11 Julai 2011

Azmin Desak Hishammudin, IGP Letak Jawatan Sebabkan Kematian Peserta Bersih 2.0

8 Syaaban 1432H. [MOD] -


HULU KELANG 10 JULAI: Kerajaan perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad, 59, yang meninggal dunia ketika menyertai Himpunan Bersih 2.0 semalam, kata Timbalan Ketua PKR, Azmin Ali.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meletakkan jawatan kerana mengakibatkan orang awam kehilangan nyawa di tangan polis.

Azmin yang ditemui media ketika menziarahi keluarga Allahyarham yang juga merupakan suami kepada Ketua Wanita Cabangan PKR Setiawangsa di Keramat pagi tadi berkata, tindakan polis menzalimi rakyat yang berhimpun secara aman mendesak rombakan sistem pilihan raya tidak boleh diterima akal.

"Dan apa yang kita saksikan semalam bukan sahaja satu tuntutan untuk reformasi sistem pilihan raya tetapi sekarang rakyat akan terus bangkit untuk menuntut satu pembaharuan terhadap kezaliman polis terhadap rakyat," kata beliau.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur petang semalam selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu bau gas pemedih mata yang ditembak oleh polis.

Malah polis turut didakwa sengaja menghalakan tembakan gas pemedih mata ke arah penyokong dan kumpulan kepimpinan dengan hasrat untuk mencederakan seseorang.

Hasilnya puluhan rakyat cedera termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadinya yang mengalami patah tulang rahang.

Perhimpunan gabungan Bersih 2.0 yang dihadiri hampir 50 ribu rakyat seluruh negara semalam berakhir dengan pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menyerbu serta menghalau penyokong yang berada di kawasan KLCC.

Turut kelihatan pasukan berkuda polis dikerahkan untuk menghalang penyokong daripada kembali semula ke kawasan tersebut.

Azmin kemudian menggesa suatu Suruhanjaya DiRaja (RCI) dibentuk bagi menyiasat keganasan polis terhadap rakyat di ibu negara semalam.

Beliau turut mengarahkan mana-mana individu yang mengalami kecederaan akibat dikasari polis supaya membuat laporan kepada sekretariat PKR.

"Sebab itu saya menyeru kepada semua pihak yang terlibat khususnya mangsa-mangsa samada mengalami kecederaan atau kematian melaporkan kepada seketeriat untuk kami mengambil tindakan undang-undang," tambah beliau.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat, di Taman Seri Keramat Kuala Lumpur tengah hari tadi. TVS/-

Tiada ulasan: