09 Mei 2011

'Jalan rakyat' tak payah bayar tol

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

BUTTERWORTH, 9 Mei: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang memperkenalkan 'jalan rakyat' khusus kepada penduduk sekitar Butterworth bagi mengelakkan membayar kadar tol 50 sen sehala di Tol Sungai Nyiur mulai semalam.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika merasmikan jalan sepanjang 1 kilometer dari Jalan Bagan 29 ke Jalan Siram menyifatkan satu lagi kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menunaikan janji pilihan raya membantu rakyat bukan membebankan mereka sebagaimana yang menjadi amalam Kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Pulau Pinang sekali lagi mencatit sejarah apabila berjaya memperkenalkan 'jalan rakyat' bagi kemudahan penduduk di sekitar Butterworth yang hendak ke Seberang Jaya mahupun ke lokasi lain tanpa membayar sesen pun tol," terangnya diiringi tepukan hadirin.

Tindakan Kerajaan BN yang membenarkan sebuah syarikat mengutip tol di jalan sedia ada dari Seberang Jaya ke Butterworth tiga tahun lalu dilihat membebankan rakyat apabila pengguna jalanraya Butterworth-Kulim terpaksa membayar RM1 pergi balik.

Pembinaan jalan rakyat itu juga, sambungnya yang juga Ahli Parlimen Bagan, boleh dijadikan pengajaran kepada pemerintahan yang zalim supaya membuang jauh tindakan menindas rakyat dengan bebanan kewangan.

Bahkan, katanya pembinaan tersebut juga merupakan satu contoh kebajikan yang Kerajaan Pakatan Rakyat berikan terhadap sokongan mereka pada pilihanraya umum lepas.

"Kita buat secara tander terbuka di mana kosnya RM5.7 juta dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri semata-mata untuk melihat rakyat gembira. Melalui tender terbuka itu sebuah kontaraktor melayu yang tiada kabel dengan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat berjaya melaksanakan tugas dengan baik," jelasnya.

Dulu ujarnya, penduduk Taman Bagan tidak boleh keluar sebab jalanya adalah jalan mati melainkan menghala semula ke Butterworth tetapi setelah mendapati pembangunan pesat berlaku di situ, maka jalan rakyat dilaksanakan.

Kata Lim lagi, kerajaan negeri yang berjiwa rakyat bukan sahaja memberikan kesenangan dan kemudahan pada rakyat keseluruhanya malahan boleh menghidupkan semula jalan yang sudah mati.

"Untuk memberikan kesenangan kepada semua Kerajaan Pakatan Rakyat sanggup menghidupkan jalan yang dah mati. Mana ada kerajaan yang sanggup buat macam tu," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said

Tiada ulasan: