05 Februari 2010

Perkauman: PAS Pulau Pinang larang sertai demonstrasi

20 Safar 1431H
Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 4 Feb: PAS Pulau Pinang melarang semua pemimpin, ahli dan penyokong terlibat dalam mana-mana demonstrasi yang menimbulkan isu perkauman serta menjejaskan keharmonian rakyat dan kerajaan negeri.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Salleh Man berkata, agenda tersebut mempunyai maksud yang tersirat dan berkepentingan politik.

Ini berikutan pihak tertentu merancang mengadakan demonstrasi esok (Jumaat) di beberapa buah masjid ekoran perasaan tidak puas hati terhadap perobohan gerai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai saluran yang boleh diketengahkan dan bukan dengan cara berdemonstrasi.

Katanya, demonstrasi itu akan memberi lampu hijau kepada pihak musuh yang senantiasa mencari punca untuk menghentam Kerajaan Pakatan Rakyat.

"Semua organisasi PAS di negeri ini disaran menjadi pemantau serta menasihati para ahli dan penyokong agar jangan terlibat dengan demonstrasi yang didalangi Umno dan Barisan Nasional," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir menambah, tindakan mengadakan demonstrasi tidak akan menyelesaikan masalah bahkan menjadi bertambah kusut.

“Jadi untuk mengatasinya, semua parti dalam gabungan Pakatan Rakyat tidak duduk diam bagi merangka berbagai pelan bersama," jelasnya.

Menurutnya, memang tidak dinafikan ada perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat terutamanya mangsa, namun mereka diharap bersabar apabila kerajaan negeri menyediakan kawasan baru sebagai jalan penyelesaian.

Harakahdaily.net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tindakan PR sebelum ini buat demontrasi selesai masaalah ke?