30 Julai 2010

Guru dibenar berpolitik wajar dipersoal

17 Syaaban 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Ketetapan terbaru kerajaan yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan membenarkan guru sekolah berpolitik wajar dipersoal, kata Prof Dr. Abdul Aziz Bari (gambar).

Bagi pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, ketetapan tersebut bakal menghakis profesionalisme serta prinsip kekecualian yang sepatutnya dihayati oleh setiap kakitangan kerajaan.

"Prinsip kekecualian (neutrality) kakitangan perkhidmatan awam telahpun dihakis, patut diperkasakan selepas 50 tahun (merdeka), bukannya dihakis.

"Kamu (Mohd Sidek) kata tentang transformasi perkhidmatan awam, reformasi besar-besaran profesionalisme, semua ini kamu yang perkenalkan, apa sebenarnya masej dia ini," kata beliau kepada Harakahdaily petang ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai pakar perlembagaan berkata, kakitangan awam sepatutnya fokus pada meningkatkan kualiti perkhidmatan awam masing-masing.

Ini kerana, katanya, mereka secara prinsipnya dibayar gaji yang nyata hasil kutipan cukai daripada rakyat, bukannya parti-parti pemerintah mahupun opisisi.

"Tak kiralah nak sertai parti politik pembangkang atau kerajaan, mereka perlu berhenti kerajaan rakyat membayar cukai dan cukai ini menjadi gaji mereka.

"Tak boleh satu kaki dalam politik, satu kaki lagi dalam perkhidmatan awam, kalau nak berpolitik, berhenti," ujarnya.

Pun begitu, beliau tidak bermaksud menghalang kebebasan individu untuk berpartisipasi dengan mana-mana parti politik, dengan syarat berhenti dari menjadi kakitangan perkhidmatan awam.

Tambahnya, realiti dunia politik sekarang pun sebenarnya tidak memerlukan partisipasi langsung guru-guru sebagaimana pada era selepas merdeka.

"Kalau dahulu, ya seseorang guru siswazah dipencenkan untuk sertai politik supaya menteri cerdik-cerdik sikit, sekarang siswazah sangat banyak, itu terlalu banyak menyimpang," tegasnya.

Dari segi yang lain, katanya, mutu pengajaran di sekolah dijangka kian menurun ekoran guru-guru terbabit terbeban oleh tanggungjawab berpolitik di samping beban yang sedia ditanggung oleh mereka di luar waktu sekolah.

"Sekarang ini pun sudah berlaku, perubatan kenaikan pangkat, isu PTP (kursus penilaian kenaikan pangkat), selepas ini mengampu dan macam-macam lagi mungkin berlaku," beliau menambah.

"Profesyen perguruan sendiri banyak masalah, mengapa dia cakap macam ini, dia pegawai tadbir diplomat (PTD), dia bukannya guru," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ketetapan terbaru ini adalah hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia sendiri demi menyelamatkan survival politik Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Umno nampaknya macam terdesak, sekarang ini dia cuba main politik di sekitar ini (guru-guru) pula.

"Kerajaan ini dikawal oleh Umno, Umno tentu tahu apa yang sepatutnya dilakukan (pada kakitangan kerajaan)," katanya.

Harakahdaily/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam.
Tak ada salahnya dalam keputusan tu. Siapa pun patut dibenarkan politik, bukan menidakkan. Itu hak semua, pilihan. Lebih elok dapat golongan profesional yang mempunyai expertise daripada sekadar menteri yang tau berpolitik ja. Lagi teruk bila yang menjadi menteri bukannya expert tentang portfolio yang dipegang. Kejap jadi menteri belia dan sukan, penggal seterusnya jadi menteri pendidikan pula. Ini semua politik tanpa governing skills.

Selamat,
ReverieMalaya

Tanpa Nama berkata...

kalau guru boleh berpolitik
pensyarah universiti boleh juga
bagaimana pula polis diRaja
dan juga Tentera kita
dan juga Peguam Negara
semua mereka makan gaji
bukankah mereka semua
KAKITANGAN KERAJAAN ??

baei berkata...

Dulu guru yang menjadi pejuang politik, lalu mereka dihormati orang ramai. Sebahagian besarnya masuk UMNO. tetapi kemudian itu sebahagian besar masuk PAS, lalu mereka dihantar ke pendalaman. Jadi, selepas itu diharamkan langsung. tetapi kali ini dibenarkan semua. Kalau mereka tidak dikongkong dan dipaksa masuk umno apa salahnya.