05 November 2010

Zainab sedia berkongsi Dr Zul bersama rakyat Galas

27 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salmah Mat Husain & Intan Abdullah

GUA MUSANG, 4 Okt : "Saya sedia berkongsi suami saya dengan masyarakat. Di luar beliau adalah milik rakyat dan di rumah dia adalah suami yang penyayang," ujar isteri Dr Zulkefli Mohamed yang lebih mesra dengan panggilan Kak Nab.

Beliau ditemui semasa melawat Markas Penerangan petang semalam. Beliau redha dengan pencalonan suami untuk mewakili PASmempertahankan Dun Galas esok.

"Kami tidak minta untuk dicalonkan, namun saya redha dan bersedia menerima sebarang kemungkinan, insyaAllah," katanya.

Ditanya tentang keistimewaan yang ada pada suaminya, Kak Nab menyifatkan Dr Zulkefli sebagai suami yang penyayang, bapa yang baik dan anak taat kepada ibu bapa.

Zainab mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Kemunculan dengan gaya bersahaja dan mudah ceria menyebabkan beliau disenangi sesiapa sahaja.

“Kami juga mempunyai hobi yang sama iaitu suka berkebun. Saya akan menyiram manakala abang membantu mencabut rumpai yang tumbuh di halaman rumah sewa kami.

"Beliau juga sangat rapat dengan anak saya, Nur Amni Qistina, 7. Malah lebih rapat berbanding saya.

"Pengalaman sebagai Penyelia Dun Paloh selama dua tahun dan penyelia Parlimen Gua Musang sejak 2004 sehingga 2010, abang sudah banyak pengalaman dalam masyarakat,” katanya.

Menurutnya semasa dilantik sebagai Penyelia di Dun Paloh, majoriti rakyatnya ialah Melayu, sedangkan di Galas rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asal.

Sementara itu hari ini ketika menziarahi keluarga remaja istimewa (gambar) di bandar lama Gua Musang yang cacat sejak kecil, Zainab tidak dapat menahan sebaknya.

Ibu remaja istimewa tersebut Che Mah Muda, 47, menceritakan anak bongsunya Nor Hana Amira, 14 cacat selepas mengalami demam panas ketika berusia tiga hari.

Akibat demam panas, Nor Hana atau panggilan manjanya, Che Su tidak mampu berjalan dan bercakap seperti remaja normal yang lain.

Norhana seperti anak kecil berusia 10 bulan yang hanya mampu merangkak, menangis dan ketawa sahaja.

Paling menyayat hati, Che Su menangis kerana ingin mengikut Zainab sebaik sahaja turun dari rumahnya.

Che Su merupakan adik kepada juruhebah popular Manisfm, Mohd Fadzli Mat Ali.

Turut mengiringi lawatan Zainab, Ketua Dewan Muslimat PAS Gua Musang, Normaini Shamsuddin, Penghulu Tanpa Mukim Parlimen Gua Musang, Kamariah Nawang dan Penghulu Tanpa Mukim Dun Galas, Hasnah Noh.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: