28 Ogos 2009

Kaji kesan terapi wuduk untuk tangani H1N1

Sebagai umat Islam, kita diajar bahawa solat itu tiang agama. Dalam penghuraian lebih panjang, para ulama dan tok-tok guru menyebutkan bahawa sebagai tiang, maka sesiapa mendirikan solat bererti dia mendirikan agama. Sebaliknya, jika ia meninggalkan solat seolah-olah dia meruntuhkan agamanya.

Huraian itu sebenarnya bersandarkan sebuah hadis Nabi Besar Muhammad s.a.w. Ia dipetik sebahagian besar ulama dan diletakkan sebagai hujah paling kuat memastikan solat dikerjakan umat Islam.

Kita juga sering dibacakan petikan ayat-ayat al-Quran yang memperihalkan kelebihan-kelebihan lain dari ibadat solat. Antaranya yang paling masyhur ialah janji Allah di dalam al-Quran bahawa solat itu mampu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar (baca Surah al-Ankabut 29:45).

Malangnya, tidak semua yang mengamalkan ibadat rukun Islam itu berupaya mendapat hasil seperti disebutkan. Sebegitu ramai yang bersolat, tetapi dalam kehidupan seharian mereka gagal mempamerkan tindakan sebagai seorang yang bebas dari melakukan kekejian dan kemungkaran.

Begitu juga dengan janji Allah menerusi firmanNya yang mengaitkan zikrullah sebagai terapi menenang dan mententeramkan hati (baca Surah ar-Ra�d 13:28). Sekali lagi, di antara ibadat yang disarati zikrullah adalah solat. Maka secara logiknya, seseorang yang menyempurnakan solatnya akan memperolehi suatu tahap ketenangan hati.

Malang lagi, kita tidak perlu bersusah-payah membuktikan hakikat betapa sebegitu ramai umat Islam yang bersolat tetapi tidak menzahirkan tindakan atau amalan hidup sebagai seorang yang tenang dan tenteram hatinya.

Kita berhak mempersoalkan di mana silapnya. Namun ia tidak sepatutnya melarat kepada mempersoalkan kebenaran janji-janji Allah tadi. Maha Suci Dia dari segala kelemahan dan Dia juga Maha Menepati janjiNya.

Cuma, dalam dunia sains dan teknologi kini, hampir segala dakwaan tentang kebaikan sesuatu menuntut pembuktian secara saintifik atau berfakta. Maka mungkin wajar ada pihak melakukan kajian terperinci dan menyeluruh tentang kesan positif solat terhadap tabiat dan perlakuan umat Islam.

Alhamdulillah, setakat ini sudah ada pengkaji menemui bukti kukuh secara saintifik bahawa amalan solat dapat menjadi terapi menyembuhkan penyakit yang dihidapi seseorang.

Akhbar harian pada 6 Ogos lalu memuatkan laporan mengenai penemuan saintifik bahawa masalah mati pucuk yang menghantui 40 peratus lelaki dunia berusia 40 tahun ke atas boleh diatasi dengan menunaikan solat.

Khabar yang membanggakan umat Islam itu dibuktikan melalui kajian saintifik seorang pakar kejuruteraan bioperubatan Universiti Malaya (UM), Professor Madya Dr Fatimah Ibrahim. Menurutnya, selepas sebulan menjalani terapi solat yang diperkenalkan olehnya, dua lelaki menghidap masalah mati pucuk berjaya menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, melalui terapi itu seseorang lelaki yang memiliki masalah berkenaan perlu menunaikan solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan dalam masa setengah jam sebanyak tiga kali seminggu. Mengambil kira gabungan amalan solat-solat fardhu dan sunat yang disyariatkan Islam, keperluan itu tidak sukar dipenuhi.

"Sebagai contoh seorang pesakit boleh menunaikan solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas menunaikan solat Zohor untuk tujuan terapi itu,"jelasnya.

Difahamkan kajian itu adalah sebahagian daripada projek penyelidikan saintifik universiti berkenaan mengenai kesan biologikal solat kepada tubuh badan manusia. Antara kajian lain di bawah projek itu adalah kesan positif solat kepada ketenangan minda, kesihatan jantung dan masalah sakit pinggang.

Terapi solat, sembuh penyakit

Kajian tersebut telah mengesahkan bahawa setiap pergerakan dalam solat merangsang otot lantai pelvik.

�Memang pakar perubatan mencadangkan lelaki mati pucuk melakukan senaman otot lantai pelvik, tetapi dengan bersolat otot berkenaan dapat diregangkan secara automatik,� akui Dr Fatimah lagi.

Menurutnya, dua pesakit yang dimaksudkan telah berjaya mengurangkan tahap mati pucuk selepas menjalani terapi solat selama sebulan dengan menunjukkan sedikit reaksi ketegangan zakar.

Tidak syak lagi penemuan saintifik ini adalah sesuatu yang membanggakan umat Islam. Tepat sepertimana disebutkan Dr Fatimah, "ini menunjukkan solat bukan sahaja ibadah wajib tetapi merawat fizikal dan minda".

Kini terhidang di hadapan kita satu lagi kejadian yang sepatutnya mendorong para pengkaji menggali kesan-kesan positif satu lagi ibadat Islam, iaitu wuduk. Sebegitu banyak hadis dan ayat al-Quran menyuruh kita mengambil wuduk. Matlamat utama perbuatan itu ialah untuk menyucikan diri, sama ada dari kekotoran lahiriah mahu pun batiniah.

Sebegitu banyak juga hadis Rasulullah s.a.w. menerangkan fadhilat atau kelebihan wuduk. Antaranya disebutkan tentang cahaya dari muka orang yang berwuduk itu akan menerangi hidupnya di alam barzakh. Titisan air wuduk dari anggota yang dibasuh pula dikaitkan dengan penyucian dosa.

Wuduk juga dikaitkan dengan amalan yang mendorong kesihatan kepada pengamalnya. Apatah lagi ia merupakan salah satu di antara perbuatan bersuci dalam Islam. Seseorang yang sering berwuduk akan memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan bersih, paling tidak pada anggota wajib wuduk, iaitu tangan, muka dan kakinya.

Sebab itu apabila dinilai syor badan kesihatan dunia dalam menangani penularan wabak selsema babi (H1N1) kini, beberapa langkah disebutkan itu tidak lari dari perbuatan utama dalam berwuduk. Antaranya ialah membasuh tangan, membersihkan mulut dan hidung.

Selain tiga pancaindera ini merupakan sebahagian daripada muka yang wajib dibasuh ketika berwuduk, Islam juga mensyariatkan membasuh tangan hingga ke siku. Disunatkan juga orang berwuduk itu berkumur-kumur dan melakukan istinsyak, yakni menyedut air ke hidung dan menghembuskannya kembali (untuk menyucikan rongga hidung), selain memulakan wuduk dengan membasuh pergelangan tangan.

Selain ketika berwuduk, Rasulullah s.a.w. turut mengesyorkan umat Islam (amalan sunat) membasuh tangan dan menyucikan rongga hidung sebelum melakukan apa-apa yang lain sebaik bangkit dari tidur. Ada hadis menyebutkan "kita tidak tahu ke mana tangan kita pergi semasa tidur", dan "hidung sebagai tempat tidur syaitan tatkala kamu tidur".

Kesan positif ajaran dan amal ibadat dalam Islam terhadap manusia memang sudah dijangkakan. Sebagai umat Islam kita diyakinkan menerusi sebegitu banyak firman Allah dan sabda Junjungan Muhammad s.a.w. yang menegaskan kelebihan dan manfaat setiap ibadat yang kita laksanakan.

Sememangnya bagi seorang yang benar imannya terhadap Allah, dia tidak memerlukan bukti kajian saintifik atas sesuatu ibadat atau amalan Islam sebelum melakukannya. Cukuplah ia diterima sebagai perintah Allah dan sabda Rasulullah s.a.w. yang mesti dipatuhi untuk mereka yakini bahawa kesemua perintah itu mengandungi segala macam hikmah dan manfaat yang tidak semestinya tergapai oleh pengkajian akal manusia.

Bagaimana pun, tidak salah bagi pakar perubatan dan ilmuan Islam kita mengambil kesempatan atas penularan wabak selsema babi kini untuk kita buktikan secara saintifik betapa amalan berwuduk yang diwajibkan Islam pada ketika tertentu dan disunatkan pada setiap masa itu sebenarnya terapi atau langkah preventif terbaik yang menepati ciri-ciri langkah pencegahan H1N1 disyorkan badan kesihatan dunia kini.

HarakahDaily.Net/-


Tiada ulasan: