05 November 2010

Tiada insiden teruk

27 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hafiz Irwan

GUA MUSANG, 4 Nov: Pusat pembuangan undi Sekolah Kebangsaan Seri Wangi dicemari pergaduhan kecil antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

Ia berlaku akibat tindakan penyokong parti bertanding gagal mematuhi arahan pihak berkuasa supaya menduduki kawasan khas seperti mana ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antara kumpulan penyokong kedua-dua belah parti bukan sahaja membuat kecoh tetapi masing-masing menimbulkan provokasi dengan menjerit pelbagai ungkapan panas menyebabkan beberapa penyokong kedua belah pihak rasa tidak puas hati.

Susulan itu, penyokong kedua-dua parti bertembung di atas jalan raya dan berlaku tumbuk menumbuk selama kira-kira lima minit.

Kehadiran anggota polis diketuai Timbalan Pengarah Operasi Polis Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Datuk Ahmad Sofian Md Yassin bagaimanapun berjaya mengawal keadaan daripada menjadi semakin parah.

"Kalau ikut standard biasa memang kita berjaya mengawal kekecohan yang timbul ini dengan begitu pantas.

"Tidak ada insiden teruk tercetus dan tidak ada apa-apa tangkapan dibuat setakat ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut beliau, pergaduhan itu berpunca akibat tindakan beberapa penyokong parti bertanding yang tidak mematuhi arahan untuk berkumpul di kawasan masing-masing.

Jelasnya, keadaan kini terkawal sepenuhnya selepas anggota polis berjaya mengarah semua penyokong terlibat untuk berada di kawasan yang telah disediakan.

Sementara itu, di peti undi Sungai Terah turut dicemari situasi yang sama apabila seorang perempuan perayu undi Barisan Nasional (BN) bertindak melanggar peraturan pilihan raya dengan memakai west lambang BN memasuki pusat pengundian untuk merayu pengundi.

Sebaik sahaja dihalang pihak berkuasa individu terbabit menunjukkan sikap memalukan orang ramai.

Bagaimanapun tindakan cekap beberapa pasukan anggota keselamatan berjaya mengawal keadaan.

Seluruh pusat pengundian bagi PRK Dun Galas dibuka pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00petang ini.

Keputusan pilihan raya dijangka akan diumumkan kira-kira pukul 9.00 malam ini di Dewan Pusat Sivik, Bandar Baru, Gua Musang.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: