28 Jun 2011

Utusan malaysia wajib mohon maaf kepada umat islam : dewan ulama pas Perak.

26 Rejab 1432H. [MOD] -

IPOH, Dewan Ulama' PAS Perak melalui setiausahanya, Ustaz Salleh Said sekali lagi menegaskan bahawa, PAS mengecam karikatur yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia berjudul “Kekeliruan Kes Rogol” pada 15 Jun lalu yang disifatkan menghina syariat Islam dan mengkhianati Islam.

Beliau kesal atas karikatur sebegitu yang dianggap langsung tidak bertanggungjawab dan menidakkan sensitiviti masyarakat beragama Islam di Malaysia. Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video. Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Penyiaran karikatur itu yang menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada 2 pihak berkuasa berbeza jelas mempersendakan golongan ulama dan Islam.

Beliau berkata, “Kartun sebegini jelas mempunyai niat jahat untuk memperlekeh pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam. Unsur-unsur sebeginilah yang membawa kepada perpecahan umat. Bertentangan dengan objektif media itu sendiri sebagai alat perpaduan.”

Ujar beliau lagi, “Pihak Utusan Malaysia seharusnya jelas dalam membicarakan soal ini. Zina dan rogol, adalah dua perbuatan yang mempunyai definisi berbeza. Justeru, mempunyai pemberat serta pertimbangan berbeza dalam soal hukum. Karikatur sebegini boleh mencetuskan salah faham kepada Islam malah mempersenda aspek sistem keadilan di dalam Islam.”

Dewan Ulama PAS Perak juga mahu supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan pandangan terhadap kartun tersebut. Sementara itu, beliau menyatakan bahawa akhbar sepatutnya berperanan untuk memupuk kesedaran dan membina perpaduan dikalangan rakyat dan bukannya mencetuskan lebih banyak kekeliruan.

Dalam pada itu, beliau meluahkan kekesalan terhadap sikap Menteri- menteri yang beragama Islam yang dilihat seolah-olah membela Utusan Malaysia keana bisu dan tidak berani membela Islam apabila ia dihina.

Tindakan Utusan Malaysia ini dikecam oleh banyak pihak, samada diperingkat pelajar sekolah, mahasiswa universiti, kakitangan awam dan swata serta seluruh umat Islam di Malaysia kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam.

Sehubungan dengan itu, Dewan Ulama PAS Perak menggesa pihak Utusan Malaysia sesegera mungkin menarik balik siaran karikatur ini dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di Malaysia atas kebiadapannya mempersendakan perundangan Islam, kerana sehingga hari ini pihak utusan masih membisu dan tidak berani bersuara atas isu tersebut.

Teruskan Perjuangan

Tiada ulasan: