08 Julai 2009

Krisis bekalan elektrik semakin meruncing

Oleh: Imran al-Malizi

BINGKISAN DARI YAMAN

Awal bulan lepas, saya ada menulis dalam ruangan ini tentang isu ‘black-out’ di Yaman. Nampaknya, walaupun lebih sebulan telah berlalu, isu ini masih menjadi perbualan di kalangan masyarakat Yaman dengan pelbagai spekulasi dan jangkaan yang masih kabur.

Sebenarnya, situasi ini menjadi semakin buruk. Dalam sehari, elektrik akan terputus dengan kekerapan 2-3 kali. Kadang kala keputusan bekalan elektrik ini akan berlarutan lebih dari 3 jam untuk satu-satu tempoh.

Saya masih mahu menulis tentang perkara ini kerana terdapat banyak rungutan dari kalangan ibu bapa melihat situasi yang agak buruk ini berlaku di saat anak-anak mereka menghadapi peperiksaan di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi.

Setakat ini laporan akhbar hanya menyebut bahawa stesen janakuasa yang lama telah terlalu uzur dan perlu digantikan dengan yang baru. Maka kerja-kerja pengubahsuaian inilah yang menyebabkan bekalan elektrik terganggu dengan kadar yang lebih daripada biasa.

Persoalan ini seakan-akan terjawab apabila pada minggu lalu, saya melihat deretan kenderaan memenuhi stesen-stesen minyak di bandar ini. Sebelum ini pernah timbul isu kekurangan minyak diesel dan saya pernah melihat kenderaan-kenderaan berat beratur panjang sehingga menyesakkan lalulintas.

Kini, kenderaan biasa seperti kereta dan van pula yang kelihatan beratur atau ‘parking’ di sepanjang jalan menuju ke stesen minyak.

Saya difahamkan oleh seorang pemandu teksi bahawa sudah 2-3 hari stesen-stesen minyak menghadapi krisis kekurangan petrol. Kebanyakan pemandu teksi bernasib baik kerana mereka menggunakan gas. Terdahulu, saya telah menyebutkan bahawa janakuasa elektrik di negara republik ini bergantung penuh kepada bahan api.

Kembali kepada krisis bekalan elektrik, para peniaga adalah golongan yang paling banyak menepuk dahi pada ketika ini. Dari para peniaga kecil sehinggalah pengusaha kilang.

Mohammad Azari, seorang pengusaha kedai gunting rambut di Tahrir menjelaskan bahawa krisis ini telah menjejaskan perniagaannya, "Apabila pelangan datang ke kedai saya untuk menggunting rambut dan melihat tiada bekalan elektrik, mereka akan beredar pergi. Sesetengah pelanggan boleh menerima potongan rambut dengan gunting tangan. Tetapi ramai yang mahu rambut mereka dipotong dengan mesin elektrik."

Yang paling teruk terjejas akibat masalah ini ialah pengusaha kilang kayu, perabot, kimpalan besi dan lain-lain yang sangat bergantung kepada tenaga elektrik untuk beroperasi. Keadaan ini sangat menyukarkan kerana bekalan elektrik terputus berkali-kali dan boleh mendatangkan kerosakan kepada mesin-mesin mekanikal.

Abdurrahman Othman, seorang pemilik bengkel pertukangan perabot di Jalan Sittin, meluahkan perasaannya yang menghadapi masalah akibat krisis ini. "Krisis bekalan elektrik yang kerap terputus ini berlaku lebih kurang 2-3 kali pada setiap hari, yang mana telah merugikan 5 jam waktu bekerja. Saya ada 20 orang pekerja dan kami bergantung sepenuhnya kepada mesin dan peralatan elektrik dalam kerja-kerja perusahaan kami. Jika elektrik terputus, semua kerja akan tergendala, " jelasnya.

"Saya kerugian lebih kurang YER25,000 (RM460) pada setiap hari," tambah beliau yang agak kesal dengan situasi ini.

Seorang pegawai kerajaan, Darhim al-Sufiani menjelaskan bahawa situasi ini turut mendatangkan risiko kepada peralatan rumah. Beliau yang tinggal di Hasabah, menjelaskan bahawa keputusan bekalan elektrik secara berulang kali ini telah merosakkan peralatan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh.

Katanya, “Apabila bekalan elektrik datang semula, ia akan membawa kuasa elektrik yang lebih tinggi dari sebelumnya. Ini menyebabkan kerosakan pada peralatan elektrik yang belum dimatikan sebelum itu. Saya terpaksa memperbaiki peti sejuk saya beberapa kali akibat masalah elektrik ini.”

Tambah beliau, masalah ini bukan sahaja menjejaskan individu malah mengganggu produktiviti dan membantutkan pertumbuhan ekonomi. “Ini tidak menggalakkan pelabur luar untuk menanam pelaburan di negara ini. Bayangkan jika elektrik terputus di sebuah kilang penternakan telur ayam semasa kilang ini sedang beroperasi. Ini tentu mendatang kerugian besar kepada pemilik kilang,” ujarnya.

Menurut Kementerian Elektrik dan Tenaga, sistem elektrik di Yaman mengalami masalah kelemahan untuk menghasilkan tenaga elektrik yang mencukupi kerana stesen yang sudah lama dan permintaan terhadap tenaga elektrik semakin meningkat. Pihak pemerintah menghadapi kesulitan untuk mendirikan stesen janakuasa yang baru.

Yaman hanya mampu memenuhi 57% tenaga elektrik daripada keperluan penduduknya yang meningkat 3% setiap tahun. Masalah ini cuba diatasi dengan pembinaan beberapa janakuasa elektrik berasaskan gas asli sebagai alternatif.

Semasa majlis perasmian Projek Gas Raksaksa di wilayah Shabwah pada bulan November tahun lalu, Presiden Ali Abdullah Saleh mengumumkan bahawa terdapat 4 buah stesen gas asli sedang dalam pembinaan.

Khabarnya, selepas stesen-stesen ini beroperasi, Yaman tidak akan menghadapi masalah kekurangan tenaga elektrik lagi.

Tetapi sebelum itu semua menjadi kenyataan, kami di sini sudah lebih seminggu dalam keadaan berjaga-jaga kerana terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa bekalan elektrik akan terputus selama 3 hari di kawasan perumahan ini.

Para penduduk dinasihatkan supaya tidak menyimpan bekalan makanan yang mentah seperti ikan, ayam atau daging dalam peti sejuk.

Dalam kesibukan menghadapi peperiksaan akhir yang sudah bermula pada pertengahan bulan ini, saya cuba untuk menyiapkan tulisan ini untuk dikirim secepat yang mungkin. Ini kerana, gangguan bekalan elektrik ini tidak menentu. Ini menjejaskan perkhidmatan internet di sana-sini.

Sudah dua kali usaha saya gagal. Saya sudah berpindah ke 3 buah siber kafe untuk mengirim bingkisan dari Yaman. Jika tulisan ini sudah tersiar, bermakna saya telah berjaya mengirimnya untuk kolum minggu ini. Untuk minggu depan, saya akan cuba lagi..

Tiada ulasan: