28 Jun 2011

Telur ayam berbentuk kapsul dijumpai di Melaka

25 Rejab 1432H. [MOD] -

Seorang penduduk terkejut apabila mendapati sebiji daripada beberapa telur ayam kampung dikutip dari reban ayam belakang rumahnya di Kampung Solok Biak, Tanjung Kling, Melaka berbentuk seperti kapsul.

Penduduk terbabit, Kamaludeen Mohamed Haneefa, 48, berkata, penemuan itu menyebabkan berasa kehairanan berikutan tidak pernah menemui telur seperti itu sebelum ini.

Menurutnya, telur berkenaan dikutip dari reban ayam di belakang rumahnya sekitar petang kelmarin.

Beliau yang bertugas di sebuah institusi kewangan di bandar ini, berkata, kira-kira tiga bulan lalu dia pernah menemui beberapa biji telur ayam yang berbeza sedikit bentuknya iaitu ada bonjolon pada bahagian bucu atas serta satu atau dua bentuk berlainan.

Bagaimanapun, katanya, telur yang berbentuk seakan kapsul ditemuinya adalah sesuatu yang amat berbeza dan tidak pernah dilihatnya sebelum ini berikutan saiznya yang kecil.

"Telur ayam kampung berkenaan tidak berapa besar dan saya percaya isinya hanya mengandungi putih telur sahaja memandangkan ukuran dan saiznya tidak sebesar telor biasa.

"Meskipun bentuknya kelihatan pelik namun saya tidak dapat memastikan apakah punca ia terbentuk sedemikian rupa dan berkemungkinan ia disebabkan oleh sesuatu faktor tertentu," katanya.

Kamaludeen berkata, beliau bagaimanapun akan menyimpan telur terbabit sebagai koleksi sahaja selama mana yang boleh.

Katanya, keseluruhannya, dia menternak kira-kira 100 ekor ayam kampung dan kerja berkenaan dilakukannya sebagai mengisi waktu terluang.

"Sejak sekian lama menternak ayam kampung penemuan seperti ini adalah sesuatu yang anggap agak luar biasa," katanya.

malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

huhu...sedap ke rasenyer