05 Mac 2010

Fu Jing Qing Zui

18 Rabiulawal 1431H

Membawa Ranting Berduri di Atas Belakang Tanpa Memakai Baju Untuk Meminta Maaf

Asal Usul:

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang, iaitu antara tahun 475 hingga tahun 221 Sebelum Masihi, ada dua orang pegawai kanan yang sangat terkenal di negeri Zhao. Nama mereka ialah Lian Po dan Lin Xiangru. Lian Po, seorang hulubalang yang gagah perkasa, telah dilantik menjadi jawatan menteri kanan kerana sumbangannya yang besar dalam membantu negeri Zhao memenangi sekian banyak peperangan. Lin Xiangru yang terkenal dengan kecerdasan dan keberaniannya itu pula, telah dinaikkan pangkatnya daripada menteri kanan menjadi Perdana Menteri selepas beliau berjaya membela maruah raja negeri Zhao dalam pertemuan baginda dengan raja negeri Qin. Lian Po berasa tidak senang hati kerana pangkat Lin Xiangru menjadi lebih tinggi daripadanya. Maka dia bersumpah akan mencari kesempatan untuk memalukan Lin Xiangru.

Setelah mengetahui niat jahat Lian Po itu, Lin Xiangru pun cuba mengelakkan diri daripada berjumpa dengan Lian Po. Melihat keadaan tersebut, pegawai-pegawai yang lain berfikir bahawa pastilah Lin Xiangru takut kepada Lian Po. Hal itu juga menjadikan Lian Po sangat besar hati. Bagaimanapun, Lin Xiangru menerangkan bahawa:

"Saya bukanlah takut kepada Hulubalang Lian Po itu. Sekarang ini, negeri Qin benar-benar takut kepada negeri kita, kerana Hulubalang Lian Po dan saya masih berkhidmat di sini. Jika kami berdua sering bertelagah, maka negeri Qinlah yang akan untung. Untuk menjaga kepentingan negeri, kita perlu mengetepikan perselisihan peribadi terlebih dahulu."

Apabila kata-kata tersebut sampai ke telinga Lian Po, Lian Po berasa sangat malu. Maka, dia pun membawa ranting berduri di atas belakangnya yang tidak berbaju, ke rumah Lin Xiangru untuk meminta maaf daripadanya. Dia berlutut di hadapan Lin Xiangru, sambil berkata:

"Betapa bodoh dan naifnya saya dulu. Saya tak sangka, hati awak begitu lapang!"

Selepas peristiwa tersebut, kedua-dua mereka pun menjadi kawan yang amat rapat hingga sanggup sehidup semati.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Fu Jing Qing Zui" atau "membawa ranting berduri di atas belakang tanpa memakai baju" ini bermakna meminta maaf kerana sesuatu kesalahan. Ia digunakan untuk menyindir seseorang yang sanggup mengakui kesilapan dirinya dan memohon maaf secara terbuka.

CRI/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Agak-agaknya inilah hukuman yang sesuai dikenakan kepada semua katak-katak yang mengkhianati Pakatan Rakyat - Membawa Ranting Berduri di Atas Belakang Tanpa Memakai Baju Untuk Meminta Maaf - selagi mereka masih bernyawa.