20 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Hulu Langat - Suasana sedih dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14 di sini semalam apabila tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa selamat disemadikan dalam satu liang lahad.
Tujuh jenazah daripada 16 mangsa yang terkorban itu ialah Dzahir Haziq Mohd. Muin, 18, Mohd. Azret Azahari, 8, Wan Ahmad Hashim Hazim, 11, Mohd. Mustakim Mamat, 12, Mohd. Zaim Azahari, 14, Mohd. Imal Fahad, 9, dan Mohd. Hazim Sapri, 10.
Orang ramai memenuhi Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Batu 14, Hulu Langat tempat tujuh jenazah mangsa tanah runtuh disembahyangkan
Turut disemadikan dalam liang lahad sama ialah sebelah kaki milik Zulkhairi Aminuddin, 13, mangsa yang terselamat dalam tragedi itu. Upacara pengebumian itu selesai pada pukul 3.20 petang.
Terdahulu, kesemua jenazah itu disembahyangkan selepas solat Zuhur di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, pekan Batu 14. Lebih 500 hadirin terdiri daripada ahli keluarga, waris, dan penduduk setempat mulai memenuhi masjid tersebut sejak pukul 10 pagi bagi menunaikan solat jenazah.
Zaiton Abdullah, 30-an, ibu saudara salah seorang mangsa, Dzahir Haziq ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilannya tidak dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir.
Zaiton berkata, dia yang menetap di Terengganu terus bergegas ke ibu kota setelah menerima panggilan pada malam kejadian mengenai tragedi menimpa Dzahir Haziq.
"Saya terkilan kerana tidak dapat menatap wajah Dzahir Haziq buat kali terakhir kerana baru sampai ke sini," kata Zaiton yang memberitahu dia menganggap arwah seperti anak kandungnya.
Roslan Osman, 69, yang bertugas secara sukarela di rumah anak yatim itu berkata, rumah tersebut mempunyai 42 orang penghuni yang terdiri daripada empat golongan iaitu anak yatim, yatim piatu, anak-anak fasuki dan anak-anak hidayah.
1 ulasan:
sedih rasanya.semoga roh mereka ditmptkan bersama orn2 yag soleh.ibubapa mereka sudah ada tiket untuk ke syurga..Alfatihah
Catat Ulasan