05 Februari 2010

Ahmad Fadhli, SU akhbar baru MB Kelantan

20 Safar 1431H

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat melantik bekas pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ahmad Fadhli Shaari sebagai setiausaha akhbarnya yang baru.

Ahmad Fadhli, 30, dilantik jawatan tersebut bagi menggantikan menggantikan Mohd Saiba Yaakub, yang kembali bertugas sebagai pensyarah di Kias.

Manakala awal bulan lalu bekas Pengarah Pusat Kajian Strategik, Wan Nik Wan Yussof dilantik sebagai Setiausaha Politik menggantikan Anual Bakhri Haron.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad Fadhli mengesahkan perlantikannya ke jawatan tersebut yang berkuatkuasa hari ini.

Bagaimanapun beliau akan memulakan tugas barunya itu di pejabat Menteri Besar pada Ahad ini, tambahnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata beliau menganggap tugas tersebut sebagai "satu amanah yang akan dilaksanakan sebaik mungkin".

"Saya menganggap tugas itu mencabar untuk menghadapi politik hari ini. Saya menetapkan matlamat untuk membantu menteri besar berdepan dengan media," katanya.

Tidak kekok dengan media

Menurutnya, beliau tidak kekok untuk memegang jawatan itu kerana beliau adalah ketua penerangan Pemuda PAS negeri yang merangka sebarang kenyataan kepada media.

Ahmad Fadhli berasal dari Tendong merupakan pelajar Maahad Tahfiz al Quran Pulai Chondong.

Beliau berkelulusan diploma Tahfiz Al Quran Jakim pada 2000. Kemudian menyambung pelajaran ke Kias dalam bidang dakwah.

Ahmad Fadhli merupakan pelajar terbaik Kias pada 2003 dan mendapat biasiswa Yayasan Kelantan Darulnaim bagi melanjut pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir dalam bidang dakwah pada 2003.

Selepas itu beliau bertugas sebagai pensyarah di Kias pada November 2004 dan sedang menyiapkan tesis sarjana dalam bidang dakwah dan kepimpinan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ahmad Fadhli mendirikan rumah tangga dengan Nuryani Mohd Salleh, juga seorang pendidik dan mempunyai dua cahaya mata.


Malaysiakini/-

Tiada ulasan: