6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU: Pakatan seorang anak bersama dua rakannya merompak sebelum membunuh ibu angkatnya di Kemaman, berakhir apabila rahsia tindakan kejamnya itu terbongkar selepas dia ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor, Rabu lalu.
Lelaki berusia 25 tahun berasal dari Johor itu ditahan bersama tiga rakannya dalam satu operasi yang dijalankan bersama pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu dengan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.
Operasi diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din itu dilakukan berdasarkan maklumat risikan yang menjejak pergerakan lelaki terbabit sebaik dia menghilangkan diri selepas kejadian pembunuhan ibu angkatnya pada 30 April lalu.
Difahamkan, ketika serbuan, lelaki terbabit bersama tiga rakannya yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun dan rompak dikatakan baru selesai melakukan satu rompakan di Johor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, soal siasat yang dijalankan terhadapnya membongkar perbuatan kejam suspek terhadap ibu angkatnya yang menyebabkan kematian.
“Suspek mengaku terbabit dalam kejadian rompak dan bunuh wanita berkenaan dan daripada siasatan lanjut, suspek mengaku melakukan perbuatan itu bersama dua lagi rakan termasuk seorang jiran mangsa,” katanya.
Isnin lalu akhbar ini melaporkan seorang suri rumah berusia 53 tahun mati akibat lemas selepas mulutnya ditutup dengan pita pelekat oleh sekumpulan perompak yang memecah masuk rumahnya di Taman Desa Darul Iman, Bukit Kuang, Kemaman.
Difahamkan, kumpulan perompak terbabit bertindak kejam bagi mengelak mangsa menjerit meminta tolong selepas perbuatan mereka memecah masuk rumah berkenaan disedari mangsa, kira-kira jam 4 pagi.
Berikutan itu, berlaku pergelutan dan mangsa dikatakan cedera di muka dan lebam di beberapa bahagian badan sebelum ditemui pengsan dalam bilik tidurnya oleh jiran yang mengesyaki kejadian buruk berlaku selepas mendapati pintu rumah mangsa terbuka.
Ketika kejadian, suami mangsa yang berusia 56 tahun berada di Kota Bharu, Kelantan kerana urusan kerja dan mangsa hanya tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 13 tahun.
Manoharan berkata, susulan tangkapan lelaki berkenaan, jiran mangsa yang berusia 34 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Darul Iman 2, Bukit Kuang, Kemaman pada jam 8.50 pagi , keesokannya.
Beliau berkata, ekoran tangkapan itu, polis menemui semula barangan kemas milik mangsa yang sudah dijual kepada peraih emas di Kuala Krai, Kelantan yang dianggarkan bernilai RM8,000 termasuk komputer riba yang dirampas ketika serbuan.
Menurutnya, semua barangan kemas itu dirampas dalam pemeriksaan mengejut di beberapa premis pajak gadai dan peraih emas di Kuala Krai kira-kira jam 2 petang, kelmarin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan