26 Ogos 2009

Tegas Berakidah, Luas Dalam Fekah

Email Oleh : hazlan hj. mohammad
Oleh Dr Mohd Asri Zanul Abidin


Selama hampir dua minggu saya mengembara dari London ke Osnabruck , kemudian ke Berlin dan seterus ke Republik Czeck. Di setiap tempat saya disambut dengan mesra dan meriah sekali oleh para pelajar Malaysia .

Walaupun kebanyakan mereka belum pernah bertemu saya, tetapi banyak pandangan saya; samada dalam bentuk ucapan atau tulisan, kebanyakan mereka telah pun menelaahnya. Alhamdulillah.

Itulah kebaikan dunia internet jika kita manfaatkan. Walaupun sebahagian mereka berada di luar negara sejak saya belum menjadi mufti, dan setelah saya berhenti pun mereke belum balik lagi, namun mereka tahu perkembangan Malaysia .

Dalam tempoh dua tahun saya menjadi mufti nampaknya pandangan-pandangan yang dilontarkan –alhamdulillah- telah diekspot dengan mewahnya ke sana . Setiap tempat yang saya sampai, saya memberikan ucapan dan membuat sessi soal jawab.

Dunia hari ini begitu pantas maklumatnya, di mana sahaja saya berhenti, akan ada rakyat Malaysia yang tahu dan menunggu saya di berbagai stesyen. Mereka menjemput saya ke berbagai program yang dianjurkan dan boleh dikatakan setiap warga Malaysia di kawasan berkenaan akan hadir. Alhamdulillah.

Memberikan ucapan kepada para pelajar yang terpilih dan bijak amatlah selesa dan senang. Mereka memiliki kecerdasan minda dan ketajaman untuk berhujah. Apabila mereka merasai pandangan yang kita lontarkan itu berteraskan alasan yang meyakinkan, dengan mudah mereka bersetuju. Atau jika mereka tidak bersetuju, mereka akan bersoal jawab dan mendatangkan alasan-alasan mereka.

Saya sering mengingatkan pembaca, demikian saya ingatkan mereka bahawa Islam sama sekali tidak dapat menerima pegangan agama yang dibuat atas ikut-ikutan tanpa memahami dalil atau alasan. Tiada takliq buta dalam Islam ini. Tiada dalam Islam senjata beracun yang pernah digunakan oleh sesetengah golongan yang memakai lebel agama iaitu ‘barang siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannya’.

Jika manusia bijak seperti mereka yang mempelajari bidang-bidang yang sukar seperti perubatan tidak dibekalkan dengan kekuatan kefahaman yang berteraskan fakta dan dalil, siapa lagi yang hendak kita harapkan menjadi benteng Islam di zaman kini.

Dr Zakir Naik umpamanya, dia seorang saintis yang menyumbang kepada penyebaran Islam dengan hujah-hujah saintifik dan pemikiran yang tajam. Kebijaksanaannya telah digunakan untuk menyampaikan Islam. ‘Peace TV’ telah dijadikan saluran media membolehkan manusia memahami Islam yang canggih dan mengatasi zaman.

Lihatlah, ketika sesetengah mereka yang bergelar ‘ustaz’ menggambarkan Islam sebagai agama yang dipenuhi dengan unsur Israiliyyat, hadis palsu, jampi itu dan ini, cerita-cerita lucu kewalian, upah pahala sebagai bisnes dan berbagai pencemaran yang lain, golongan professional muslim yang mendapat disiplin ilmu perubatan, kejuteraan, pembinaan dan berbagai lagi tampil menjelaskan Islam yang sebenar. Islam yang mereka fahami dari sumber yang betul tanpa sebarang kepentingan kebendaan.

Ini mengingat kepada Nabi Sulaiman a.s apabila beliau mendengar ucapan semut betina. Firman Allah: (maksudnya)

“Hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml” (lembah semut), berkatalah seekor semut betina: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak kamu, sedangkan mereka tidak menyedari. Maka tersenyumlah Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berkata (berdoa):” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amalan soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”. (Surah al-Naml: 18-19)

Demikian, pengetahuan tentang alam membawa insan mendekatkan diri kepada Allah dan bersyukur kepadaNya.

Di sana , saya dalam banyak ucapan menceritakan kepada mereka tentang dua perkara yang penting. Pertama, kejelasan dan ketegasan Islam dalam perkara-perkara akidah. Kedua; keluasan dan kemudahan yang diperuntukkan oleh Islam dalam soal fekah.

Perkara ini perlu dijelaskan kerana dalam kalangan umat Islam, termasuk di Malaysia ada yang begitu longgar dalam akidah tapi begitu sempit dalam perkara fekah. Maka kita tidak hairan jika menemui di Malaysia mereka yang berserban atau berkopiah dan begitu takut untuk terkeluar dari mazhab fekah kebiasaannya, namun dalam masa yang sama dia masih percaya kuat kepada bomoh, atau gurunya dianggap ajaib, atau masih percaya tangkal itu dan ini.

Saya pernah melihat kumpulan yang berjubah dan berserban sakan, namun pergi memohon hajat di kubur Pulau Besar Melaka. Pengaruh tarekat yang berlebihan, atau kesufian yang melampau sering menjadikan sesetengah pihak gagal untuk membezakan antara batasan iman dan syirik.

Guru, atau bomoh sering diangkat melebihi kadar yang patut. Walaupun dalam masa yang sama, kita lihat mereka ini begitu menjaga sesetengah amalan fekah, sehingga kelihatan sempit dan beku. Maka tidak pelik di negara kita jika ada imam masjid yang masih kuat pegang dengan bomoh, atau terikut dengan tarikat yang bukan-bukan.

Sepatutnya, dalam isu akidah seseorang hendaklah sensitif dan selalu takut akan segala unsur syirik. Sementara dalam soal fekah, ada keluasan yang diberikan oleh syarak yang boleh kita amalkan, namun ramai orang masih takut dengannya.

Umpamanya, di sebelah Eropah ini, pada musim sejuk seperti sekarang, waktu siang agak singkat. Waktu solat mereka berkejaran dengan waktu kelas atau peperiksaan. Sebenarnya, dalam hal yang seperti ini, mereka boleh mengamalkan solat jamak, tanpa qasar. Sekalipun jika mereka menganggap diri mereka sudah tidak bermusafir, mereka tetap mempunyai peruntukan untuk menjamakkan solat tanpa qasar..

Jamak bermaksud menghimpun dua solat dalam satu waktu, samada pada waktu pertama, atau kedua. Ini bagi solat zohor dan asar, atau maghrib dan isyak. Maka boleh dihimpunkan solat zohor dalam waktu asar, atau sebaliknya. Demikian maghrib dan isyak. Adapun qasar, iaitu memendekkan solat empat kepada dua rakaat, maka ia dikhususkan untuk mereka yang bermusafir. Sementara jamak, boleh untuk dilakukan oleh mereka yang sakit, ketakutan, terlalu sibuk, hujan, terlalu sejuk, musafir dan segala kesusahan yang lain.

Dalam hadis Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya: “Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban”.

Maka bagi yang kesuntukan masa, seperti pelajar, atau doktor bedah, atau ahli parlimen, atau polis yang bertugas menjaga lalu lintas, atau mereka menjaga jentera yang sukar untuk ditinggalkan, maka peruntukan jamak ada dalam hadis ini untuk mereka. Namun malangnya di Malaysia , ada yang sanggup meninggalkan solat apabila masuk hospital atas alasan sukar untuk solat.

Apa tidaknya, fekah yang diajar diajar begitu sukar kerana ditokok tambah berbagai hukum lain yang memayahkan. sehingga disuruh sesiapa yang sakit tidak mampu berwuduk sepenuhnya untuk wuduk separuh dan bertayamum sebakinya. Orang sihat pun hanya berwuduk, tiba-tiba yang sakit disuruh wuduk dan tayamum.

Para pelajar di sini mempunyai masalah kerana anjing begitu banyak. Ramai yang membawa anjingnya ke sana sini. Jalan menjadi kotor dengan najis anjing yang berselerakan. Berselisih dan bersentuh dengan anjing bukan perkara luar biasa. Demikian juga dengan daging babi yang amat digemari oleh ‘orang puteh’. Kefahaman fekah tempatan kita menjadikan sesetengah pelajar kita begitu gusar dalam masalah ini.

Saya telah memberikan beberapa jawaban untuk mereka menceritakan kepelbagaian pandangan sarjana Islam berhubung dengan nilai najis kedua haiwan berkenaan dan bagaimana kita dapat mengambil manfaat dari keluasan fekah Islam dalam hal-hal tersebut. Apa yang penting mereka perlu tegas dalam akidah dan ambil kemudahan fekah yang diberikan syarak.

Tiada ulasan: