05 Februari 2010

Letak jawatan tidak cukup, guna Akta Hasutan - MCA

20 Safar 1431H

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Kemarahan pelbagai pihak terhadap Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar (GAMBAR) tidak berhenti walaupun beliau telah diminta meletakkan jawatan oleh bosnya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat berkata, kerosakan telah dibuat oleh Nasir dan diambil tindakan disiplin termasuk menggunakan Akta Hasutan.

"Apa yang sangat dikesalkan lagi adalah kenyataan ini dibuat dalam majlis anjuran JASA tentang konsep 1Malaysia," kata Ong Tee Kiat.

Pengerusi Biro Perhubungan MCA, Datuk Ti Lian Ker juga mendesak agar Nasir disiasat di bawah Akta Hasutan dan diambil tindakan sebagaimana rakyat biasa yang lain.

Ini kerana kenyataan beliau itu sangat sensitif dan merupakan satu kenyuataan provokasi kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Kenyataan Nasir nampaknya membayangkan sikap sebenar Umno dan pentadbiran negara terhadap konsep 1Malaysia yang dikemukakan Perdana Menteri itu.

"Kalau sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyidin Yassin) juga dilihat berbeza dengan pendirian Najib, kini Pegawai Khas Najib sendiri sudah jelas tidak bersama konsep 1Malaysia beliau," kata seorang pemerhati politik ketika mengulas kejadian ini.

Dalam kejadian di Melaka semalam, Nasir telah menyifatkan orang Cina dan India di negara ini sebagai pendatang dan kerajaan (Umno) boleh menarik taraf kerakyatan mereka bila-bila masa-masa.

Nasir juga didakwa berkata, orang Cina khasnya wanitanya datang ke Malaysia untuk menjual tubuh.

Ekoran kenyataan beliau itu, ramai peserta program anjuran JASA itu meninggalkan majlis.

Sekurang-kurang 12 laporan polis dibuat ke atas Nasir berhubung kenyataannya itu.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Zinin, semua 12 laporan itu dibuat di seluruh negara dan beliau memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan.

Ditanya sama ada Nasir akan ditahan atau diheret ke mahkamah berhubung kenyataannya itu, Mohd Bakri berkata adalah terlalu awal untuk mengulas sementara siasatan dijalankan.

Di JERANTUT, pemimpin Pakatan Rakyat Jerantut membuat laporan polis berhubung kenyataan Nasir itu.

Yang Dipertua PAS kawasan, Dr Hamzah Jaafar yang selesai membuat laporan di Balai Polis di sini, mahu kerajaan mengambil tindakan serius dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi mencegah mana-mana pihak daripada mengeluarkan kenyataan berbau perkauman yang boleh membahayakan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kami memohon suatu langkah yang pro aktif dibuat bagi membendung sebarang unsur berbau hasutan dan perkauman dicegah dan diambil tindakan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Kami menuntut pihak polis melakukan penyiasatan dan mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan atau mana-mana peruntukan undang-undang supaya perbuatan sedemikian tidak lagi berulang,” katanya.

Pengerusi Kelan Penyokong PAS Kaum India Pahang Balasubramaniam a/l Nachippan kesal dengan kenyataan itu dan mahu tindakan keras diambil.

“Kenyataan yang datang dari Pegawai Khas Perdana Menteri itu tidak boleh diterima. Tak cukup dengan minta maaf atau letak jawatan. Itu tak berkesan. Dia boleh diberi jawatan lain, kita mahu pengajaran yang keras terhadap penghasut perkauman,” katanya.

Turut hadir dalam membuat laporan polis itu ialah pimpinan PAS kawasan, ahli kelab penyokong PAS dan pimpinan DAP Jerantut.


Harakahdaily.net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ini macam punya orang yang membahayakan serta menggugat keharmonian pun ada dalam kerajaan BN (Bini Najib) tu?