26 Rejab 1432H. [MOD] -
HASIL tangkapan ikan di Kuala Kedah berkurangan sejak beberapa hari lalu berikutan keadaan cuaca tidak menentu.
Cuaca tak menentu termasuk ombak besar halang nelayan ke laut
KUALA KEDAH: Faktor cuaca tidak menentu termasuk ribut dan ombak besar sejak seminggu lalu menyebabkan harga ikan kembung dan hasil tangkapan laut di negeri ini meningkat hampir sekali ganda berbanding harga biasa.
Difahamkan, harga borong ikan kembung naik daripada RM2 hingga RM3 sekilogram sebelum ini kepada RM4 hingga RM5, manakala harga pasaran mencecah sehingga RM7 hingga RM8 sekilogram.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Mohd Noor Had berkata, masalah kekurangan hasil tangkapan yang berlaku ketika ini menyebabkan harga ikan meningkat sejak seminggu lalu.
“Harga pasaran ikan di pasar besar dan pasar di sekitar negeri ini meningkat berikutan nelayan sukar memperoleh hasil tangkapan yang banyak seperti biasa,” katanya sambil menjangkakan harga ikan akan stabil dan pulih seperti sedia kala apabila keadaan cuaca beransur baik.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari berkata, hanya bot pesisir pantai di kawasan itu tidak turun ke laut, manakala bot laut dalam seperti Zon B dan C serta C2 turun seperti biasa.
Katanya, walaupun bot besar turun ke laut menangkap ikan, hasil tangkapan tetap berkurangan sehingga menyebabkan berlaku kekurangan ikan di kawasan itu.
“Jika keadaan cuaca baik sekalipun, kita percaya hasil tangkapan tetap kurang daripada biasa kerana musim ini ialah musim ikan kurang dan berharap keadaan kembali pulih dalam waktu terdekat ini," katanya.
Tinjauan Berita Harian di pelantar ikan Seberang Kota dan Tandop Kubang Rotan di sini mendapati, kawasan itu yang sebelum ini sibuk dengan aktiviti nelayan mengasingkan hasil ikan yang baru ditangkap, kini lengang sejak seminggu lalu, malah banyak bot pesisir pantai tersadai di tepi kuala.
Nelayan, Che Omar Osman, 54, berkata, faktor cuaca dan ribut yang berlaku di tengah laut menyebabkan nelayan terpaksa berpatah balik dengan membawa hasil pulang yang tidak sampai 10kg sejak seminggu lalu.
“Walaupun terpaksa membeli petrol sendiri kerana tidak memiliki lesen sah dari Jabatan Perikanan, kami bersama beberapa rakan yang lain tetap turun ke laut untuk menyara keluarga dengan hasil pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari,” katanya.
Peniaga ikan, Salmiah Ramli, berkata sebelum ini mereka menjual antara 300 hingga 400kg ikan tetapi sekarang hanya kira-kira 10kg sehari.
“Kami tidak boleh menurunkan harga lebih rendah berbanding biasa untuk mengelak rugi kerana kebanyakan nelayan pantai di sini tidak dapat membeli minyak subsidi dan terpaksa menggunakan wang sendiri," katanya.
beritaharian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan