20 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
AMPANG: Seorang penghuni, Khairul Anwar Nazmi,9, hanya mampu menjerit meminta kawan menyelamatkan diri dan pada masa sama cuba melarikan diri dari ditimpa tanah runtuh, tetapi tidak sempat kerana tiba-tiba seketul batu besar menghempap kaki kirinya.
Menurut Khairul, dia hanya mampu menjerit meminta tolong dan tidak boleh keluar atau bergerak.
“Saya terdengar rakan lain turut menjerit dan lama-kelamaan suara mereka semakin perlahan.
“Saya hanya mampu berdoa supaya saya dan rakan lain selamat dan berharap kejadian itu berakhir,” katanya yang kini dirawat di Hospital Ampang, di sini.
Khairul Anwar bersyukur kerana diselamatkan pasukan penyelamat selepas beberapa jam terperangkap dalam khemah yang dihempap tanah.
Menurutnya, walaupun trauma dengan kejadian itu, tetapi dia tidak pernah serik dan tetap akan meneruskan pengajian agama di rumah itu selepas ini.
Seorang lagi mangsa, Mohd Alauddin Safri, 14, yang patah tangan kiri dan kehilangan adik bongsu, Mohd Hazim, 10, begitu sedih dengan kejadian itu kerana kehilangan orang tersayang. Katanya, ketika kejadian, dia sedang menyiapkan tempat untuk majlis, tetapi dikejutkan dengan bunyi kuat secara tiba-tiba dan dirinya tidak sempat melarikan diri sebelum dihempap runtuhan tanah.
“Saya terperangkap apabila papan putih dan kerusi menimpa diri dan hanya mampu berdoa supaya diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, ibu pasangan kembar, Asmah Yassin, 48, melahirkan rasa syukur apabila anaknya Siti Fatimah Ibrahim dan Mohd Syafiq Ibrahim, 22, serta cucu, Siti Nur Fatihah berusia lapan bulan dan menantu, Mohd Khairi Zain, 38, yang menjadi tenaga pengajar di rumah berkenaan selamat.
“Tidak tergambar dengan kata-kata apabila mengetahui mereka selamat, tetapi sedih apabila anak-anak yang belajar di sini terkorban,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan