23 Februari 2012

Bengkel kereta port pengedar

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG – Sebuah bengkel kereta di bandar ini dipercayai dijadikan lokasi pengedar dadah berkumpul dan berkemungkinan besar, salah sebuah pusat servis komputer berhampiran pula menjadi sarang penjualan barang larangan berkenaan.

Berikutan serbuan ke atas bengkel itu yang dilakukan sepasukan anggota polis, empat individu berusia antara 22 hingga 33 tahun berjaya ditahan bersama 95 biji pil berwarna merah dipercayai dadah jenis methamphetamine kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, ketika polis menyerbu masuk ke dalam bengkel, keempat-empat suspek tidak menyedari langsung kehadiran pihak polis memudahkan tangkapan dibuat.

“Setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, dua daripadanya berusia 23 dan 26 tahun masing-masing mempunyai rekod lampau berhubung kesalahan dadah.

“Manakala ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu semalam.

Bagaimanapun seorang daripada suspek yang bekerja sebagai carigali di pelantar minyak Petronas ditahan di bawah seksyen lain kerana memiliki dadah dipercayai methamphetamine sebanyak 70 biji yang diletakkan di dalam kotak rokok miliknya.

“Suspek yang berusia 22 tahun itu disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek dikatakan mula berjinak dan aktif dengan aktiviti pengeda­ran dadah sejak dua tahun lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: