman berkata, seramai 23 anggota dari empat balai bomba iaitu Balai Bomba Renggam, Kluang, Rengit dan Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan api.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan hanya melibatkan kemusnahan perabot, mesin dan kenderaan van.

“Pada masa ini segala kos kerugian dianggarkan berjumlah RM3.7 juta dan punca kebakaran­ masih dalam siasatan­ lagi.

“Hanya di bahagian belakang kilang sahaja berjaya diselamatkan dengan anggaran kos RM300,000,” katanya.

Sinar Harian