23 Februari 2012

Fokus penjelasan kepada pengundi Melayu

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: PAS mengarahkan pimpinan dan tenaga penerangannya agar memberikan fokus kepada pengundi Melayu agar jangan percaya kepada diayah Umno yang hak mereka akan terhakis di bawah Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) berkata, penjelasan dan penerangan berulang kepada pengundi Melayu perlu dibuat bahawa tidak terhakis hak mereka di bawah Pakatan Rakyat.

"Fakta bahawa Pakatan Rakyat akan kekal menjaga mereka, malah lebih baik daripada Umno, kerana kita tidak akan mencuri kekayaan milik mereka untuk mengkayakan sebilangan kroni.

"Ketakutan kepada DAP hanyalah satu prasangka terancang oleh Umno yang dilakukan dengan tujuan untuk mengekal kuasa mereka," beritahu Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan apakah isu-isu semasa yang perlu perlu difokuskan PAS untuk PRU-13 ini.

Ia disiarkan dalam kolum Kesatuan Fikrah yang sedang disiarkan oleh Harakahdaily sekarang.

Selain isu itu, Mohamad meminta isu good governance dari segi pelaksanaan mesti dibuktikan oleh PAS dan Pakatan sekarang, dan ditonjolkan lagi di peringkat negeri dan persekutuan sekiranya menang dalam pilihanraya umum ke 13 nanti.

Selain itu, umat Islam Melayu mesti difahamkan bahawa perjuangan Islam antara PAS dengan Umno jauh berbeza.

PAS sentiasa berusaha melaksanakan ajaran agama Islam itu sendiri, termasuk berusaha melaksanakan enakmen syariah, manakala Umno pula hanya menjadikan Islam sebagai slogan dalam pemerintahannya.

"Perkara ini juga boleh dilihat bagaimana tingginya komitmen PAS dalam menhapuskan rasuah dan menonjolkan pentadbiran yang bersih.

"Usaha PAS sebagai penyatu kaum melalui Islam turut dapat dilihat dalam penubuhan Kelab Penyokong PAS (DHPP)," jelas beliau.

Di bawah pentadbiran Pakatan, kata Mohamad, PAS yakin orang bukan Islam, walaupun tidak memeluk Islam, tidak akan bersifat anti-Islam seperti MCA di bawah pemerintahan Umno.

Mohamad dipercayai mengulas sikap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang jelas anti Islam berbanding dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang jelas amat memahami hubungan antara agama.

Ia dibayangkan oleh kedua-duanya dalam debat antara mereka baru-baru ini.

Harakah Daily

Tiada ulasan: