26 Rejab 1432H. [MOD] -
NURUSSYAHAMAH TAQIAH tekun mentelaah sebagai persiapan ke Doha, Qatar akhir Julai.
Majlis tilawah berlangsung di Doha, Ramadan ini
JERTIH: Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, wakil tunggal Malaysia ke Majlis Tilawah al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar, terpilih antara tiga peserta ke peringkat akhir pertandingan itu yang akan berlangsung Ramadan ini.
Bapanya Nurunnajmi Yaacob, 40, berkata, Nurussyahamah Taqiah melepasi pemilihan peringkat awal yang berlangsung di Doha pada 22 Jun lalu yang turut disertai 63 kanak-kanak dari seluruh dunia.
Beliau berkata, Nurussyahamah Taqiah akan ke Doha lagi Ramadan nanti bagi menyertai peringkat akhir dengan dua lagi peserta yang tidak dinyatakan dari negara mana.
Nurussyahamah Taqiah adalah murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, di sini ditemani bapanya, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Hulu Besut, untuk menyertai pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak stesen televisyen, Al-Jazeera.
Pemilihan Nurussyahamah Taqiah itu adalah satu kejayaan selepas dia lulus dua ujian saringan yang diadakan kerajaan Qatar sebelum ini membabitkan 4,000 kanak-kanak dari seluruh dunia, 49 daripadanya dari Malaysia.
Beliau menjalani sekali lagi ujian pada April lalu dan dipilih mewakili negara bersama 63 kanak-kanak lain dari seluruh dunia.
Sebagai persediaan ke peringkat akhir nanti, Nurunnajmi dan isterinya, Sauzan Ibrahim, tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Alor Keladi, membawa anaknya berguru dengan johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 1999, Che Yahya Che Daud dari Bachok, Kelantan.
Nurussyahamah Taqiah pernah menjadi johan membaca al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan