05 November 2010

Dua jalan utama Jitra-Alor Setar ditenggelami air

27 Zulkaedah 1431 H

Beberapa jalan utama yang menghubungkan pekan Jitra dengan Alor Setar ditenggelami air sedalam hampir satu meter, dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan, sekaligus menyebabkan penduduk kawasan sekitarnya terkandas.

Dua jalan utama yang ditenggelami air ialah Jalan Alor Setar-Hutan Kampung dan Alor Setar-Kepala Batas, manakala jalan alternatif atau jalan kampung, turut dinaiki air.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan mendapati aktiviti harian penduduk di Jitra lumpuh sepenuhnya, dan beberapa khemah didirikan sebagai tempat tinggal sementara mangsa banjir.

Selain itu, tinjauan di kedai runcit mendapati bekalan makanan seperti ikan kering, sardin, telur, makanan segera serta beras, laris dijual dan mungkin menghadapi kekurangan sekiranya jalan utama masih tenggelam.

M Kalidas, 45, berkata banjir kali ini lebih teruk berbanding tahun 2005 dan tidak menjangka kawasan kediamannya turut dinaiki air kerana perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Air tiba-tiba naik dengan cepat lewat petang semalam, saya tidak sempat menyelamatkan semua barang dan tinggal sehelai sepinggang.

"Saya cuma menyelamatkan lembu ternakan saya sebanyak 50 ekor, manakala semua persiapan untuk Deepavali rosak ditenggelami air banjir," katanya ketika ditemui hari ini.

Kalidas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan bagi Kampung Muhibah berkata, sebanyak 68 keluarga di kampung itu terpaksa berpindah setelah rumah mereka dinaiki air.

Beliau berkata kebanyakannya mendirikan khemah sementara dan tidak pergi ke pusat pemindahan kerana tidak mahu meninggalkan haiwan ternakan mereka.

Sementara itu, M.Hemalatha, 42, berkata kuil di Kampung Muhibah tidak pernah dilanda banjir sejak dibina 38 tahun lalu, dan ini merupakan kali pertama ia tenggelam hampir dua meter.

"Banjir kali ini sangat buruk, semua persiapan seperti kuih raya dan baju rosak dihanyutkan banjir," katanya.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya harap unuk mengegak sesuatu yang adil kena siar semua ulasan jangan berat sebelah.kerana Allah melihat dari kebenaran dan keikhlasan, bukan rekaan yang tiada diadakan yang ada titak dinyatakan . Amin