23 Mei 2011

Naib presiden: Mahfuz serah pada perwakilan

20 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau menjangkakan 'agak sulit hendak mendapat tempat' bagi jawatan tersebut dalam pemilihan parti Jun.

Ini kerana katanya semua calon yang bertanding jawatan tersebut mempunyai keupayaan, kebolehan dan kemampuan masing-masing.

"Saya tidak ada masalah sekiranya tidak dipilih. Mungkin perwakilan melihat kerja yang saya buat tidak cukup untuk meletakkan saya pada jawatan yang ditawarkan.

"Saya sentiasa menghormati rakan-rakan yang telah dan akan menawarkan diri (dalam jawatan naib presiden)... Mereka mempunyai kemampuan," katanya.

Dalam sidang media itu di ibu pejabat parti juga, Mahfuz turut mengumumkan untuk bertanding jawatan naib presiden bagi meneruskan tugas-tugasnya yang belum selesai termasuk membantu presiden dan parti untuk membuat lonjakan besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum, jawatankuasa pemilihan telah mengumumkan seramai 14 calon layak bertanding bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan parti pada 3 Jun ini.

Setakat ini hanya ketua penerangan Idris Ahmad yang menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan naib presiden.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata beliau tidak suka untuk menggunakan "mempertahankan jawatan" kerana istilah tersebut menggambarkan jawatan tersebut adalah miliknya.

"Sedangkan ia adalah jawatan parti. Ia bukan milik saya, tetapi milik semua orang (dalam PAS)," katanya.

Ditanya mengenai jumlah pencalonan, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena enggan mendedahkan jumlah pencalonan yang diterimanya.

"Tidak adillah saya beritahu berapa jumlahnya, sedangkan calon lain tidak mengumumkan.

"Saya tidak mahu melihat menggunakan jumlah pencalonan untuk mempengaruhi perwakilan," katanya.

Bagaimanapun beliau memberitahu jumlah yang diterimanya "memberangsangkan" berbanding dua tahun lalu, sekitar 20 pencalonan.

Katanya lagi, tujuan beliau menawarkan diri bagi jawatan naib presiden adalah untuk membawa PAS dan Pakatan Rakyat menghindarkan politik perkauman yang akhir-akhir ini "ditiup kembali".

"Saya bimbang dengan politik negara. Sikap perkauman seharusnya dijadikan musuh nombor satu dan ia musuh kepada perpaduan.

"Saya pikul tanggungjawab ini bersama presiden dan rakan-rakan untuk membawa politik baru di negara ini.

"PAS mampu untuk membawa misi ini kepada rakyat,"katanya.

Sehubungan itu, beliau menggariskan lima agenda yang perlu ditekankan sebagai agenda PAS membawa nilai baru yang perlu diterapkan dalam politik baru yang ingin dibina.

Lima perkara tersebut disifatkan '5K' iaitu agenda yang berteraskan kejujuran, ketelusan, kebijaksanaan, kesaksamaan serta kepatuhan dan kebajikan.

"Semua itu saya simpulkan dalam satu tahap 'integriti' dalam politik baru. Sebab itu ia menjadi tugas berat dan besar kepada saya.

"Saya menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat penilaian kebolehan, kemampuan dan keupayaan saya sejak menjadi ketua pemuda, ketua penerangan dan naib presiden," katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: