6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
SELAYANG – Pelaksanaan projek penempatan semula penduduk Bukit Botak oleh pihak Kerajaan Negeri sebelum ini dilihat tidak menyelesaikan masalah keseluruhan penduduk asal tinggal di situ.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, biarpun kos projek terbabit sebelum ini adalah rendah, tetapi pelaksanaannya tidak teratur dan mengambilkira keselesaan penempatan yang akan diduduki.
“Sedangkan rumah kita beli bukan untuk tinggal hanya untuk lima atau 10 tahun, tetapi ia digunakan lebih dari dua generasi. Tetapi sebelum ini kerana takutkan kos tinggi, ia dibuat secara tidak betul.
“Sekarang kita lihat banyak hendak kurangkan kos. Namun akibatnya tidak sampat tujuh ke lapan tahun, pelbagai masalah seperti paip dan bumbung pecah, dinding retak dan sebagainya berlaku,” katanya.
Abdul Khalid berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis lawatannya bersama penduduk ke rumah contoh Projek Bukit Botak, di sini, semalam.
Hadir sama dalam lawatan berkenaan ialah Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri, Othman Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Exco Kerajaan Negeri, Iskandar Abdul Samad.
Mengulas berhubung masalah pembinaan rumah kurang berkualiti di negeri ini, katanya pihaknya akan berbincang dengan Exco berkaitan supaya projek dijalankan lebih berkualiti dan menguntungkan pembeli seperti di Bukit Botak.
Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, banyak usaha telah cuba diambil bagi menyelesaikan isu Bukit Botak sebelum ini menemui jalan buntu sehinggakan penduduk terlibat merasakan ia tidak dapat diselesaikan.
“Tempoh 20 tahun bukan sesuatu yang singkat. Wajar kita merasa kecewa dengan kegagalan masa lalu yang menunjukkan ada kelemahan dalam proses membuat keputusan untuk kebaikan rakyat.
“Saya percaya rakyat khususnya penduduk Bukit Botak ini wajib diberikan maklumat sebenar supaya mereka tahu apa masalah sebenar yang memberi kesan kepada mereka,” katanya.
Projek penempatan semula ini terbahagi kepada enam fasa ini melibatkan 2,300 keluarga pemilik di kawasan seluas 201 hektar, dimulakan sejak 21 September 2010 dan bakal siap pada 20 Jun 2012.
Sinar Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan