16 April 2013

Masih ada harapan

Foto5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

New Delhi: Sebuah hospital swasta utama India menawarkan bantuan memeriksa bayi perempuan berusia 18 tahun yang menderita penyakit menyebabkan kepalanya membesar lebih dua kali ganda.
Tawaran itu memberi harapan baru untuk Roona Begum yang menderita hydrocephalus sejenis penyakit menyebabkan cairan berkumpul di otaknya dibedah segera bagi menyelamatkan nyawanya. Penderitaan Roona yang tinggal di kawasan pedalaman negeri Tripura dikesan minggu lalu.

Keluarganya terlalu miskin untuk membayar rawatan bagi mengatasi masalah itu lebih awal.
Jangkitan menyebabkan kepala Roona membengkak sehingga 91 sentimeter.

Ekoran siaran gambar Roona, beberapa pihak tampil untuk membantu keluarga terbabit dengan menawarkan derma.

Sebuah laman sesawang khas untuk mengumpul dana juga dibuka. Pakar pembedahan saraf India, Sandeep Vaishya berkata, dia akan memeriksa keadaan Roona bagi memastikan sama ada pembedahan boleh dilakukan atau tidak.

ROONA dipangku ibunya di kampung mereka di Jirania Khola.
Ketua Jabatan Pembedahan Saraf Hospital Fortis itu berkata, jika keadaan mengizinkan, Roona akan diterbangkan ke New Delhi untuk dirawat. “Kami akan menjalankan pemeriksaan untuk melihat keadaan otaknya.

“Saya harap kami dapat membedah Roona dan mengurangkan tekanan dialami otaknya,” katanya. Hospital Fortis mempunyai sebuah yayasan kebajikan yang sering menjalankan pembedahan amal tanpa dikenakan bayaran. Sebelum ini, bapa Roona, Abdul Rahman, 18, berkata dia tidak berharap anaknya pulih seperti sepatutnya.

“Hanya keajaiban dapat menyelamatkan Roona,” katanya. - AFP

Apabila rakyat memantau pilihan raya

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



SAYA terpanggil untuk memberi pandangan berikutan gesaan pihak Polis Diraja Malaysia supaya tiada individu atau kumpulan mengadakan aktiviti pemantau pilihan raya ketika ini. Suatu hal yang perlu diingat, kerja-kerja pemantauan yang dilakukan oleh kebanyakan gerakan massa hari ini bukanlah mengambil alih tugas agensi-agensi penguatkuasa seperti polis dan SPRM.

Begitu juga apa yang dilakukan oleh aktivis-aktivis anak muda di Kelantan, bahkan seluruh negara hari ini. Ia lahir dari kesedaran betapa pilihan raya yang baik mesti diwujudkan. Ia mestilah dapat dirasai oleh rakyat dengan penyelewengan yang paling minimum jika pun tidak mampu dihapuskan.

Bagi saya selaku aktivis pemantau pilihan raya di Kelantan, kami percaya bahawa sebuah kerajaan yang baik hanya mampu dihasilkan dari pilihan raya yang bebas dari elemen-elemen penipuan, ugutan, penyalahgunaan kuasa, dan pelbagai macam kepincangan.

Kumpulan atau parti politik yang memanipulasikan kelemahan sistem perundangan dengan mengamalkan bermacam penyelewengan untuk menang tentu mengamalkan hal yang sama sebaik memegang kuasa menerajui kerajaan. Justeru, mahu tidak mahu rakyat mesti terlibat langsung dalam memantau, memerhati perjalanan pilihan raya agar keputusan undian kelak benar-benar menggambarkan kehendak majoriti rakyat tanpa penipuan dan tanpa dipengaruhi nilai-nilai yang tidak berpatutan.

Apatah lagi selaku individu muslim, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu adalah tanggungjawab yang telah dimaktubkan dalam Al-Quran dan as-Sunnah. Berusaha sedaya mungkin untuk suatu pilihan raya yang bebas dan adil adalah suatu kebaikan dan segala macam penyelewengan adalah kemungkaran yang mesti ditentang.

Aktivis-aktivis pemantau dalam banyak keadaan tidak perlu bertindak semberono. Memadai fahami undang-undang negara dan adukan setiap penyelewengan dan kesalahan yang dilakukan kepada pihak-pihak berkuasa termasuk polis dan SPR. Bahkan itulah yang disaran oleh pihak berkuasa dan yang kami amalkan di Kelantan.

Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, (Akta 597) menegaskan bahawa semua pihak hendaklah diberi perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 21 UDHR telah memberi hak untuk rakyat terlibat secara langsung dalam membentuk kerajaan di negaranya. Penglibatan rakyat tentunya bukan terhad kepada pembuangan undi semata-mata. Ia lebih dari itu.

Aspirasi sebuah kerajaan adalah gambaran kepada aspirasi rakyat. Dengan itu, rakyat berhak memastikan proses pilihan raya berjalan secara adil dan bebas mengikut undang-undang yang sah dan nilai-nilai moral yang sejagat.

Tidak siapa yang boleh lupa bila mana dalam suatu forum PRU13, kuasa dan penglibatan rakyat yang diadakan di Kota Bharu pada 19 Januari lalu telah didedahkan adanya pengundi berdaftar yang bernama Balai Polis Sentul. Pendedahan yang dibuat oleh Datuk Husam Musa tersebut sama sekali tidak dinafikan oleh Ybhg Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, mantan Pengerusi SPR.

Tidak boleh kita bayangkan bila manusia seperti ini keluar membawa kad pengenalan dan membuang undi pada 5 Mei 2013 kelak. Wajarlah gesaan Ybhg Tan Sri Abdul Rashid bahawa undang-undang pilihan raya Malaysia mesti melalui suatu proses pembaharuan yang total.

Begitu juga dengan penyalahgunaan tempat-tempat awam yang begitu berleluasa oleh parti penyandang ketika ini. Apakah rakyat boleh terus diperdaya bahawa penggunaan premis-premis awam seperti sekolah dan balai raya oleh Umno dan BN adalah hal biasa? Jika dulu rakyat boleh kata “Oh, itu biasalah. Dia yang perintah”. Hari ini rakyat kian faham prinsip-prinsip sama rata yang mesti wujud dalam proses sebuah pilihan raya.

Bagaimana pula siaran-siaran media kerajan termasuk radio dan televisyen yang saban waktu terus mengamalkan sikap tidak adil dan berat sebelah? Fitnah, tohmahan, kejian kepada pihak lawan menjadi antara agenda utama dalam memomokkan bahawa BN adalah parti terbaik.

Walhal, RTM adalah hak semua rakyat. Ia adalah hak kepada penyokong PAS, Umno dan juga seluruh rakyat yang tidak berparti.

Bagaimana pula dengan kempen-kempen bersifat provokasi kaum dan agama? Tersebarnya risalah jahat seolah-olah direstui oleh pihak-pihak tertentu. Ia dijalankan sebegitu teratur dan licin melalui agensi-agensi awam yang sebenarnya dimiliki oleh rakyat bukannya parti politik.

Bertitik tolak dari faktor-faktor di atas, ia jelas memnuntut kecaknaan seluruh rakyat untuk bertindak sebagai pemantau dan pemerhati kepada PRU13 bagi memastikan kepincangan berada pada tahap yang paling minimum.

Seluruh rakyat adalah bertanggungjawab kepada kelangsungan perjalanan negara ini. Ia tidak sekadar ditentukan oleh kelompok-kelompok kecil parti politik semata-mata. Wajarlah jika hari ini rakyat bangkit menuntut suatu proses pilihan raya yang berwibawa dengan bertindak memantau dan memerhati proses yang akan berjalan sehingga 5 Mei 2013.

harakahdaily/-

Dibunuh ketika makan

Foto5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Seremban: Keseronokan seorang ahli perniagaan menikmati makan malam bersama isteri dan dua anak lelakinya berakhir dengan tragedi memilukan apabila dia maut ditembak dari jarak dekat di restoran di Pusat Komersial Oakland, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa, Tan Kok Soon, 56, dari Seremban 2 bersama isteri dan dua anak berusia lima dan 11 tahun menjamu selera sebelum didatangi seorang lelaki bersenjatakan pistol jenis semi-auto melepaskan tembakan ke arahnya, jam 6.55 petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Superintendan Zazali Hashim berkata, mangsa mati selepas terkena tembakan belakang badan.

“Hasil soal siasat beberapa pelanggan di restoran itu, suspek memakai topi keledar berpenutup penuh menghampiri mangsa dari belakang sebelum melepaskan tiga das tembakan di belakang badannya.
ANGGOTA forensik memeriksa mayat mangsa di lokasi kejadian.

“Mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum suspek melarikan diri menggunakan motosikal diparkir di kawasan berhampiran,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini, kelmarin. 

metro/-

Jika Holywood boleh cipta Avatar - Mahathir

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -





Ini baru di anggap dedah rahsia untuk kebaikan umat, bukan seperti macai UMNO dedah lucah yang tidak di ketahui kebenaran untuk mengaibkan mana-mana pemimpin.

Jika ada bukti dan sebgainya serah pada pihak bertanggung jawab untuk di adili bukan mengaib dan secara automatik memalukan dan menuduh seseorang itu.

Teringat kata Mahathir Mohammad Bapa Macai Semalaysia, "Jika Holywood boleh cipta movie avatar, mereka juga boleh mencipat konspirasi 9 11"

harakahdaily/-

Juak suburkan budaya lucah, tetapi nafi pula

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Amalan politik kotor, lucah, fitnah dan ugut serta samseng seolah-olah disuburkan oleh BN melalui juak-juaknya mutakhir ini.

Sejak insiden pada tahun 1998 membabitkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, BN seolah-olah membudayakan tuduhan ‘lucah’ dan membiarkan budaya samseng ini berlaku sebagai jalan propaganda mengutip sokongan rakyat.

"Setelah mutakhir ini terlalu banyak didedahkan video ini, orang ramai tidak percaya dengan video ini sama ada betul atau sebaliknya itu semua orang ramai tidak bercaya kerana bagi orang ramai, BN seolah-olah menggalakkan budaya lucah ini.

"Saya menyeru orang ramai menolak budaya ini dengan menolak Umno dari menjadi peneraju negara dalam PRU13," kata Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Wanita bangkit bantah video lucah

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Sensitiviti golongan wanita terus meningkat dari hari ke hari ekoran penyebaran video lucah di laman sosial facebook, blog dan juga di tempat-tempat awam.

Hari ini bertalu-talu golongan wanita bangkit bagi menyatakan bantahan mereka itu.

Pakar motivasi terkenal, Profesor Dr Muhaya melalui facebooknya meminta semua pihak menjauhi budaya kotor itu dan meminta orang ramai menolaknya.

"Semoga kita semua menjaga hati dan jiwa kita dan anak-anak dengan mengelakkan budaya tidak sopan di dalam apa jua urusan harian termasuk berita dan bahan yang di tonton di media massa dan alam siber," tulis Dr Muhaya.

Beliau dipercayai merujuk kepada video lucah yang disebarkan macai Umno yang cuba membunuh lawan politiknya.

Bagi Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan Selangor, pemimpin BN disarankan agar bertaubat serta tidak lagi menggunakan bahan lucah dan seks sebagai senjata politik mereka.

Dr Halimah berkata, BN seharusnya malu dan sedar bahawa perbuatan tersebut jauh menyimpang dan sama sekali tidak mencerminkan kesucian agama Islam dan ketuanan budaya Melayu yang sering diuar-uarkan.

Baginya, BN harus rasa malu kerana orang bukan Islam pun tidak menggunakan cara yang jijik.

harakahdaily/-

Cucuran air gagal bunuh bayi

Foto5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Port Dickson: Seorang remaja perempuan bukan saja bertindak kejam dengan membuang bayi dipercayai baru dilahirkannya ke dalam lubang tandas, malah cuba melemaskan insan kecil itu dengan membuka paip air dalam kejadian di Dataran Sri Kemang, dekat sini, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek dikatakan bersahaja keluar dari tandas awam dan sempat menoleh ke arah penjaga tandas yang menegurnya sama ada dia dalam haid selepas melihat seluarnya berdarah.

Mujur seorang wanita yang menggunakan tandas bersebelahan menyedari kejadian itu selepas melakukan pemeriksaan sejurus mendengar tangisan bayi berkenaan.

Wanita itu kemudian memaklumkan penemuan bayi berkenaan kepada suaminya sebelum mereka membuat laporan polis.

TANDAS tempat bayi perempuan ditemui, semalam.

Penjaga tandas, Norfiah Norman, 46, berkata, dia dimaklumkan oleh wanita berusia 30-an itu mengenai penemuan seorang bayi perempuan di dalam lubang tandas dan hampir kelemasan.

metro/-

Kak Mah.. Beg Dah Siap Dah Ni....Mai Amik...

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kesungguhan anak-anak muda dengan daya kreativiti yang tinggi ditunjukkan beberapa anak muda yang bencikan rasuah dan kemewahan melampau telah mereka cipta satu replika gergasi bag tangan wanita gergasi jenama BIRKIN HERMES yang sering diguna pakai oleh Rosmah Mansor isteri Najib Razak.

Satu dunia tahu bahawa sebuah bag tangan wanita jenama ini harganya ratusan ribu ringgi dan Rosmah Mansor memiliki koleksi berpuluh dengan warna yang berlainan.

Anak-anak muda benci rasuah dan pemborosan yang melampau.

TOLAK UMNO ANGKAT PR. -omakkau


Masyarakat anggap sebar video kerja Umno - Prof Redzuan

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Pengarah Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman (gambar) melihat, penyiaran video lucah akan mengukuhkan tanggapan masyarakat yang ia merupakan “kerja Umno”.

“Video ini dan video-video lucah sebelum ini semuanya mula diterbitkan blog-blog yang pendirian mereka adalah pro-Umno.

“Begitu juga dengan video terbaru ini yang turut mula ditayangkan oleh pengendali blog-blog politik pro-Umno,” katanya merujuk kepada isu terbaru membabitkan seorang pemimpin PAS.

Menurutnya lagi, Umno perlu mengeluarkan kenyataan mengutuk penyiaran video sebegitu untuk menjauhkan diri mereka daripada mereka yang menyiarkannya.

Semalam Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan Umno tidak ada kaitan dengan pembikinan dan penyebaran video lucah Datuk Mustafa Ali.

Peguam Umno, Datuk Hafarizan Harun juga menghantar surat notis meminta Harakahdaily menarik balik penyataan yang mengatakan Umno terlibat dengan video lucah ini.

Ridhuan berkata, berdasarkan kajian beliau sebelum ini juga, hanya sekitar 18 hingga 21 peratus pengundi mempercayai ketulenan video seks lelaki mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan satu lagi gambar lucah lelaki mirip Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Justeru, beliau menjangkakan kesan yang sama akan turut berlaku kepada penyiaran video lucah mirip Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali itu.

harakahdaily/-

Budak maut sampah meletup

Foto5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Baling: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun terbunuh selepas tubuhnya melecur teruk akibat terkena letupan sewaktu melihat keluarganya membakar longgokan sampah di kuarters Klinik Kesihatan Kuala Ketil, dekat sini.

Kejadian berlaku jam 6 petang kelmarin dan mangsa, Amar Farhan Saiful Azhar yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, disahkan meninggal dunia jam 12 tengah hari semalam.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama kembarnya dan kakak mereka berumur enam tahun dikatakan melihat seorang daripada anggota keluarga membakar sampah.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, tiba-tiba berlaku letupan dan Amar Farhan yang duduk paling dekat dengan longgokan sampah yang dibakar terus disambar api menyebabkan hampir seluruh tubuhnya melecur.

“Saya tidak pasti apa punca letupan itu berlaku, mungkin dalam longgokan sampah itu ada tin mengandungi aerosol yang digunakan untuk menghalau nyamuk atau mungkin juga ada bahan gas lain yang boleh meletup,” katanya.

metro/-

Gelombang TOLAK Pahang dikacau di setiap persinggahan

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Gelombang Tolak di Pahang menggusarkan Umno kerana sambutan anak muda)

PEKAN: Lebih 150 anak muda dan mahasiswa telah menyertai konvoi Gelombang Anak Muda Tolak BN (TOLAK) yang bermula dari Temerloh ke Pekan Ahad lalu.

Konvoi tersebut bertujuan untuk menyebarkan idea anak-anak muda mengenai dalil-dalil mengapa masyarakat harus menolak Umno-BN dalam  PRU13 nanti.

Lebih 4000 helaian risalah berjaya diedarkan. Konvoi bermula seawal 9 pagi singgah mengedarkan risalah dan pidato terbuka di pasar sehari Temerloh, pasar sehari Maran, kawasan kampung di Maran, Pantai teluk Cempedak Kuantan dan yang terakhir di pasar malam Peramu Jaya Pekan.

Konvoi yang diiringi oleh motor kuasa besar dari ARC Pahang ini mendapat sambutan hangat dari pemandu lain. 

Antara gelagat pemandu ketika melihat konvoi ialah dengan mengangkat tangan dan membunyikan hon sebagai tanda sokongan. 

Selepas mengedarkan risalah TOLAK dan memberikan pidato jalanan di Peramu Jaya Pekan, sedikit kekecohan tercetus apabila sekumpulan Pemuda BN datang menghalau aktivis TOLAK yang didakwa kononnya mencetuskan provokasi dan perpecahan. 

Seperti biasa, mereka menggunakan hujah “ini tempat kami, minta kebenaran dulu atau sila berambus”.    

Gelombang TOLAK di Pahang berakhir dengan pentas Kebangkitan Anak Muda di Kg Mengkasar, Pekan yang menampilkan 13 pemidato anak muda dari pelbagai segmen rakyat.

Antaranya adalah wakil dari GAMIS, SAMM, Jingga 13, Orang Asal, Pertubuhan Nisa’, SIGMA, Anti Lynas, Pemuda PAS dan Ketua Ulama PAS Pahang.

Turut berceramah pada malam itu adalah Ustaz Abu Kasim calon Pakatan Rakyat untuk DUN Peramu Jaya dan Cikgu Fariz Musa  calon Pakatan Rakyat untuk Parlimen Pekan. Ceramah yang dihadiri oleh hampir 1,000 orang itu turut diserikan dengan program BBQ ayam.

Sewaktu pidato dari Presiden Gamis, Azan Safar menceritakan jelajah TOLAK seluruh Malaysia telah berjaya meningkatkan sokongan dan semangat untuk menolak Umno-BN.

Gelombang TOLAK ini dilihat mencetuskan ketakutan kepada Umno-BN kerana mereka sering diganggu oleh Pemuda BN di hampir semua tempat persinggahan. Cermin kereta aktivis TOLAK turut dipecahkan oleh para penyokong BN di Perak.  

Sehari sebelumnya pada 13 April, hampir 100 orang aktivis GAMIS Pahang turun padang bertemu dengan masyarakat peneroka Felda di 10 UPU berbeza di Dun Jengka.

Program sehari suntuk itu bermula dengan ziarah rumah ke rumah dan berakhir dengan ceramah kelompok oleh mahasiswa di semua UPU yang terlibat.



Harakahdaily/-

Motosikal imam hilang selepas solat Maghrib, bacaan Yasin

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Muhamad Noh

Muhamad Noh menunjukkan lokasi dia meletakkan motosikalnya iaitu berhampiran tangga yang menjadi laluan utama jemaah.
Muhamad Noh

Muhamad Noh menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya. Gambar kecil: Kawasan tiang masjid yang dijadikan tempat jemaah meletakkan kunci kenderaan mereka.
PORT DICKSON – Sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda milik seorang imam di sebuah masjid di sini, lesap ketika beliau sedang mengimamkan solat Maghrib dan bacaan Yasin, malam Khamis lalu.

Imam 1 Masjid Jamek Pasir Panjang, Muhamad Noh Othman, 71, berkata, seperti kebiasaannya, dia akan datang sekitar 20 minit awal sebelum masuk waktu.

Menurutnya, beliau tiba di masjid sekitar jam 7 malam dan meletakkan motosikal berhampiran tangga yang menjadi laluan utama jemaah.

"Selepas itu, saya meletakkan kunci motosikal di salah satu tiang masjid yang mana jemaah lain turut meletakkan kunci kenderaan mereka.

"Ketika itu, ada dua hingga tiga kunci kenderaan jemaah diletakkan di situ dan kira-kira 10 jemaah melibatkan kariah di sini berada dalam masjid,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Muhamad Noh berkata, selepas mengimamkan solat maghrib dan mengetuai bacaan Yasin, beliau tergerak hati untuk melihat kunci motosikal dan mendapatinya tiada.

“Saya terus keluar dan terkejut apabila motosikal turut hilang. Ketika itu, saya hanya bersangka baik mungkin ada orang yang meminjam motosikal itu.

“Kemudian saya kembali masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat Isyak. Selepas itu, beberapa jemaah membantu saya mencari motosikal di sekitar masjid dan ternyata ia memang hilang,” katanya.

Katanya, motosikal itu adalah pemberian anak-anaknya kira-kira setahun lalu.

“Sebelum ini, kawasan masjid tidak pernah berhadapan dengan sebarang kejadian kecurian sama ada tabung masjid, harta benda dan sebagainya.

“Ini adalah kali pertama dan amat berharap ia adalah kali terakhir. Masjid adalah sebuah rumah ibadah yang menyatukan ummah, jangan sesekali membawa anasir buruk ke sini,” katanya.

Muhamad Noh kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pasir Panjang.

Sinar/-

4 penunggang maut nahas di tiga daerah

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUANTAN - Empat penunggang maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dalam nahas berasingan yang dilaporkan berlaku di Kuantan, Jerantut dan Temerloh, kelmarin.

Dalam kejadian di Kuantan, seorang pekerja kilang berasal dari Bachok, Kelantan, Zakeri Che Mat, 21, maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 25, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat sini tengah malam kelmarin.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, nahas kira-kira jam 12.30 tengah malam itu menyebabkan  mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Hasil siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu seorang juruteknik berusia 34 tahun terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan dua motosikal termasuk yang ditunggang mangsa,” katanya, di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, dalam satu lagi kejadian, seorang pelajar, Muhammad Amri Abu Samah, 15, dari Felda Lepar Hilir, dekat sini, maut selepas motosikal jenis Yamaha Y125Z yang ditunggang melanggar belakang sebuah kereta di Batu 11, Jalan Kuantan- Maran, awal pagi kelmarin.

Sementara itu, seorang lelaki maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta dalam satu kes langgar lari di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya dekat Jerantut, malam kelmarin.

Mohamed Fauzi berkata, dalam kemalangan jam 9 malam itu, mangsa, Wai Thin Soong, 55 dari Sungai Jan, Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala dalam nahas berasingan, seorang buruh, V Ipreithy, 21 dari Taman Temerloh Jaya turut maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar tong sampah yang diletakkan kaki lima jalan, Kilometer 121, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh awal pagi kelmarin," katanya.

Sinar/-

NGO fail injuksi, dakwa Umno pertubuhan haram

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama kumpulan Revolusi 13 akan memfailkan satu injuksi terhadap Umno dengan menganggap parti itu sebagai pertubuhan haram.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan berkata pihaknya telah melantik pasukan peguam dan permohonan itu akan dikemukakan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.

"Ini adalah langkah penerusan dalam usaha kami yang dinamakan 'gerakan haramkan Umno;," katanya.

Menurut mereka, fakta sejarah secara jelas menyebut bahawa Umno yang ditubuhkan pada 1946 telah diharamkan pada 4 Febuari 1988 melalui satu keputusan mahkamah tinggi.

Ianya ekoran kes perebutan jawatan presiden parti itu antara Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang menyaksikan jawatan tersebut dimenangi Dr Mahathir.

Menurut SAMM, biarpun Umno baru kemudian ditubuhkan Mahathir, namun pengharaman Umno asal itu telah menyebabkan semua pendaftaran parti itu di peringkat pusat, bahagian dan cawangan terbatal. 

"Apabila ia diharamkan, seharusnya semua proses penajaan dan penubuhan harus dibuat semula dari awal, namun ia tidak berlaku, mereka tidak mendaftarkan semula Umno di peringkat tertentu.

"Natijahnya tanpa sedar ribuan cawangan Umno menjadi cawangan haram. Umno menggunakan sistem perwakilan maka cawangan haram menghantar perwakilan ke bahagian secara automatik bahagian menjadi haram. Bahagian menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agong Umno secara automatik Umno itu sendiri haram," katanya.

Selain itu katanya, satu lagi fakta yang berlaku pada 2008 melibatkan pergolakan jawatan utama Umno bahagian Tanah Merah.

Ketika itu kata Edy ada yang mahu bertanding jawatan utama tetapi didapati tidak membayar yuran dan terdiri ahli dari cawangan haram. 

Maka kes tersebut dibawa ke mahkamah dan perbicaraan membuktikan bahawa 126 cawangan Umno di Tanah Merah ialah cawangan haram yang tidak berdaftar.

"Dari maklumat dalaman tiada cawangan Umno berdaftar di Jeli, Bachok dan Tumpat. Hanya sebilangan kecil cawangan Umno berdaftar di Kota Bharu. 

"Carian dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan menyatakan lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di Kelantan adalah haram," katanya.

Harakahdaily/-

Khianat: Markas PAS Felcra Nasarudin dibakar

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



IPOH: Markas Operasi PRU13 PAS Cawangan Felcra Nasaruddin Belia dibakar dipercayai angkara perbuatan khianat pihak-pihak yang tertentu.

Ketua Cawangannya, Yusof Mat berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira awal 5 pagi semalam dan perkara tersebut disedari oleh penyokong PAS ketika melalui markas tersebut untuk solat Subuh di masjid.

Beliau berkata, ekoran kejadian tersebut menyebabkan bebarapa barangan termasuk kerusi, meja serta khemah markas operasi pilihanraya itu hangus terbakar.

“Saya segera ke tempat kejadian setelah mendapat maklumat dan saya sempat memadamkan kebakaran daripada terus merebak,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya tidak menjangkakan kejadian itu berlaku kerana pihak PAS sentiasa berhubungan baik dengan semua pihak termasuk Umno-BN.

Insiden tersebut katanya pertama kali berlaku dan ianya dianggap tidak patut berlaku di Negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan berharap perkara ini tidak berlaku lagi,” jelasnya lagi.

Akibat kejadian itu, pihaknya telah membuat laporan polis dan berharap pihak keselamatan dapat menjalankan siasatan dengan segera.

Beliau juga berharap pihak polis dapat membuat rondaan sekerap mungkin dalam musim pilihanraya ini agar insiden tersebut tidak berulang lagi.

Harakahdaily/-