23 Februari 2012

Leka main judi pasar malam

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seramai 10 lelaki termasuk penganjur serta seorang remaja bawah umur ditahan kerana terlibat dalam aktiviti judi pasar malam selepas polis menyerbu sebuah bangsal tidak bernombor di tepi sungai di Jalan Bagan, Tanjong Karang, Kuala Selangor, petang kelmarin.

Ketika diserbu kira-kira jam 5.30 petang itu, semua individu terbabit yang rata-rata terdiri daripada peniaga serta peladang sedang asyik berjudi tanpa menyedari kehadiran polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, semua suspek ditahan berusia antara 15 hingga 53 tahun.

Beliau berkata, siasatan mendapati nilai pertaruhan dibuat bermula serendah RM100,000 sehingga RM500,000.

“Hasil soal siasat awal menunjukkan aktiviti ini baru beroperasi kira-kira tiga minggu lalu dan dijalankan secara terbuka di tempat awam.

“Kita merampas antaranya 200 keping kad judi, 240 cip berwarna kuning, 30 biji dadu, dua piring, dua mangkuk kaca dan plastik, meja kayu, kerusi termasuk tunai berjumlah RM23,870,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman daripada mahkamah bagi menjalankan siasatan lanjut ke atas semua individu ditahan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Adnan berkata, pihaknya sedang mengesan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes tetak seorang pengawal keselamatan sebuah tapak projek sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang maut dalam kejadian di Jalan 18/1, Seksyen 18, di sini pada 1 Februari lalu.

Beliau berkata, empat lelaki terbabit ialah M Baskaran (Baskar), 26, G James (James), 31, M Mahendran (Koringgo),31, dan M Thiyagu (Thiagu), 21.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung empat individu itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Affandi Moin di talian, 013-3414887 atau terus ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian pada 1 Februari lalu, mangsa, I Krishnanmurthy, 31, maut dipercayai ditetak bertubi-tubi oleh sekumpulan 20 lelaki bersenjatakan parang yang merempuh pagar utama sub-stesen dengan kereta serta kenderaan pacuan empat roda.

Mangsa dilaporkan cedera parah di bahagian kepala, badan termasuk putus tangan kanan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sinar Harian

Tiada ulasan: