23 Februari 2012

Jual beli benih kerang gagal

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA SELANGOR - Dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berjaya ditahan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim) selepas dipercayai memungut hasil benih kerang secara haram di perairan Jeram, di sini.

Operasi Menangkap Pencuri Benih Kerang di perairan Jeram yang dijalankan bermula jam 8 malam sehingga 3 pagi itu berjaya menahan dua sampan yang sarat dengan benih kerang seberat 40 hingga 50 kilogram.

Pegawai Operasi Daerah Maritim 4 Klang, Leftenan Komander Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Bot Penggalang 41 diketuai BK Maritim Shamir Othman berjaya menahan dua sampan dipercayai digunakan peraih memungut benih kerang daripada individu yang menjalankan aktiviti menangguk benih kerang di lokasi dilarang.

“Semua tertuduh ditahan kerana melakukan kesalahan dibawah Peraturan 4 Akta Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang 2002) dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman tidak lebih RM 10,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mereka yang ditahan kini direman sementara menunggu proses siasatan dan pendakwaan.

Mohamad Shukri berkata, individu yang dipercayai masih menjalankan aktiviti pengutipan hasil benih kerang di perairan secara haram diingatkan menghormati undang-undang dan peraturan sedia ada.

Operasi sama katanya, akan diteruskan dari masa ke semasa bagi membanteras kejadian pencerobohan kawasan benih kerang.

Sementara itu, Pengarah Operasi Daerah Maritim Klang, Komander Romli Musafa berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia menjalankan penahanan bot sekiranya didapati ada urusan jual beli benih kerang dilakukan di tengah laut.

“Ini adalah sebahagian usaha kita membanteras kejadian pencerobohan dan kecurian benih kerang yang dilakukan sindiket di lokasi bermasalah,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: