06 Jamadilakir 1432H. [MOD] -
IPOH: Lebih 3,000 bayi dan kanak-kanak di Perak terdedah kepada risiko keselamatan atau lebih malang kehilangan nyawa kerana dijaga pengusaha dan pengasuh taska haram.
Berdasarkan maklumat diperoleh Berita Harian, hanya separuh daripada lebih 400 pengusaha taska dan pengasuh kanak-kanak di negeri itu berdaftar dengan Persatuan Taska Perak (PTP), manakala selebihnya secara haram.
Lebih mengejutkan, ada di kalangan pengusaha haram itu beroperasi tanpa menggunakan khidmat penjaga bertauliah, selain premis diduduki tidak mendapat sijil kelayakan menduduki (CF) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Dari segi bilangan taska pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak mengakui terdapat 265 taska di negeri itu sehingga Disember tahun lalu, namun hanya 83 premis berdaftar, manakala 182 lagi sudah tamat tempoh perakuan.
Timbalan Pengarah I JKM negeri, Mohamad Nasir Suratman, berkata kajian pihaknya mendapati berlaku peningkatan jumlah taska tidak berdaftar disebabkan kekangan masa untuk mendapatkan tempoh kelulusan perakuan penubuhan, kurang maklumat membuat permohonan pendaftaran dan masalah keluasan premis digunakan.
“Tiga agensi utama iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan akan bertanggungjawab melakukan pemeriksaan sesebuah premis itu sebelum JKM boleh memberi kelulusan lesen taska.
"Jika mana-mana di antara agensi itu tidak memperakui kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan, taska itu tidak boleh beroperasi.
"Dalam tempoh tiga tahun ini juga, JKM turut mendapati trend taska tidak berdaftar semakin meningkat dengan jumlah 109 taska pada 2008 kepada 182 pada tahun lalu," katanya kepada Berita Harian.
Sementara itu, Presiden PTP, Ding Moi King mengakui pihaknya mendapati kebanyakan pengusaha di Perak tidak berdaftar dengan persatuan dan JKM.
"Ada di kalangan mereka mengambil khidmat warga asing sebagai pengasuh,” katanya.
Berita Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan