05 Februari 2010

Tabung Haji isytihar bonus 5 peratus

20 Safar 1431H

Tabung Haji hari ini mengisytiharkan bonus pendeposit tahunannya sebanyak lima peratus bagi tahun 2009 dengan anggaran keseluruhan bayaran berjumlah RM1.1 bilion.

"Walaupun 2009 merupakan tahun yang mencabar, Tabung Haji dengan komitmen dan perancangan yang rapi masih mampu mencatat pencapaian kewangan yang boleh dibanggakan," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika mengumumkan bonus itu di Putrajaya.

Tabung Haji, yang mengumumkan kadar yang sama pada tahun sebelumnya, telah mengisytiharkan pemberian bonus interim pada kadar 2.25 peratus pada September lalu dengan jumlah bayaran RM465 juta.

"Jika dibuat perbandingan terhadap kadar purata pulangan perbankan komersil untuk simpanan tetap dan tabungan, jelas sekali pemberian bonus Tabung Haji sejak dahulu lagi mempamerkan satu kadar yang amat kompetitif," kata Jamil Khir.

Seramai 5.1 juta pendeposit Tabung Haji akan menikmati bayaran bonus itu mulai Isnin depan.

Dana pendeposit terkumpul Tabung Haji meningkat pada kadar 12 peratus tahun lalu kepada RM23 bilion daripada RM20.6 bilion tahun 2008.

Tabung Haji memperuntukkan zakat perniagaan sebanyak RM39 juta berbanding RM38 juta pada tahun sebelumnya.

Jamil Khir berkata Tabung Haji mungkin boleh membayar dengan kadar yang lebih baik untuk tahun 2010 berbanding tahun lalu memandangkan senario ekonomi semakin pulih.

Tabung Haji yang pernah membayar bonus setinggi tujuh peratus pada tahun 2007, telah mengambil kira kos tanggungan langsung haji sebanyak RM54 juta bagi musim haji 1430 hijrah yang lalu.

Ia telah mencatatkan pendapatan dan keuntungan selepas zakat masing-masing sebanyak RM1.7 bilion dan RM1.1 bilion, dan kedua-duanya meningkat pada kadar 12 peratus.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: