21 April 2009

Muktamar Pas 2009; suatu transformasi akan berlaku!

Ustaz Haji Idris Mohammad Al Haqqani

Bagi ahli-ahli Parti Islam Se Malaysia (PAS), tahun 2009 adalah merupakan tahun yang penting bagi kalendar ahli PAS kerana pada tahun ini perwakilan akan membuat pilihan mereka secara demokrasi yang sihat untuk memilih pemimpin baru bagi PAS.

Muktamar yang akan dilansungkan pada bulan Jun ini bertempat di Stadium Malawati Shah Alam Selangor akan menjadi medan untuk bermuhasabah secara jujur dan telus bagi mengkaji keupayaan PAS untuk terus kekal relevan dalam arus perdana politik Malaysia.

Slogan “PAS untuk semua” yang diketengahkan pada Pilihanraya Umum tahun lalu akan terus dipraktikkan bukan sahaja sebagai slogan pilihanraya bahkan dalam polisi kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah secara kolektif dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Di samping melakukan muhabah dan post mortem untuk mempertahankan survival parti sebagai parti politik dan dalam masa yang sama sebagai sebuah gerakan Islam yang diiktiraf di peringkat global, muktamar yang akan berlansung ini juga akan memilih pemimpin-pemimpin baru yang diyakini sebagai sebuah team yang akan berhadapan dengan pilihanraya umum yang dijangkakan akan diadakan dalam tempoh setahun Najib Razak menjadi PM.

Cakap-cakap di peringkat grassroot parti, majoriti ahli-ahli PAS nampaknya mahukan supaya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi sebagai Presiden parti yang baru bagi menggantikan Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk memimpin PAS dalam menjana arus perubahan politik nasional dalam PRU yang akan datang.

Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden pula, ahli-ahli parti mahukan supaya Haji Mohammad Sabu yang lebih dikenali sebagai Bang Mat diberikan peluang untuk memegang amanah tersebut yang dalam masa yang sama menjadi seorang Timbalan Presiden yang berkesan kepada Presiden parti. Ianya ibarat Tok Guru Haji Hadi kepada Almarhum Ustaz Fadzil Noor suatu ketika dahulu.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden pula, ahli-ahli akan terus mengekalkan Haji Husam Musa di samping mengangkat muka baru termasuk Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan Prof Dr Mahfuz Muhamad.

Haji Husam yang mempunyai rekod dan prestasi yang baik dalam parti dan kerajaan negeri Kelantan dilihat akan terus kekal manakala Haji Nizar pula bintangnya yang semakin cerah berikutan krisis perlembagaan dan politik di Perak dan Prof Dr Mahfuz Muhamad mewakili ulama profesional yang ketika ini memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Johor. Beliau adalah bekas Profesor Syariah Universiti Malaya.

Ustaz Haji Ahmad Awang yang ketika ini menjawat sebagai Naib Presiden difahamkan akan mengubah haluan untuk memimpin Dewan Ulama PAS Pusat dalam usaha untuk memperkasa Dewan Ulama mendepani pelbagai cabaran dan isu syariah ketika ini.

Manakala rata-rata ahli akar umbi pemuda PAS mahukan supaya Dr Mujahid Yusuf Rawa memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat bagi berhadapan dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang baru iaitu Saudara Khairy Jamaludin Abu Bakar. Dr Mujahid tidak asing lagi bagi Dewan Pemuda PAS kerana beliau pernah menjadi Exco Dewan tersebut selama beberapa penggal. Dengan latar belakang pendidikan beliau sehingga ke peringkat doktor falsafah, beliau diyakini mampu bersemuka dan berdebat dengan Sdr Khairy yang berkelulusan Oxford di samping meningkatkan lagi tahap sokongan pengundi muda kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagi Dewan Muslimat PAS Pusat yang setiap kali pemilihan tidak pernah sunyi daripada pertandingan itu difahamkan akan berlaku pertembungan bagi jawatan Ketua Muslimat pada kali ini di antara penjawat sekarang dengan Dr Siti Mariah Mahmud yang pernah bertanding sebagai Naib Presiden PAS pada pemilihan yang lepas.

Bagi jawatan AJK PAS Pusat pula, antara yang akan diketengahkan adalah gandingan muka lama dan baru antaranya ialah Sdr Salahudin Ayub, Ustaz Muhamad Daud Iraqi, Dr Hatta Ramli, Sdr Anuar Tahir, Ustaz Azizan Abdul Razak, Haji Mahfuz Omar, Ir Khalid Samad, Sdr Ann Wan Seng, Ustaz Ismail Kamus, Dr Dzulkifli Ahmad, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, Ustaz Nik Amar Nik Abdullah, Sdr Kamarudin Jaafar, Ustaz Idris Ahmad, Sdr Anuar Tan, Dr Syed Azman Nawawi, Ustaz Taib Azzamudin dan beberapa orang lagi.

Adalah sesuatu yang perlu dipertegaskankan di sini bahawa tohmahan yang dilakukan oleh beberapa media massa dan penulis politik upahan pihak tertentu yang mendakwa bahawa pertembungan dalam PAS kali ini adalah di antara pro Pakatan Rakyat dengan Pro Muqabalah atau di antara Pro Liberal dengan Ustaz Ulama adalah mainan jahat mereka kerana seperti mana yang telah diperjelaskan oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa di dalam PAS tidak ada sama sekali Team A atau Team B.

Sesungguhnya di dalam PAS sekiranya terdapat sesuatu perbezaan pendapat atau percanggahan ijtihad ianya adalah suatu rahmat yang tidak sesekali akan membawa kepada perpecahan kepada PAS itu sendiri. Ianya adalah kerana ahli-ahli PAS telah dipadukan dengan wehdatul fikri demi memastikan tertegaknya di Malaysia sebuah negara yang disifatkan oleh al Quran sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur!

24 Rabiulakhir 1430 bersamaan dengan
20 April 2009
idris.haqqani@gmail.com

12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kita tidak mahu terpengaruh dengan mainan jahat musuh politik. Tetapi janganlah pimpinan PAS juga mengelabui mata ahli tentang persoalan dan perbezaan pendapat/pendirian yang wujud. Bagaimana ahli dapat membuat pilihan yang tepat jika mereka tidak tahu keadaan yang sebenar?

Tanpa Nama berkata...

Permainan isu pro Pakatan Rakyat dengan Pro Muqabalah secara besar2an tu dari kalangan jemaah yg sama beb, dng cara menghamburkan /memainkan isu muqobalah secara agresif (seolah2 semuanya hodoh tiada baiknya), pada masa yg sama mencanangkan isu perkuatkan pakatan rakyat secara berlebih2an (seolah2 semuanya baik tiada hodohnya). Dari kalangan saf mana agaknya ???? Kalaulah dah nampak dekat sangat ke putrajaya, janganlah sampai lupa pemimpin sendiri! Mungkin dah anggap ketiga2 pemimpin PR tu sama taraf je kot, atau mungkin pemimpin yg bersungguh2 nak segera ke putrajaya tu sikit lebih kot!

wan_jtk berkata...

Saya merasa pelik dengan nama-nama yang diada-adakan dalam artikel oleh Ustaz Haji Idris Mohammad Al Haqqani.

Saya tak nampak ia sebagai tepat. Adakah ini satu strategi kempen untuk mempengaruhi minda bakal perwakilan ke muktamar kelak?

Bagaimana Dr Khalil Idham boleh mempamirkan artikel ini?

Tanpa Nama berkata...

perbezaan pendapat mula wujud dari Nabi Adam lagi,Qabil dan Kabil,Nabi Muhammad(kemangkatan beliau yang mana tidak dapat diterima Saidina Umar,tempat hendak mengebumikan beliau seterusnya untuk melantik pemimpin yang akan menggantikan Nabi Ketika itu).Tolong Ulas crita ni sikit Teman xtau la crita nilebih lanjut(Ulas tang Umar tak mahu mengakui kemangkatan Nabi seraya mengankat pedang.).berbeza pendapat tidak bermakna dapat kurang agihan tender or tak dapat jawatan Tim.Menteri Kabinet walaupun menang Ketua Pemuda.?????????????????

budak johor berkata...

mahu timb pesuruhjaya pas johor iaitu prof datuk dr mahfudz mahmod diangkat menjadi naib presiden pas. pengalamannya sebagai prof di fakulti syariah unversiti malaya dan kelulusannya dlm phd memang amat sesuai sekali untuk memegang jawatan sebagai naib presiden pas.

Sulaiman berkata...

Bagi jawatan Mursyidul Am dan Presiden, saya lebih bersetuju supaya kedudukan sekarang kekal kerana kedua2 Tok Guru mempunyai kelebihan mereka dan amat sesuai dgn ranking mereka skrg di mana Mursyidul Am mengatasi Presiden.

Bagi Timb. Presiden, alangkah baiknya sekiranya Tok Guru ketiga di dalam PAS berada di situ iaitu Dr. Haron Din. Ustaz Nasa bukan tidak bagus tetapi saya percaya Dr. Haron Din semamangnya lebih dihormati bahkan oleh Ustaz Nasa sendiri.

Ini pandangan peribadi saya.

Tanpa Nama berkata...

Salam........

Maafkan Saya.....

Artikel SPESIS APA NI........???????


Firdauz-Budak Pahang....

Tanpa Nama berkata...

bagi saya...ini adalah artikel sampah. nak melobi orang tertentu ke?

AnakMaharani berkata...

Salam YB Lim,

Apa perlunya Mursyidul Am(MA) PAS bertanding Presiden. Bukankah MA lebih tinggi tarafnya dalam harakah. Mungkin dari sudut organisasi, Presiden is No.1, tapi ia sedikit berbeza dengan sebuah harakah Islam seperti PAS. Sekali lagi saya ingat agar posting2 sebegini kalau YB nak siarkan, ia memerlukan ulasan/komen sdr sebelum diposting dalam blog sdr. Pemimpim PAS spt sdr, YB Khalid, YB Husam, Cikgu Pa dll perlu lebih teliti dalam keterbukaan. Ia boleh mendatangkan fitnah kepada jemaah sekiranya tidak berhati-hati. Kita perlu ada saluran yang betul dan tertutup dalam membincangkan perbezaan agar nampak keutuhan dan kesepakatan jemaah kita dalam semua isu.

Saya amat tidak menyokong kempen terbuka sebegini. Lebih baik kepada sesiapa yang dicalunkan agar di paparkan biodata, backgrounds dan semua track records calon secara details untuk dinilai sendiri oleh ahli. Juga saya cadangkan agar di 'interview' calon-calon untuk mengetahui apa hasrat dan wawasan jika terpilih sebagai pemimpin. Cara kita perlu lebih terkehadapan dan profesional, jangan terikut cara UMNO.

AnakMaharani

Tanpa Nama berkata...

Artikel ini 'lapuran' atau kempen? Ustaz Idris nampak macam ada agenda. Sila ulas, YB!

Tanpa Nama berkata...

Mujahid??? Saya tak percaya yang akar umbi mahukan dia. Ternyata artikel ini adalah kempen!!!

Nash Ar-Rawy berkata...

Presiden PAS sekarang sewajarnaya dikekalkan kerna jawatan yang tertinggi Mursidul Am penyandangnya tiada lagi pengganti yang sesuai.
Transformasi tak semestinya digopohgapahkan kerna tokoh atau pemimpin yang produktif dan proaktif dan strategician hendaklah selari dengan upaya karisma , intelektualisma dan petah : www.nashsisepuluh.spaces.live.com