23 Mei 2011

‘Nak jumpa opah’

20 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


IPOH: “Sebelum ini, arwah ada menyatakan hasrat untuk pulang bercuti dan bertemu dengan opahnya (nenek) yang kini berada di sini (Kampung Pasir Puteh, Ipoh) dan Kuala Kangsar namun, hajat itu tidak kesampaian,” kata Zamri Mohd Kassim, 48, bapa kepada Zahid Assawal, 19, salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat, Selangor petang kelmarin.

Foto dan wajah suci anak-anak yatim sehari sebelum tragedi


Dalam kejadian menyayat hati itu, Zahid Assawal bersama 15 penghuni rumah anak yatim itu maut selepas terperangkap dalam insiden tanah runtuh yang tiba-tiba menghempap sebuah dewan serbaguna, tempat di mana semua mereka berkumpul kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan hampir 30 penghuni bersama guru berada di sebuah dewan serba guna itu untuk menjalani latihan penuh persembahan nasyid sempena satu majlis serahan bantuan peribadi Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Finas, Fatimah Ahmad, yang dijadualkan jam 5 petang pada hari kejadian.

Zamri yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh, di sini, semalam berkata, arwah anaknya pernah menyatakan hasrat kepadanya untuk pulang bercuti di kampung.

Beliau berkata, sejak berada di bawah jagaan datuk angkat di rumah anak yatim itu tiga tahun lalu, arwah tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan di kediaman anak yatim itu.

“Dia (arwah) berada di bawah jagaan Haji Ahmad iaitu salah seorang pengendali rumah anak yatim itu. Arwah seronok berada di sana kerana ramai kawan, malah turut berpeluang mempelajari pelbagai ilmu agama.

“Saya juga difahamkan, Zahid adalah penyanyi solo kumpulan nasyid bagi rumah anak yatim itu. Kali terakhir saya menemuinya dua minggu lalu ketika berada di pengebumian saudara di Muar, Johor,” katanya.

Katanya, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 6 petang kelmarin selepas dimaklumkan seorang rakan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Zamri berkata, sebaik tiba kira-kira jam 7 malam, dia terus bergegas ke kawasan runtuhan itu dan berjaya masuk biarpun cuba dihalang sepasukan anggota mencari dan menyelamat.

Katanya, ketika itu, anggota penyelamat sedang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat baki mangsa yang masih terperangkap. “Saya sempat melakukan solat taubat dan hajat sebelum mayat arwah akhirnya berjaya ditemui kira-kira jam 11 malam. Arwah ditemui dalam keadaan seluruh badan terperangkap dalam tanah selain kesan lebam di muka dan dahi,” katanya.

Sementara itu, ibu Zahid Assawal, Wan Zarina Mohd Zainuddin, 46, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah pada April tahun lalu ketika dia pulang selepas mengerjakan umrah.

Tiada ulasan: