23 Februari 2012

Kaki judi dinasihat jalani kaunseling

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI NIBONG - Setiap pemain judi beragama Islam yang ditahan atas kesalahan itu dinasihatkan supaya menjalani kaunseling di Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, arahan yang dikeluarkan Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob pada 14 Februari lalu itu, walau bagaimanapun sehingga semalam, masih tiada yang menjalaninya berikutan tiada pemain beragama Islam yang ditangkap.

“Mereka dinasihatkan untuk menjalani kaunseling di Baka dalam tempoh tertentu bagi memulihkan serta menyedarkan mereka,” katanya kepada media, semalam.

Dalam perkembangan lain, Kong Meng berkata, semalam, polis menahan tiga lelaki dipercayai pemilik premis yang menjalankan perjudian berkomputer di sini.

Menurutnya ,ketiga-tiga lelaki itu ditahan dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang dalam tiga serbuan berasingan, malam kelmarin, jam 11.30 malam.

“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki ditahan di sebuah premis di Lebuh Nipah, manakala seorang lagi ditahan di Persiaran Paya Terubong 2 dan lelaki ketiga ditahan di Sungai Nibong. Mereka ditahan kerana disyaki menjalankan perniagaan komputer berunsur perjudian dan tiada lesen hiburan.

“Dalam serbuan itu polis merampas 12 set komputer serta sebuah modem, manakala serbuan kedua, polis merampas 11 set komputer dan sebuah modem.

“Pada serbuan kedua, terdapat seorang pelanggan di dalam premis berkenaan manakala dalam serbuan ketiga, 12 set komputer serta sebuah modem dirampas. Ketika serbuan, terdapat dua pelanggan dalam premis berkenaan,” katanya.

Kong Meng berkata, dari Januari hingga kelmarin, sebanyak 271 serbuan dijalankan di premis yang disyaki dan 370 set komputer berjaya dirampas.

“Nilai rampasan itu dianggarkan bernilai RM740,000. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak ebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas serta hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

“Kes itu itu juga disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: