11 Julai 2011

Lebih 70 Isteri Wakil Rakyat Keracunan Makanan

8 Syaaban 1432H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU 10 JULAI : Lebih 70 isteri wakil rakyat yang menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 di semalam mengalami keracunan makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A. Rahman Mokhtar berkata kejadian bermula pada kira-kira 11.00 pagi apabila beberapa daripada mereka mengalami simptom muntah-muntah dan cirit birit dan dirujuk ke klinik statik di hotel mereka menginap.
Dr A. Rahman Mokhtar berkata daripada lebih 70 orang yang mengalami simptom itu, seramai 18 terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
"Hanya 15 yang ditahan di wad kerana simptom yang dialami mereka lebih serius namun keadaan mereka stabil dan tidak membimbangkan,” katanya kepada Bernama selepas ditemui ketika melawat para isteri wakil rakyat berkenaan di HSNZ.
Menurutnya lagi, punca kejadian masih disiasat namun beliau tidak menolak ia mungkin berpunca daripada makanan yang dihidangkan dalam satu majlis makan malam sebelum itu.
"Semua sampel makanan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan
lanjut, katanya.
Sementara itu, isteri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Selangor, Datin Norliah Mohd Nazir ketika ditemui di HSNZ memberitahu beliau mengalami muntah-muntah selepas majlis makan malam yang dihadiri bersama isteri wakil rakyat lain.
"Selepas muntah-muntah saya cuba dapatkan rawatan di Klinik Statik di Hotel Permai tapi keadaan saya tidak bertambah baik dan saya dihantar ke sini (HSNZ) untuk dapatkan rawatan lanjut," katanya.
Namun katanya, beliau menganggap peristiwa tersebut sebagai insiden tidak dijangka dan tidak menyalahkan pihak penganjur atas kejadian tersebut.

Tiada ulasan: