09 Mei 2011

Pas tetap perjuang Islam

06 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM – Pas terus melaungkan ketegasan bahawa Islam tetap menjadi agama rasmi Persekutuan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya merampas tampuk pemerintahan kerajaan pusat pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, Pas bersama dua lagi parti komponen PR, iaitu PKR dan DAP, meletakkan asas yang sama seperti dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perkara ini adalah satu ikrar yang telah terpahat dalam dasar PR dan telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Shah Alam 2009.

“Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini.

”Oleh yang demikian hirup pikuk yang di lemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini didakwa berpunca dari kealpaan dan kelemahan kepimpinan UMNO.

“Merekalah yang sebenarnya gagal memperkasa Islam sebagai agama Persekutuan sehingga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat.

“Melayu menghadapi kecelaruan sahsiah dan bencana akidah yang tidak mampu untuk menguatkan orang Melayu beragama Islam dalam negara kita ini,” katanya.

Jumaat lalu, beberapa blogger mendedahkan terdapat satu perjumpaan paderi seluruh negara di Pulau Pinang, didakwa dianjurkan oleh Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi, dikatakan berikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara.

Ooi menafikan beliau menganjur perjumpaan itu atau terdapat ikrar seperti yang didakwa itu.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: