23 Februari 2012

Angkara nyamuk rumah dibakar

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUBANG PANJANG – Pepatah ‘kerana nyamuk, kelambu dibakar’ menjadi kenyataan, namun kali ini, bukan kelambu yang menjadi mangsa, tetapi kuarters lama hangus dalam kebakaran kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Seorang lelaki dalam lingkungan 30-an, tampil membuat pengakuan kepada penduduk setempat, setelah bertindak membakar rumah berkenaan, hanya kerana marahkan nyamuk.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kerana rumah berkenaan merupakan kuarters lama, yang tidak berpenghuni hampir 10 tahun lalu.


Nyamuk banyak sangat

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Abu, tampil membuat pengakuan dan mengaku bertanggungjawab membakar kuarters itu.

Abu dipercayai kurang siuman, mengaku membakar rumah itu, kerana tidak tahan dengan nyamuk yang mengganggu masa tidurnya.

Katanya, dia tidak berniat hendak membakar keseluruhan rumah, tetapi kerana terlalu marahkan nyamuk, dia tidak sedar, api menyebabkan rumahnya hangus.

Abu berkata, dia menganggap rumah berkenaan sebagai rumahnya, kerana rumah berkenaan sudah lama tidak berpenghuni.

“Pada mulanya, saya ambil mancis dan membakar tilam, kerana nyamuk banyak di kawasan itu.

“Namun, api mulai marak sehingga tidak dapat dikawal, malah turut membakar keseluruhan rumah,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa berpindah ke kawasan lain, kerana kuarters itu tidak lagi selamat untuk didiami.


Operasi memadamkan

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.20 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan enam anggota.

“Setibanya di tempat kejadian, kita dapati kuarters satu tingkat yang berukuran 480 meter persegi ini, terbakar hampir 40 peratus.

“Kita berjaya mengawal api daripada merebak ke bilik bersebelahan dalam masa 35 minit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kerugian yang ditanggung dan punca berlakunya kebakaran ini.


Penduduk risau

Sementara itu, penduduk, Othman berkata, sejak sekian lama, penduduk menyuarakan kerisauan berhubung bangunan tinggal ini kepada pihak berwajib.

Menurutnya, hampir 10 tahun lalu, bangunan itu tidak diselenggarakan, malah ditinggalkan tanpa sebarang pemantauan.

“Kita tidak mahu ia digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai sarang jenayah.

“Kawasan ini juga agak terpencil, maka ia mungkin menyebabkan berlakunya kejadian tidak diingini terutama kepada kanak-kanak dan gadis di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, penduduk tidak mahu kejadian seumpama ini berulang, malah mereka turut menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan tegas berhubung kuarters tinggal ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: