18 April 2011

Dalam kenangan : Ziarah terakhir rupanya pertemuan terakhir dengan Ah Lee.

14 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Selesai urusan sidang pada Jumaat, 15 April dalam perjalanan balik selepas mendapat hukuman digantung hadir sekali sidang akan datang saya bergegas balik ke Parit Buntar. Badan rasa letih setelah empat hari mengikuti sidang kali ini namun perjalanan lancar selepas sempat berhenti menunaikan solat di hentian Bukit Gantang dan sempat minum petang bersama ADUN Selingsing dan Gunung Semanggol.

Sebelum saya keluar Tol Bandar baru saya menerima panggilan talifon yang sempat saya lihat tertera pemanggilnya Ah Lee. Lalu saya menjawabnya seperti biasa.

Maka teringatlah bagaimana saya menitipkan pesan kepadanya sekiranya dia sudah balik dari rawatan penyakit kansernya di Hospital Pulau Pinang jangan lupa untuk menghubungi saya.

Sebelum itu dia telah menalipon saya yang dia sedang mendapat rawatan di Pulau Pinang dan saya tidak menjanjikan untuk menziarahinya dalam keadaan kesibukan tugas termasuk kempen di Sarawak dan Sidang DUN Perak.

Sebagaimana dijanjikan dia memaklumkan dia sudah balik ke rumah. Dari suaranya saya mendapati dia semakin uzur dan saya hampir tidak memahami patah demi patah perkataan yang dia ucapkan.

Antaranya dia ucapkan dalam bahasa Manderin " Datanglah sekarang ziarah saya kerana saya sudah tidak ada harapan untuk hidup lagi".

Dek kerana kata-kata itu saya tidak sanggup menangguhkan untuk menziarahi Ah Lee petang itu juga. Saya bergegas sampai dirumah sekitar jam 6.00 petang . Bersama dengan isteri dan pembantu peribadi, Pak Din kami bertiga bergerak ke rumah Ah Lee.

Terkejut saya melihat badannya (seperti gambar) yang jauh sangat kurus dan sangat uzur. Mengikut isterinya, dia mendapat suntikan dos ubat yang berlebihan menyebabkan badannya sudah tidak boleh bergerak dan berjalan lagi.

Semangatnya masih kuat dengan terus menerus mengeluarkan kata-kata dalam bahasa yang separuh saya fahami diselang seli dalam bahasa melayu dan manderin.

Katanya " kita macam adik dengan abang dan sudah kenal lama, saya masih berhajat untuk bantu kamu menang lagi dalam pilihanraya akan datang tapi apakan daya sudah tidak mampu lagi".

Dia memegang tangan saya dengan erat dan membelai pipi saya dan saya sempat mebelai rambutnya yang kelihatan agak jarang dari biasa. Perbualan nya dalam keadaan penuh semangat dan dia nampak cukup gembira dengan kedatang saya dan isteri.

Apa lagi Pak Din adalah rakan baiknya dan dia kalau datang ke pejabat pada masa sihatnya akan berbual panjang dengan Pak Din.

Rasanya begitulah keakraban antara keluarga saya dengan Ah Lee. Teringat pada tahun lepas bila dia bercuti ke Cameron bersama keluarga, saya belanja dia untuk bayar tempat penginapan.

Anaknya cukup menghargai sedikit sumbangan kami dengan mengutuskan sepucuk surat ucapan terima kasih kerana membantu mereka walaupun tidak sebanyak manapun.

Malah balik dari Cameron dia langsung ke rumah saya tanpa balik kerumahnya terlebih dahulu dengan memberikan hadiah sayur-sayuran yang pelbagai jenis dan dalam jumlah yang banyak sehingga mampu saya bahagi-bahagikan kepada jiran dan rakan yang lain.

Pada masa awal dia disahkan mengidap penyakin kanser hati dia menangis sehari sebelum ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan memohon bantuan dalam jumlah wang yang agak banyak, habuannya pada masa itu saya mampu untuk tunaikan jumlah yang dia perlukan.

Sekiranya dia kesempitan wang dia tidak segan untuk memaklumkan kepada saya dan rasanya bantuan kepada 3 orang anaknya yang masih bersekolah dalam keadaan isterinya yang tiada pekerjaan perlu saya fikirkan untuk mencari kaedah untuk membantunya.

Itulah Ah Lee yang telah saya doakan dia masuk Islam dan pernah saya ajak dia memeluk Islam , namun dia sudah pergi untuk selamanya.

Diakhir pertemuan dalam keadaan maghrib sudah hampir menjelang tiba, saya mohon diri untuk balik dan saya berjanji dengan dia akan datang lagi beberapa hari lagi. Ah Lee terus menerus bercakap dan mengatakan sesuatu semacam tidak mahu berpisah dengan kami.

Dengan rasa berat hati saya melangkah keluar dari ruang tempat dia terlantar dan berjanji untuk datang lagi. Sebelum itu saya sudah rasa tidak sedap hati dan meninggalkan no talipon di secebis kertas dan saya berpesan kepada anak dan isteri Ah Lee hubungilah saya kalau ada sesuatu perkara penting.

Kelmarin, petang ahad anaknya menalipon saya memaklumkan bapanya dalam usia 50 tahun, sudah pergi untuk selamanya . Saya ucapkan terima kasih dengan berita itu dan sempat bertanyakan bilakan jenazahnya akan disemadikan.

Hari Khamis ini Ah Lee akan disemadikan dan saya pada hari ini bersama dengan Ah Lee san semua staf Pejabat ADUN titi Serong akan menziarahi jenazah Ah Lee.

Rasanya belum cukup terlewat untuk kami sekeluarga dan Seluruh warga blog Cina Islam dan Pusat Khidmat ADUN Titi Serong mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Ah Lee, dengan harapan semuanya bersabar dengan kehilangan orang yang disayangi.

Pemergiannya satu kehilangan kepada Dewan Himpunan Penyokong Pas Parit Buntar. Usaha gigihnya membantu untuk menghubungkan kami dengan kaum cina di sekitar Parit Buntar adalah usaha yang sukar dicari ganti.

Gambar terakhir saya dengannya pada 15 april lepas.


Ah Lee (kiri sekali) sama-sama meraikan sambutan Hari Terbuka Hari Raya Cina diperkarang Pejabat saya.

Dalam kenangan, Ah Lee duduk disebelah saya untuk mengucapkan "gong xi fa cai" kepada yang hadir dalam perayaan tersebut.

Gambar terakhir saya dengannya pada 15 april lepas.

3 ulasan:

Qaseh Bonda berkata...

Rasa sayu menyelubungi hati memandang Ah Lee yang sudah tidak bermaya lagi melawan hidup.

Mudah2an memberi kesedaran pada Ali-Ali diluar sana yang tak pasal2 memusuhi PAS hanya sekadar berbeza fahaman politik.

Takziah untuk keluarga Ah Lee. Mudah2an hidayah Allah sampai pada ahli2 keluarga yang ditinggalkan.

anak komando rej 1 berkata...

PERGINYA SEORANG PEJUANG NESCAYA AKAN BERCAMBAHLAH LEBIH RAMAI LAGI PEJUANG SEPERTI BELIAU. INSYAALLAH...ISLAM IS AWAY OF LIFE.

Tanpa Nama berkata...

Kasihan dan sedihnya. Takziah untuk keluarga Ah Lee. Terima kasih Ah Lee atas segala jasanya selama ini.