23 Februari 2012

Himpunan Hijau 2.0 juga di empat lokasi lain

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Selain Himpunan Hijau 2.0 bagi membantah pembinaan pusat memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang yang dijadualkan di Kuantan pada Ahad ini, beberapa lagi lokasi lain juga telah dikenal-pasti bagi menunjukkan perpaduan rakyat di seluruh negara.

NONE"Kami gesa orang ramai untuk turun ke Kuantan pada Ahad ini kerana di situ ada tempat acara utama, tetapi kami faham bukan semua yang dapat pergi ke Kuantan.

"Jadi, kita akan adakan program solidariti di tempat-tempat lain di negara ini," kata setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan pada sidang akhbarnya, semalam.

Perhimpunan serentak di seluruh negara bagi membantah loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) itu akan diadakan di:

Maju Junction di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, dari jam 9.30 pagi hingga tengah hari.

Speaker’s Square di Esplanade, Pulau Pinang, pada jam 6 petang.

Di hadapan bekas tapak kilang Asian Rare Earth di Bukit Merah, Perak, pada jam 11 pagi.

Pantai Tanjung Aru di Kota Kinabalu, Sabah, pada jam 4 petang.

Menurut Arutchelvan, pihak lain yang mahu menganjurkan program solidariti seumpama itu adalah dialu-alukan untuk berbuat demikian.

NONETurut hadir pada sidang akhbar ini adalah wakil-wakil dari Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia, Gabungan Hijau Rakyat, Saya Anak Bangsa Malaysia, Pasukan Kemajuan Kebangsaan India, Pusat Kebudayaan Pembangunan LLG dan Parti Rakyat Malaysia.

Kumpulan lain yang menyokong perhimpunan tersebut termasuk Jawatankuasa Anti-Radiasi Perak, Jawatankuasa Anti-Sianida Bukit Koman, Suara Rakyat Malaysia dan Jawatankuasa Selamatkan Jalan Sultan.

Perhimpunan itu sebagai membantah lamp yang telah diberikan lesen operasi sementara pada 30 Januari lalu bagi mula memproses nadir bumi.

Pengkritik bimbang sisa radioaktif yang tercemar akan menjejaskan kesihatan penduduk yang tinggal berdekatan serta memudaratkan alam sekitar.

malysiakini/-

Radiasi sampai 643 kilometer

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SALT LAKE CITY: Pencemaran radioaktif berpunca daripada kebocoran loji nuklear Fukushima dikesan sejauh 643 kilometer luar Jepun di Lautan Pasifik, dengan bacaan air menunjukkan radiasi 1,000 kali lebih tinggi berbanding tahap sebelum ini, lapor saintis, kelmarin.

Pada masa sama, kehadiran bahan cesium-137 jauh lebih rendah daripada paras yang dianggap berbahaya, sama ada terhadap hidupan laut atau mereka yang makan makanan laut, kata Ken Buesseler dari Institut Woods Hole Oceanographic.

Beliau mendedahkannya dalam mesyuarat Sains Lautan tahunan di Salt Lake City, yang disertai lebih 4,000 penyelidik minggu ini. Bacaan itu adalah untuk contoh air yang diambil pada Jun lalu, kira-kira tiga bulan selepas malapetaka loji kuasa, kata Buesseler.

Selain beribu-ribu contoh air, penyelidik turut mengambil sampel ikan dan rumpai serta mendapati tahap cesium-137 masih di bawah had kesihatan dibenarkan.

“Kami belum lagi selamat dari segi pencemaran radioaktif di lautan kerana kebocoran yang berterusan dari loji itu, kata Buesseler dalam temuramah. – AP

Porto berdepan hukuman

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

FC Porto berdepan hukuman berat daripada Persatuan Bola Sepak Eropah, jika didapati bersalah terhadap dakwaan perkauman dicetuskan penyokongnya pada pertemuan Liga Eropah menentang Manchester City, minggu lalu.

Pada perlawanan itu, penyokong Porto mengejek pemain tengah City, Yaya Toure dan penyerang, Mario Balotelli dengan mengajuk bunyi monyet setiap kali mereka mendapat bola.

“Kami membuka kertas siasatan terhadap dakwaan perkauman itu dan penyiasatan kes ini akan dijalankan pada 29 Mac nanti,” kata Uefa," katanya.

Sinar Harian

Kontrak lumayan Nani

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MANCHESTER United dilaporkan bersedia menawarkan kontrak lumayan kepada Luís Carlos Almeida atau lebih sinonim digelar Nani dalam usaha merantai pemain itu sehingga 2016 di Old Trafford.

Perbincangan mengenainya hanya dibuat minggu hadapan.

Jika segalanya berjalan lancar, Nani menerima bayaran gaji baru £130,000 (RM620,000) seminggu.

Ketika ini, kontrak pemain antarabangsa Portugal itu bersama United, masih berbaki dua tahun dengan bayaran gaji berjumlah £90,000 (RM430,000) seminggu.

Sebelum ini, AC Milan dan Juventus menunjukkan minat untuk membawa pemain itu beraksi di Serie A, musim depan.

Sinar Harian

Gempa sederhana gegar Maluku Tenggara

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA 23 Feb. – Satu gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan Maluku Tenggara, Indonesia, semalam.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, pusat gempa terletak 98 kilometer ke Timur Laut Maluku Tenggara dan 112 kilometer ke Timur Laut Tual-Maluku, pada kedalaman 14 kilometer.

Bagaimanapun tiada laporkan mengenai kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda dibuat. – BERNAMA

Arroyo mengaku tidak bersalah

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MANILA: Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu dalam pilihan raya pada pembukaan kes pendakwaan di sini, hari ini.

Kes terhadap Arroyo difailkan panggantinya, Presiden Benigno Aquino III, yang berjanji untuk membanteras rasuah dan berkata, seorang pun tidak akan terlepas daripada keadilan.

Arroyo yang diiringi dengan kawalan keselamatan yang ketat menuju ke bilik perbicaraan di Manila dari sebuah hospital tentera di mana beliau ditahan ketika sedang dirawat bagi masalah tulang belakangnya.

Arroyo menjadi Presiden Filipina dari 2001 hingga 2010.

Pertuduhan terhadap beliau membabitkan pemilihan senator pada 2007, apabila dia dituduh memanipulasi keputusan untuk menyokong calon pilihannya.

Suaminya, Miguel Arroyo, berkata tuduhan terhadap isterinya adalah satu ketidakadilan. - AP

Hukuman tidak patah semangat bantah ISA

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa simpati kepada 11 orang tahanan himpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun 2009 yang dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

“Bagi DPPM, hukuman yang dikenakan tidak akan mematikan semangat perjuangan jutaan rakyat yang bangkit dalam himpunan terbabit kerana sememangnya ISA diterima rakyat sebagai akta yang zalim dan menindas rakyat,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Malah, katanya DPPM percaya rakyat semakin bersemangat dan berkobar-kobar menantikan himpunan lain dalam menentang sebarang bentuk kezaliman yang berlaku.

Menurutnya, mereka yang terlibat dan ditahan itu benar-benar membuktikan bahawa perjuangan menuntut keadilan bukan suatu perjuangan yang kecil dan ringan, melainkan ia menuntut pengorbanan yang besar, sekalipun terpaksa mendekam dalam penjara besi atau didenda serta dikenakan hukuman yang berat.

Justeru, ujarnya DPPM mengharapkan hukuman yang dikenakan itu tidak melemahkan semangat juang para aktivis terbabit, sebaliknya ia menjadi suatu inspirasi kepada mereka untuk terus gigih berjuang menentang sebarang bentuk kezaliman di negara ini.

Tambahnya, tidak ada istilah lemah semangat atau berundur sebelum memastikan negara ini benar-benar bebas dari penindasan.

“Sejarah akan mengenang semua tahanan ini sebagai contoh insan yang begitu prihatin dan peka terhadap suasana yang berlaku di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mereka adalah di antara golongan yang tidak rela akta zalim dan kejam yang menafikan hak tahanan daripada dibicarakan di mahkamah terbuka.

“DPPM mengharapkan para aktivis terbabit serta rakyat seluruhnya supaya bersabar seketika sehingga PRU ke-13 dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran,” ujarnya.

Katanya, DPPM memberi jaminan, Pakatan Rakyat akan memastikan ISA akan dihapuskan seluruhnya apabila mentadbir Putrajaya kelak serta kebebasan rakyat dalam mengadakan himpunan aman.

Harakah Daily

Tengku Mahkota rasmi Tahun Melawat Kelantan

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 23 Feb: Tengku Mahkota Kelantan akan mewakili Sultan Muhammad Ke-V merasmikan Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) pada 2 Mac ini.

Acara yang bakal bermula 9.00 malam pada sesi sebelah malam itu akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) memberitahu, program penuh bermakna itu akan diserikan dengan persembahan hiburan.

“Kita menjemput artis tidak asing lagi, Papa Rock Malaysia Ramli Sarif, artis Indonesia Opic dan Kumpulan Nasyid Al-Walid bagi mewarnai majlis yang penuh gemilang ini,” ujarnya.

Katanya, akan turut serta Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pimpinan kerajaan negeri untuk sama-sama memeriahkan majlis ini.

Takiyuddin juga turut menambah, pada 2 Mac juga berlangsung acara majlis kuliah yang berpusat di Medan Ilmu yang bermula sejak jam 8.00 pagi.

Menurutnya, ceramah agama akan disampaikan pendakwah terkenal, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bermula jam 9.30 pagi.

“Manakala di Medan Ilmu juga motivasi terkenal Ustaz Azhar Idrus bakal menyampaikan kuliah ‘Perdana Belia’ kira-kira jam 5.00 petang.

“Malah khutbah Jumaat khas yang bertajuk Pelancongan Adalah Sunnah akan disampaikan di semua masjid di seluruh negeri ini,” ujarnya.

Ketika ditanya berhubung perkembangan pelancong yang mengunjungi negeri ini dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, beliau berkata ianya begitu membanggakan.

Katanya, maklumat yang diperolehi dari Pusat Penerangan Pelancongan (TIC), memberitahu perkembangan begitu positif apabila kadar kehadiran pelancong begitu bertambah berbanding biasa pada tempoh yang sama tahun lalu.

Tegasnya, perkembangan itu dapat dilihat sewaktu musim cuti Tahun Baru Cina dan cuti umum baru-baru ini.

“Kita menjangkakan dengan perkembangan awal ini target kita untuk mencapai kedatangan pelancong ke negeri ini antara 5.8 juta hingga 6 juta orang akan berjaya,” ujarnya.

Harakah Daily

Penduduk tertekan berjiran tapak parkir treler

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MUAR – “Kami tertekan kerana tidur malam sering terganggu oleh bunyi kuat enjin dan hon treler,” demikian rintihan 50 penduduk di Bakri, dekat sini, yang berjiran dengan tapak parkir treler.

Penduduk mendakwa masalah tersebut sudah berlarutan sejak 11 tahun lalu dan hingga kini tidak menunjukkan sebarang petanda ianya akan selesai.

Salah seorang penduduk, Sura Othman, 41, berkata, kawasan itu adalah milik persendirian yang disewa untuk dijadikan tapak parkir treler.

“Kedudukannya yang terlalu hampir dengan rumah penduduk, iaitu kira-kira lima meter telah mengundang masalah kepada kami.

“Setiap hari dianggarkan 40 treler yang bersilih ganti akan memasuki kawasan ini bermula pada jam 6 petang hingga 9 malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kemuncaknya ialah pada jam 3 hingga 5 pagi kerana pada waktu itu, pemandu treler hendak keluar bekerja.

“Sudahlah bunyi enjin treler ini kuat, saya juga kesal kerana pada waktu beginilah mereka akan menekan-nekan hon sehingga menyebabkan kami terjaga daripada tidur.

“Anak-anak kecil yang sedang tidur juga sering menangis kerana terkejut apabila mendengar bunyi hon treler yang terlalu kuat,” katanya.

Katanya lagi, lebih ketara sejak kewujudan parkir treler itu, banyak rumah di sini mengalami kerosakan termasuk retak pada bahagian dinding.

“Ini kerana rumah akan bergegar setiap kali treler lalu dan secara tidak langsung menjejaskan struktur rumah penduduk.

“Saya bimbang jika keadaan ini berlarutan, rumah penduduk yang sudah sedia rosak akan bertambah teruk dan tidak mustahil boleh runtuh,” katanya.

Jelasnya, berikutan masalah itu dia terpaksa menanggung banyak kerugian kerana perlu mengeluarkan modal membaiki rumah yang retak setiap tahun.

Sura berkata, dia telah mengadu masalah tersebut kepada pihak berkaitan tetapi tidak membuahkan hasil.

“Sebaliknya, pihak terbabit menuduh kononnya saya membina rumah tidak mengikut spesifikasi yang betul berikutan kesan retak yang terdapat di rumah.

“Saya sangat kesal dengan tuduhan itu kerana pihak terbabit sepatutnya membantu menyelesaikan masalah bukannya menambah masalah,” katanya.

Sinar Harian

Kaki judi dinasihat jalani kaunseling

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI NIBONG - Setiap pemain judi beragama Islam yang ditahan atas kesalahan itu dinasihatkan supaya menjalani kaunseling di Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, arahan yang dikeluarkan Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob pada 14 Februari lalu itu, walau bagaimanapun sehingga semalam, masih tiada yang menjalaninya berikutan tiada pemain beragama Islam yang ditangkap.

“Mereka dinasihatkan untuk menjalani kaunseling di Baka dalam tempoh tertentu bagi memulihkan serta menyedarkan mereka,” katanya kepada media, semalam.

Dalam perkembangan lain, Kong Meng berkata, semalam, polis menahan tiga lelaki dipercayai pemilik premis yang menjalankan perjudian berkomputer di sini.

Menurutnya ,ketiga-tiga lelaki itu ditahan dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang dalam tiga serbuan berasingan, malam kelmarin, jam 11.30 malam.

“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki ditahan di sebuah premis di Lebuh Nipah, manakala seorang lagi ditahan di Persiaran Paya Terubong 2 dan lelaki ketiga ditahan di Sungai Nibong. Mereka ditahan kerana disyaki menjalankan perniagaan komputer berunsur perjudian dan tiada lesen hiburan.

“Dalam serbuan itu polis merampas 12 set komputer serta sebuah modem, manakala serbuan kedua, polis merampas 11 set komputer dan sebuah modem.

“Pada serbuan kedua, terdapat seorang pelanggan di dalam premis berkenaan manakala dalam serbuan ketiga, 12 set komputer serta sebuah modem dirampas. Ketika serbuan, terdapat dua pelanggan dalam premis berkenaan,” katanya.

Kong Meng berkata, dari Januari hingga kelmarin, sebanyak 271 serbuan dijalankan di premis yang disyaki dan 370 set komputer berjaya dirampas.

“Nilai rampasan itu dianggarkan bernilai RM740,000. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak ebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas serta hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

“Kes itu itu juga disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sinar Harian

Jual beli benih kerang gagal

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA SELANGOR - Dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berjaya ditahan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim) selepas dipercayai memungut hasil benih kerang secara haram di perairan Jeram, di sini.

Operasi Menangkap Pencuri Benih Kerang di perairan Jeram yang dijalankan bermula jam 8 malam sehingga 3 pagi itu berjaya menahan dua sampan yang sarat dengan benih kerang seberat 40 hingga 50 kilogram.

Pegawai Operasi Daerah Maritim 4 Klang, Leftenan Komander Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Bot Penggalang 41 diketuai BK Maritim Shamir Othman berjaya menahan dua sampan dipercayai digunakan peraih memungut benih kerang daripada individu yang menjalankan aktiviti menangguk benih kerang di lokasi dilarang.

“Semua tertuduh ditahan kerana melakukan kesalahan dibawah Peraturan 4 Akta Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang 2002) dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman tidak lebih RM 10,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mereka yang ditahan kini direman sementara menunggu proses siasatan dan pendakwaan.

Mohamad Shukri berkata, individu yang dipercayai masih menjalankan aktiviti pengutipan hasil benih kerang di perairan secara haram diingatkan menghormati undang-undang dan peraturan sedia ada.

Operasi sama katanya, akan diteruskan dari masa ke semasa bagi membanteras kejadian pencerobohan kawasan benih kerang.

Sementara itu, Pengarah Operasi Daerah Maritim Klang, Komander Romli Musafa berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia menjalankan penahanan bot sekiranya didapati ada urusan jual beli benih kerang dilakukan di tengah laut.

“Ini adalah sebahagian usaha kita membanteras kejadian pencerobohan dan kecurian benih kerang yang dilakukan sindiket di lokasi bermasalah,” katanya.

Sinar Harian

Leka main judi pasar malam

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seramai 10 lelaki termasuk penganjur serta seorang remaja bawah umur ditahan kerana terlibat dalam aktiviti judi pasar malam selepas polis menyerbu sebuah bangsal tidak bernombor di tepi sungai di Jalan Bagan, Tanjong Karang, Kuala Selangor, petang kelmarin.

Ketika diserbu kira-kira jam 5.30 petang itu, semua individu terbabit yang rata-rata terdiri daripada peniaga serta peladang sedang asyik berjudi tanpa menyedari kehadiran polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, semua suspek ditahan berusia antara 15 hingga 53 tahun.

Beliau berkata, siasatan mendapati nilai pertaruhan dibuat bermula serendah RM100,000 sehingga RM500,000.

“Hasil soal siasat awal menunjukkan aktiviti ini baru beroperasi kira-kira tiga minggu lalu dan dijalankan secara terbuka di tempat awam.

“Kita merampas antaranya 200 keping kad judi, 240 cip berwarna kuning, 30 biji dadu, dua piring, dua mangkuk kaca dan plastik, meja kayu, kerusi termasuk tunai berjumlah RM23,870,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman daripada mahkamah bagi menjalankan siasatan lanjut ke atas semua individu ditahan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Adnan berkata, pihaknya sedang mengesan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes tetak seorang pengawal keselamatan sebuah tapak projek sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang maut dalam kejadian di Jalan 18/1, Seksyen 18, di sini pada 1 Februari lalu.

Beliau berkata, empat lelaki terbabit ialah M Baskaran (Baskar), 26, G James (James), 31, M Mahendran (Koringgo),31, dan M Thiyagu (Thiagu), 21.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung empat individu itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Affandi Moin di talian, 013-3414887 atau terus ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian pada 1 Februari lalu, mangsa, I Krishnanmurthy, 31, maut dipercayai ditetak bertubi-tubi oleh sekumpulan 20 lelaki bersenjatakan parang yang merempuh pagar utama sub-stesen dengan kereta serta kenderaan pacuan empat roda.

Mangsa dilaporkan cedera parah di bahagian kepala, badan termasuk putus tangan kanan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sinar Harian

Babi hutan serang kebun

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH – Penduduk di Kampung Tersusun Pengkalan Pegoh bimbang dengan ancaman babi hutan menyerang dan merosakkan tanaman sehingga menjejaskan punca pendapatan mereka.

Seorang penduduk, Mohd Hashim Abd Mutalib, 72, mendakwa ancaman babi hutan berlaku sejak 2009 lagi tetapi ia semakin serius apabila tanaman ubi kayu dan pisang yang diusahakan sering dimusnahkan binatang berkenaan.

“Gangguan binatang ini semakin ganas terutama pada musim hujan. Saya pernah melihat beberapa ekor haiwan itu berkeliaran di kawasan kebun saya dan merosakkan tanaman penduduk.

“Malah, saya terpaksa mengambil tindakan sendiri dengan menembak. Saya menembak 13 ekor haiwan itu dan boleh dikatakan setiap hari haiwan itu merosakkan tanaman saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk berada dalam kebimbangan dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Saya pernah terserempak dengan haiwan itu ketika pulang dari surau pada waktu subuh. Ia keluar tidak kira waktu siang atau malam.

“Penduduk juga tidak membenarkan anak-anak mereka keluar pada waktu malam kerana bimbang disondol binatang yang semakin ganas mencari makanan di kawasan kampung,” katanya.

Mohd Hashim berkata, bagi memelihara tanaman di kebunnya, dia memilih untuk berjaga di dalam kereta pada waktu dalam.

“Haiwan itu menerang kebun kami apabila habitatnya di kawasan botani berhampiran Changkat Larang terjejas.

“Namun, tindakan segera harus diambil kerana masih tiada pihak berkenaan tampil bagi menyelesaikan masalah penduduk di sini,” katanya.

Sinar Harian

Dera anak akibat pengaruh dadah

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Akibat bawah pengaruh dadah, seorang ibu sanggup mendera anak lelakinya berusia lima tahun sehingga lebam, Julai tahun lalu.

Pembantu warung makan berusia 34 tahun itu bagaimanapun menerima padah apabila dihukum denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam.

Hakim Zaharah Hussain menjatuhkan hukuman terhadap ibu beranak empat itu selepas dia mengaku bersalah sebelum faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh menyebabkan kecederaan seorang kanak-kanak berusia lima tahun di sebuah rumah di Bukit Rambai, kira-kira 9 malam pada 20 Julai 2011.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh sedang menghisap dadah di dalam bilik sebelum mangsa yang baru selesai mandi masuk untuk memakai baju.

Tertuduh dikatakan melarang mangsa memakai baju yang sudah dibasuh, namun mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan dia bertindak memukul lengan kiri mangsa dan mencubit tangan mangsa berkali-kali.

Mangsa kemudian mengadu kepada guru tadikanya, keesokan hari.

Sinar Harian

Anak tunggal ditemui lemas

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU -Penantian seorang ibu mengharapkan kepulangan anak tunggalnya berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila anak lelakinya itu ditemui mati lemas di sini, pagi semalam.

Luluh hati, Habsah Daud, 45, ketika melihat mayat anaknya, Mohamad Al-Amin Muradi, 15, yang ditemui terapung di Sungai Kampung Pulau Belacan, Pengkalan Chepa selepas semalaman menunggu kepulangannya.

Mangsa adalah pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di sungai berkenaan dan mayatnya ditemui jam 9.45 pagi kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mayat mangsa temui oleh sepasukan anggota polis, Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ketika operasi mencari dilakukan selepas menerima aduan daripada ibunya.

”Polis menerima panggilan telefon daripada ibu mangsa kira-kira jam 8.15 pagi memaklumkan anak tunggalnya dikhuatiri lemas di sungai selepas tidak pulang ke rumah sejak petang semalam,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat berkenaan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Berikutan kejadian itu, ibu mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Kebangsaan Dato’ Hashim 2 masih terkejut dan enggan ditemui media kerana terlalu sedih.

Rakan kepada ibu mangsa, Kamariah Said berkata, dia mengetahui Mohamad Al-Amin hilang selepas menerima panggilan telefon daripada Habsah memaklumkan anaknya itu tidak pulang sejak jam 10 malam kelmarin.

“Dia memberitahu, anaknya tidak balik selepas keluar mengaji al-Quran kira-kira jam 3 petang kelmarin dan Habsah mencarinya di merata tempat termasuk bertanyakan rakan-rakannya tetapi gagal menemuinya,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, semalam.

Kamariah berkata, setelah buntu Habsah meminta pertolongan daripadanya untuk mendapatkan khidmat bomoh untuk mengesan anaknya dan dalam masa sama dia mencuba mencari anaknya di tepi sungai berkenaan.

Menurutnya, kira-kira jam 6.30 pagi Habsah ke sungai tersebut dan terkejut setelah melihat basikal milik anaknya ditemui 30 meter dari sungai itu.

“Dia kemudian menghampiri sungai itu dan ternampak sepasang selipar anaknya berhampiran pondok lalu mengesyaki Mohamad Al-Amin lemas,” katanya.

Sinar Harian