05 November 2010

Pengundian di Batu Sapi, Galas bermula perlahan - SPR

27 Zulkaedah 1431 H

SANDAKAN - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata proses pengundian dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas agak "perlahan" dalam tempoh satu jam pertama.

Sehingga pukul 9 pagi tadi hanya 14.68 peratus atau 3,756 pemilih di Batu Sapi manakala 9.93 peratus atau 1,147 pemilih di Galas telah keluar mengundi, katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian setakat ini dan berharap jumlah mereka yang keluar mengundi meningkat pada tengah hari dan petang.

Seramai 24,047 pemilih biasa layak mengundi di Batu Sapi manakala pengundian secara pos diadakan pada Selasa dan semalam.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi, di mana 15,099 atau 59.02 peratus adalah Bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus adalah Bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus ialah pengundi Cina dan 57 atau 0.22 pengundi kaum lain.

Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Keputusan kedua-dua pilihan raya kecil itu dijangka diumumkan seawal 8 malam ini.

SinarHarian/-

Tiada ulasan: